Sabtu, Ogos 07, 2010

Yang Remeh Temeh

Lebih kurang pukul 8 pagi tadi baru gua ada rasa sedap nak baring-baring lelapkan mata. Waktu tu, gua macam nak belasah buku-buku yang ada dalam bilik gua. Satu-satu buat gua pening. Semua buat gua serabut tak tentu hala dan tak boleh tidur yang rasa macam celaka.

Gua turun bilik bawah, jumpa satu poster ciptaan rakan. Disebabkan nafsu gua nak tulis datang melampau-lampau waktu ini, gambar poster tu nanti gua updet lain kali.

Tapi gambar macam ada masalah sikit. Gua tak tahu apa jadah "yingyang" dan entah apa-apa lagi falsafah yang kawan gua ceritakan dari kerja dia yang itu. Yang gua tahu, gua kena reject, sebab yang itu bukan dari asas agama gua. Yang ini, Al-Attas ajar.

Gua rasa, memang wujud agaknya perkara itu dalam diri setiap manusia. Masalahnya, kenapa gua rasa bersalah dan bertukar-tukar pula? Kejap-kejap salah dan kejap-kejap betul? Gua perlu lari dari masa, barangkali. Berpesan-pesan mungkin jalan terbaik.

Mungkin juga yang betul itu memerlukan tindakan yang salah. Dan yang salah itu, memerlukan pula tindakan yang betul.

Gua pening. Nyala rokok, dan tak jadi tidur lagi.

Yang gua keras kepalakan ini, sebenarnya, gua mahukan kedua-duanya betul. Ilmu belum cukup di dada, sudah pandai nak fikir-fikir sampai ke situ. Kan dah rasa macam tak pijak bumi?Rasa macam nak berhenti belajar pun ada jugak. Gua duduk diam-diam bawah jambatan secara solo pun ada baiknya.

Lebih dominannya, gua rasa gua silap pakai cermin, mata.

Dalam dua ke tiga hari belakangan ini, cermin, mata gua tak tahu hilang ke mana. Sejauh yang gua faham, dan apa yg Haji Abdul Malik pernah ajar gua melalui internet dulu, dia kata cermin mesti mau bersih, baru mata boleh tengok apa ada di depan. Habuk mesti mau licin, baru mata dapat kenal, siapa hamba, siapa Tuhan. Yang bagi bersih cermin itu, tidak akan mampu kamu lakukan seorang.

Kalau lu orang rajin, baca balik entri gua tajuk "Tetamu"

Masalahnya lebih kurang begitu la, bila gua keluar rumah, satu persatu gua perlu tepis. Entah apa yang gua tepis pun, gua tak berapa pasti. Susah sangat gua nak gambarkan dengan kata-kata. Keh3.

Gua ringkaskan macam ini sajalah.

"Hoi perempuan-perempuan pembawa fitnah! Kau tunggu balasanNya!"

"Hoi lelaki-lelaki bernafsukan syaitan! Kau tunggu balasanNya!"

"Hoi warga-warga manusia mata duitan! Kau tunggu balasanNya!"

"Hoi pendakwah-pendakwah kosmopolitan! Kau tunggu jawapanNya!"

Sekian.

p/s : Kepala otak gua tengah berdendang-dendang lagu Pak Pandir; Yang Remeh Temeh.

Rabu, Ogos 04, 2010

Transformasi si Robot

Anak muda yang mengakui dirinya sebagai anak muda, harus tahu benar mengenai perkara ini. Transformasi pendidikan yang dicanang-canang seantero media bertujuan keras berpesan-pesan agar anak muda tidak lagi hanyut dalam budaya hidup yang melayukan jatidiri susuk segar yang bakal mewarisi perjuangan membangunkan agama, bangsa dan negara. Bertanggungjawablah kamu wahai anak muda! Fikir, dan jelajahilah bumi bertuah yang bakal kamu pimpin suatu hari nanti.

Dengar sini. Pertamanya, kamu harus akrab benar dengan buku. Bila saya memikirkan tentang statistik terbaru di mana hanya 2 mukasurat sahaja yang di baca seluruh rakyat Malaysia dalam tempoh satu tahun, terdetik dalam hati agar anak muda, terutama mahasiswa tidak termasuk dalam golongan yang ini. Tidak usah kamu bergebang atau bersurah dengan rakan-rakan kamu tentang nasib anak bangsa dan negara yang ingin kamu pelihara andai penyakit yang ini, tidak kamu rawat terlebih dahulu.

Dalam pengalaman saya, ada pujangga berkata, membaca, bukan hanya pada buku. Mata juga ada pembacaannya, begitu juga telinga. Tapi asasnya masih satu; ilmu. Cintakan ilmu, kelak kamu tahu penyakit apa yang melanda masyarakat sekeliling susuk tubuh kamu. Jika sebut tentang perpaduan Satu Malaysia, seharusnya anda sudah mampu membayangkan perjuangan Bung Karno dalam membina negara bangsa Indonesia suatu ketika dahulu.

Aiseh...

3 perenggan je gua disuruh menulis. Gua dah kena hantar pula tugasan mengarut ini.

Ahad, Ogos 01, 2010

Belikat

Gua duduk senyap-senyap pada pinggir satu sudut berhiaskan kotak besar berlabel "tabung" dengan pembaris lebar berwarna hitam di bahagian atasnya.

Turut ada, beberapa botol minyak wangi siap serta arahan supaya tidak dibawa pulang oleh si pemakai yang berhajat mewangikan tubuh yang mungkin bercucur keringat sedari pagi. Orang-orang kerja tempat sejuk, jarang-jarang gua lihat ada di sini. Sebab tak ramai yang gebu-gebu dalam barisan yang tersusun.

Mungkin perut mereka sudah buncit dan tembolok kenyang tanpa oksigen yang mampu menjernihkan hati.

Waktu duduk-duduk itulah, datang seseorang. Agak lebih muda dari gua jika sudut perlakuan dan susuk tubuhnya dijadikan penilai. Nampak tenang tanpa kegusaran sebagai yang gua alami hari-hari. Kalau tak silap, dekat luar tadi dia parking motor sebelah-sebelah dengan motor gua.

Sembang beberapa ketika, dia dipanggil ke hadapan. Tekun dia mendengar nasihat penghulu barisan perjuangan di rumah suci ini. Dalam hati gua terdetik, pasti ada sesuatu yang diamanahkan sewaktu itu pada rakan baru gua sebentar tadi. Gua cemburu tak tentu hala.

Gua?

Silap langkah kerana asyik memikirkan kesilapan-kesilapan peribadi yang cuba diubah sekelip mata tanpa taktik dan strategi yang berkesan.

Orang yang bingung dalam menyingkap masalah
hanya akan menyia-nyiakan umurnya
Selalu bingung, tidak pernah mencapai kejayaannya
dan sentiasa nampak bodoh!

Jika engkau berpendapat, maka tetapkanlah!
Sebab banyak pendapat yang rosak
kerana ragu-ragu dalam memutuskan.

Gerard Bernard Shaw berkata:

"Rahsia ketidakbahagiaan itu terletak dalam kesempatan yang diberikan kepada anda untuk berfikir dengan leluasa, apakah anda berada dalam keadaan bahagia atau tidak. Oleh sebab itu, jangan terlalu banyak berfikir tentang hal itu. Sebaliknya terus bekerja, kerana saat itu darah akan mulai mengalir dan otak mulai berfikir lagi. Kehidupan yang baru akan melenyapkan fikiran-fikiran itu dari otak anda."

Kemudian, kembali kami menyambung perbualan tentang permasalahan jalur pemikiran yang terbaik untuk gua setelah kebanyakannya terbatal dek akademia-akademia yang bijak berhujah.

Sungguh, ingin benar rasanya belikat gua di urut-urut setiap kali melapor diri kepadaNya.

Selasa, Julai 27, 2010

Tiang

Menderu-deru dia punya pergi. Gua duduk-duduk bersandar pada tiang bersegi-segi sekitar Bandaraya ini. Tidak tahu apa dan bagaimana ia melanda. Lagaknya, kaki bagai tak menjejak ke bumi apabila melangkah. Ngeri beb.

Dan sebutlah nama Tuhanmu, serta tumpukanlah kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

- Al Muzammil : 10



Khamis, Julai 22, 2010

Tetamu

Semalam, petang-petang lebih kurang setengah jam sebelum waktu asal mengenal diri, duduk-duduk saja gua pada kerusi pinggir taman nun hujung bersama Revolusi yang Ditangguhkan.

Kata pengarang

"Mereka melihat saja di dalam diri dan dengan penglihatan itu, mereka melihat-Nya. Dia wujud dalam diri mereka. Mereka melihat saja di luar diri mereka. Apa saja yang wujud dalam diri mereka, mereka akan melihat-Nya. Gunung-ganang, bukit-bukau, rimba belantara, malam dan siang, bulan dan matahari, angin dengan segala ribut taufan, kebanjiran dan kemaraunya. Semuanya adalah ciptaan-Nya dan mereka melihat melalui ciptaan-ciptaan-Nya itu."

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

-A. Samad Said-

Rabu, Julai 14, 2010

NEWS PEG - BIBLIOGRAPHY

Susuk yang diberi nama Ammar ini terlalu ingin menongkah arus perjalanan hidupnya hanya dengan satu pegangan; aku akan mati suatu detik nanti, aku akan kembali kepada Penciptaku, dan aku harus siapsiagakan diri ini, agar buku amalanku tidak diterima oleh sebelah tangan yang sama bertugas sebagai pencuci duburku hampir saban hari. Kalau kata ahli agama kita, “Insan Kamil”, bunyi wawasannya.

Jurus terkini, aku perlu menuntut ilmu kewartawanan, di Universiti Teknologi Mara. Idealistiknya; bercita-citalah aku untuk berkenalan dengan seluruh isi alam dari segala ceruk permukaan bumi berserta ragam segala makhlukNya itu. Kalau kata ahli agama kita, “Sunnatullah” bunyinya. Apa lagi kalau bukan profesi jurnalis yang menghidangkan jutaan peluang untuk tujuan ini? Tidak perlu diperbesarkan kedaifanku dalam bidang kebahasaan demi cita-cita ini. Insyallah, segalanya diberkati.

Sahabat sekalian,

Aku pernah gagal dalam pengajianku. Pada peringkat yang sama, cuma jurusannya berlainan. 3 tahun lalu, aku tidak mengarang, melainkan mengira. Kira apa? Kira wang. Itulah yang aku pelajari. Mempelajari ilmu perakaunan itu tidak salah, malah penting untuk kesejagatan umat seluruhnya. Cuma, fahaman kapitalis berorientasikan keuntungan maksimum yang terlalu disogokkan itu membuatkan aku kurang bersetuju untuk meneruskan pengajian ke tahun kedua.

Sebelumnya, 3 tahun zaman mudaku berlegar-legar di sekitar bandar Kuantan, Pahang. Kali kedua, aku keluar dari rumah untuk berdikari sesudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan yang tidak seberapa. Minat terhadap perniagaan membuakkan semangat untuk menamatkan pengajian Diploma Pengajian Perniagaan ini dengan sesungguhnya.

Walhasil, aku tahu segala macam istilah dan sistem kira-kira yang aku gunakan waktu membantu perniagaan rakan di pasar-pasar malam suatu ketika dahulu. Kalau bulan puasa, lagi seronok bila berada di bawah satu komuniti yang berkumpul atas urusan melengkapkan ibadah menahan hawa nafsu ini. “Karipap! Karipap!” Aku jerit.

Kita undurkan lagi sedikit masa.

Sekitar beberapa tahun yang lalu, seorang wanita berusia lingkungan 40an berdiri di pinggir pagar sebuah sekolah. Hilaian angin sepoi bahasa, diiringi tangisan di cerah suasana. Aku bingkas bangun menyusun segala alat tulis. Ikat dengan getah gelang sebelum masuk dalam kocek kemeja sekolah rendah. Berlari-lari anak mengejar si penanti; ibu mithali.

Dengan pantas tangan bertaut di celah-celah pohon orkid melilit indah pagar pinggir padang sekolah. Belakang tangan dikucup seraya bersuara bertanyakan lauk apa yang dibekalkan. Kembali aku ke kantin berbekal azimat penunduk kelaparan utusan bonda tercinta. Aku menyuap dengan harapan kembali bertenaga untuk menghadiri kelas tambahan anjuran pihak sekolah.

Kesimpulannya,

Dalam proses penulisan sejarah barat, ianya harus ditulis dengan penuh meyakinkan dan menyebabkan data-data mereka dipilih secara selektif. Fakta atau keterangan yang tidak sesuai akan ditolak. Ini angkara meletakkan kebenaran itu adalah relatif ciptaan Plato serta keangkuhan Cogito Ergo Sum jajaan Rene Descartes. Mereka enggan melihat sejarah itu sebagai suatu proses mencari kebenaran.

Dalam Islam, sejarah itu bergerak seiring dengan realiti. Terdapat Allah S.W.T yang menciptakan dunia ini, dan adanya manusia dalam mentadbir dan menguruskannya. Kewujudan Tuhan yang transendence itu mengatur dunia ini tanpa menjadi sebahagian daripadanya kerana manusia itu dibekalkan akal fikiran, dan juga petunjuk dalam mencipta sejarah dunia. Sewajarnya, sejarah itu haruslah ditulis dengan menekankan aspek kemanusiaan dan juga nilai-nilai di sebalik setiap peristiwa itu tanpa ada dualisme antara makhluk dan penciptanya.

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (Ibrahim : 24-25).

Selasa, Julai 06, 2010

Cerita Empat Unsur Alam

Pada suatu masa ada seorang miskin yang keadaannya sangat miskin. Carian hidupnya cuma cukup untuk hidup sehariannya sahaja, dari pagi sampai ke petang, bak kata orang; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibarat burung, keluar pagi perut kosong, pulang petang tembolok kenyang.

Segala ikhtiar sudah pun dicari; tetapi nasibnya seperti itu juga. Justeru itu dia pun mula berfikir untuk mengatasi masa depannya; kalau-kalau nasibnya akan berubah; sedangkan keadaan orang lain kelihatan semakin berusaha, makin bertambah kaya. Pada masa-masa yang lalu dia pernah menganggap rezeki secupak takkan jadi segantang.

Si Miskin itu merasa lemah diri; tidak lagi bersemangat untuk berusaha dan melipatkan daya kerja. Kerana itu dia ingin bertanya kepada hidupan unsur alam; Tanah, Air, Api dan Angin; sebab disangka kesemua mereka ini adalah merupakan sebagai makhluk hidup selaku sumber alam yang boleh menghubungi Tuhan.

Kerana itu sebagai langkah pertamanya, dia pergi mencari Angin. Bila dia bertemu dengan Angin, dia pun berkata:

"Engkau ini orang kuat. Justeru itu bila engkau mengadap Tuhan, maka nyatakan; "Mengapa aku ini menjadi miskin papa?"

Kerana itu Angin pun pergi mengadap Tuhan lalu dia berkata:

"Wahai Illahi, wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ini adalah suatu makhluk yang kuat. Aku boleh memecahkan bukit bukau dan menghancurkan gunung ganang; dan aku boleh meniupkan api sehingga dia boleh menyala dan membakar hangus"

Mendengar kata-kata itu pihak Tuhan menjawab:

"Wahai Angin, engkau belumlah kuat; sebab engkau adalah suatu makhluk yang menjadi hamba kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Kerana itu, engkau kembalilah"

Angin lantas bertanya:

"Betapakah aku menjadi hamba mereka?"

Pihak Tuhan menjawab:

"Engkau menjadi hamba mereka; sebab engkau ditugaskan meniup udara agar dia bertiup untuk kepentingan kehidupan di dunia ini"

Langkah keduanya, Si Miskin tadi pergi menemui Api di mana disangkanya Api lebih kuat daripada Angin, katanya:

"Engkau ini orang kuat. Kerana itu bila engkau mengadap Tuhan, maka nyatakan; "Mengapa aku ini menjadi miskin papa begini?"

Tanpa berlengah-lengah Api pun pergi mengadap Tuhan, lantas dia berkata:

"Ya Illahi, ya Tuhanku, aku ini adalah suatu makhluk yang kuat. Aku boleh membakarkan seluruh dunia dalam masa yang singkat sahaja."

Mendengar kata-kata itu pihak Tuhan menjawab:

"Wahai Api, engkau belumlah kuat; sebab engkau adalah menjadi hamba kepada umat Nabi Muhammad s.a.w."

Api menyahut:

"Betapakah aku menjadi hamba mereka?"

Pihak Tuhan menjawab:

"Engkau menjadi hamba mereka; sebab engkau ditugaskan menolong memasak makanan mereka"

Langkah ketiganya, Si Miskin beredar pula kepada Air. Sesudah bertemu dengan Air, maka dia berkata kepada Air:

"Engkau ini orang kuat; bila engkau mengadap Tuhan, maka tanyakan: "Mengapa aku ini menjadi miskin sengsara?"

Air pun segera mengadap Tuhan, lalu berkata:

"Wahai Illahi, wahai Tuhanku. Aku ini adalah suatu makhluk yang kuat. Aku boleh menenggelamkan segala isi dunia dengan seketika sahaja. Bukankah dalam peristiwa banjir dunia dahulu, Air yang membinasakan kaum Nabi Nuuh yang angkuh menentang Tuhan dan perintah NabiNya?"

Pihak Tuhan menjawab:

"Wahai Air, engkau belumlah kuat; sebab engkau adalah menjadi hamba kepada umat Nabi Muhammad s.a.w."

Air terus bertanya Tuhan:

"Bagaimana caranya aku menjadi hamba kepada umat nabi s.a.w?"

Pihak Tuhan menjawab:

"Engkau menjadi hamba kepada merekal sebab engkau ditugaskan membasuh segala makanan anak Adam untuk mereka dapat makan (bila bersih) bagi kepentingan beribadah kepada Allah."

Mengetahui kegagalan Angin, Api, dan Air mengadap Tuhan itu, Tanah menawarkan diri untuk cuba menjawab pertanyaan daripada Tuhan. Maka Tanah pun pergilah mengadap Tuhan dengan berjalan kaki, menyongkok dari jauh kerana merendah diri kepada Tuhan.

Melihat kedatangan Tanah (bahan atau lambang manusia) itu, maka pihak Tuhan pun lalu berkata:

"Tak usahlah engkau berjalan menyongkok (membongkok) demikian rupa; sebab engkaulah yang terlebih kaya daripada yang lain, di atas muka engkaulah tempat berpijak dan tempat tinggal umat Nabi Muhammad s.a.w; dan pada engkaulah terpancangnya bukit-bukau dan gunung-ganang yang tersergam hebat. Demikian juga pada engkaulah hidupnya segala jenis hewan dan unggas."

Maka di kala ini berkesempatanlah Tanah untuk bertanya pihak Tuhan tentang mengapakah Si Miskin tadi menjadi miskin melarat. Pihak Tuhan melaporkan:

"Sebab Si Miskin itu hidup melarat dan tertindas ialah disebabkan sifatnya yang sombong, tidak pernah merendah diri kepada orang lain; seandainya dikurniakan kekayaan kepadanya sekalipun, dia tetap akan menggunakan kekayaan itu untuk bermegah-megah, berlagak congkak dan sombong"

Bila mendapat jawapan yang tepat itu, Tanah pun segera pergi mendapatkan Si Miskin yang ingin menanyakan apakah sebabnya dia jatuh miskin-papa sedemikian rupa. Segala kata dari pihak Tuhan itupun didedahkannya semuanya sehingga membawa keinsafan kepada Si Miskin itu menyebabkan dia segera merendah diri dan menghormati orang lain terutama orang-orang yang lebih tua daripadanya; juga giat sekali bersedekah dan berderma untuk jalan Allah, menyebabkan rezekinya dimurahkan Allah tanpa disangka-sangka.

Bukankah Allah 'Azza Wa Jall telah berfirman:

"Sesungguhnya seandainya kamu bersyukur (kepada nikmat-nikmat yang telah Aku berikan) pastilah Aku akan tambahkan lagi (pemberian) untukmu." -Surah Ibrahiim :7

Manakala Rasulullah s.a.w sendiri pernah memberitakan:

"Orang yang awal antara tiga golongan yang memasuki Neraka ialah orang yang hidup melarat; tetapi sombong......" -H.R Imaam Ahmad B. Hanbal

Sombong adalah suatu sifat bapa syaitan (Iblis) yang membuatkan dia dan keturunannya mendapat kutukan Allah; dan siapa yang memiliki di lubuk hatinya akan sifat ini sekalipun sebesar kuman tidaklah dia akan dapat memasuki Syurga.

Rabu, Jun 23, 2010

Castling

MAKA MEREKA PUN SAMPAILAH

maka tembok tembok a farmosa itu pun diruntuhkan
satu demi satu dindingnya diletupkan
tuan farquhar melihat betapa bahaya kota ini
maka tembok tenbok itu wajib dirobohkan
yang ditingglkan hanya pintu
untuk jadi ingatan kepada anak cucu

maka tembok itu pun akan dirobohkan
semenjak 1895 tegak berdiri
kini akan diruntuhkan pintu demi pintu
batu demi batu
satu demi satu

seribu tahun dari hari ini
anak kepada anak kepada anak kepada anak
kepada anak kepada anak kepada anak kepada akan
melihat bahawa kami yang berdiri dihadapan tembok ini
malam kelmarin ada sejarah

seribu tahun dari hari ini
maka anak kepada anak kepada anak kepada
anak kepada anak kepada anakan kepada anak
akan menangis hingga keluar air mata darah
maka menangislah mereka beramai ramai
hingga lahir intan dan berlian
dari cucuran air mata

menangisi jejak sejarah
waktu dan sejarah yang tidak akan berulang
detik detik yang pergi
tembok tembok yang dihancurkan
hanyalah debu debu ingatan yang akan pudar

apabila tembok ini mula retak
zeus di kayangan bersama dewa dan dewi
melihat betapa angkuh dan bodohnya manusia
yang tidak mengetahui jalan cerita
yang tidak mengetahui makna sejarah bangsa
yang tidak mengethaui bahawa tembok itu adalah paku negara

malam kelmarin kami mendongak keatas langit
demi zeus
agar roh roh yang terkorban dalam tembok ini
akan tenteram dan selasa berkeliaran
bersama angin subuh sejuk dan menyegarkan

berapa ramai yang telah gugur
ketika tembok tembok ini dibuat
berapa ramai yang tewas di gantung penjajah
berapa ramai nasionalis gugur saheed menuntut merdeka
berapa ramai gelandangan miskin digantung tanpa peguam

untuk mereka buta sejarah
untuk mereka yang tidak tahu menilai erti bangsa
untuk mereka yang tidak tahu melihat tanda dan makna
untuk mereka yang mata hanya melihat emas dan tinta
demi zeus seribu tahun dari hari ini
anak kepada anak kepada anak kepada anak kepada anak kepada anak mereka
akan menangis dan menyumpah betapa bebal ibu ayah keturunan mereka

demi zeus seribu tahun dari hari ini
kami tahu
kami yang berkumpul malam kelmarin di tembok itu
adalah sejarah yang tidak akan berulang lagi.

esok ketika kau buka mata
semua nya telah pergi
semuanya telah terlambat

dunia ini musnah bukan kerana
ramai orang jahat
tetapi kerana ramai orang baik
tidak mahu melakukan apa apa

seribu tahun dari hari ini
yang kau lihat nanti hanyalah gambar
dan puisi ini

oleh : TUKARTIUB

Khamis, Jun 10, 2010

Atom

Old pirates, yes, they rob I
Sold I to the merchant ships
Minutes after they took I
From the bottomless pit.
But my hand was made strong
By the 'and of the Almighty.
We forward in this generation
Triumphantly.
Won't you help to sing
This songs of freedom?
'Cause all I ever have:
Redemption songs;
Redemption songs.

Emancipate yourselves from mental slavery.
None but ourselves can free our minds.
Have no fear for atomic energy,
'Cause none of them can stop the time.
How long shall they kill our prophets,
While we stand aside and look? Ooh!
Some say it's just a part of it:
We've got to fulfill the book.

Won't you help to sing
This songs of freedom-
'Cause all I ever have:
Redemption songs;
Redemption songs;
Redemption songs.

Isnin, Jun 07, 2010

"Is Not Real" Wise?

Dipetik dari SINI



ChargĂ© d’Affaires
Kedutaan Amerika, Malaysia
Mr. Robert G. Rapson

MEMORANDUM KEPADA AMERIKA SYARIKAT MENGENAI GAGASAN RAKYAT MALAYSIA MENENTANG ISRAEL

MAKA persaksikanlah pada hari ini, dengan perhimpunan raksasa rakyat Malaysia di hadapan pagar kedutaan kamu yang berkunci, bahawa inilah harinya kami mengisytiharkan yang kami tidak akan lagi bertolak ansur dengan kerajaan kamu yang mendokong, melindungi dan memanjakan negara jahanam Israel.

Kami amat terkejut dengan sikap pipi tak mancung hidung tersorong-sorong kerajaan kamu hingga ke tahap memalukan Presiden kamu sendiri dalam “lintas langsung” siaran televisyen berbayar bila mana binatang bernama Netanyahu memarahi, membuat muka serta memalingkan diri bila mana Tuan Obama mengesyorkan perbincangan mengenai mandian berdarah oleh Israel di atas kapal “MV Mavi Marmara” di Lautan Mediterranean. Rakyat kamu memilih Obama untuk memimpin Amerika dan sekarang Israel telah memalukan kamu bagaikan anjing yang terselit ekor di kedua-dua celah kakinya.

Apa yang bermain di kepala mu, Amerika? Yakni kamu – kononnya suatu kuasa besar – jadi pengecut dengan bayi kamu bernama Israel, yang kini mengigit tangan kamu dan menunjukkan taringnya?

Kami, rakyat Malaysia demokratik yang sering berdiri menegakkan idealisme sebuah masyarakat yang bebas, tidak dapat menahan diri melainkan ketawa kerana kebodohan dan ketidaktentuan Amerika. Kamu tidak lagi menjadi model dunia merdeka sepertimana yang kamu mahu kami percayai.

Respons kamu yang seolah-olah dibius mengenai pembunuhan membuta-tuli orang awam – 19 orang di mana Israel cuba kurangkan dengan 10 kematian setelah membuang tubuh-tubuh sebahagiannya masih bernyawa ke dalam Lautan Mediterranean – daripada atas kapal “MV Mavi Marmara” pada 31 Mei telah menandakan bahawa hari pembalasan telah tiba untuk Amerika dan masyarakatnya yang terkeliru, sebagai sebuah negara yang besar dan pernah disegani kini jatuh melutut kerana kesilapan dirinya sendiri – yakni penciptaan raksasa gila dan rakus bernama Israel.

Kami, warga Malaysia pelbagai agama dan bangsa hari ini berdiri dalam solidariti bagi mendeklarasikan di depan kamu bahawa kami sekali-kali TIDAK PERNAH dan TIDAK AKAN membiarkan tragedi malang di lautan lepas oleh lanun oleh Israel itu berlalu saja tanpa balasan.

Ingat kata-kata ini!

Kami akan pertanggungjawabkan kamu kerana Amerika adalah penyokong dan tukang dana No. 1 untuk Israel. Kamu memalukan diri sendiri dengan bersekongkol dengan negara berisi pengganas ini dan kami tahu kamu akan kecundang akibatnya.

Masyarakat sampahan bernama Israel ini membawa malu kepada ketamadunan abad ini dan tindakan sembrononya terhadap 600 penumpang kapal relawan kemanusiaan daripada lebih 50 buah negara pada Mei 31, 2010; menembak sesuka hati dengan peluru hidup, menembak dari jauh, menembak jarak dekat, menggunakan kekerasan dengan menendang, memukul dan memijak mereka, sebenarnya itulah apa yang tentera KAMU mengajar untuk diperlakukan ke atas rakyat Palestin, Iraq, Pakistan, Filipina, Thailand dan Afghanistan.

Sekarang kamu tidak teragak-agak melakukan perkara yang sama ke atas misi kemanusiaan daripada 50 buah negara, ramai di antara mereka adalah sekutu kepada kulit putih Amerika sendiri , kerana kebelakangan ini kamu sudah buta warna dek penangan Israel. Dan ini adalah kesilapan terbesar kamu!

Kini mereka ini memusuhi kamu.

Pegang janji kami – bahawa kami rakyat Malaysia akan tetap bertahan dan terus lawan dan lawan beriringan dengan semua masyarakat bertamadun sedunia sehinggalah rakyat Palestin memperolehi kembali tanahair mereka dan Israel dimusnahkan. Pada ketika itu Amerika akan kepupusan kehormatan, maruah dan sumber yang mengakibatkan kamu menyertai Israel yang ganas itu serta pendokongnya yang juga semakin pupus. Dunia kini tersedar besarnya kesilapan Amerika dengan mendokong biawak hidup Israel sepanjang beberapa dekad, dan kini dunia sedang menentang kamu, Amerika.

Kami, selaku gagasan masyarakat bertamadun mewakili suara hati rakyat Malaysia pada hari ini:

  1. Menyangkal keujudan negara teroris bernama Israel
  2. Membantah sokongan Amerika kepada Israel dalam semua bentuk
  3. Membantah serangan ganas ketenteraan ke atas orang awam di atas kapal “MV Mavi Marmara”
  4. Menuntut diadakan penyiasatan menyeluruh dan timbang tara terhadap kematian dan penghospitalan mangsa relawan kemanusiaan
  5. Memastikan setiap penumpang kapal dapat dikenalpasti status mereka kini
  6. Memulangkan mereka sama ada hidup ataupun mati kepada waris masing-masing
  7. Siasat penculikan oleh Israel terhadap penumpang-penumpang tertentu dari atas kapal dengan tujuan interogasi dan penyiksaan
  8. Mempertanggungjawabkan sepenuhnya kerajaan Israeli ke atas kehilangan nyawa, kargo yang dirampas, barang pemilikan peribadi para relawan, serta imbuhan kewangan kepada semua relawan dan mereka yang terbunuh oleh tentera Israel
  9. Tegaskan pemulangan semula dengan kadar segera semua kapal dan bantuan yang disasarkan ke Gaza
  10. Meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjalankan siasatan teliti bagaimana Israel dibenarkan melanggar undang-undang sedangkan flotilla berkenaan menepati kesemua perundangan maritim dan memenuhi sepenuhnya Resolusi 1860 PBB (2009), yang termasuk:
  • Merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk membekalkan bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuklah makanan, bahan bakar dan bantuan perubatan
  • Mempermudahkan proses dan penghantaran bantuan
  • Seruan agar mendapatkan sokongan untuk melenyapkan kesengsaraan kemanusiaan dan kelemahan ekonomi di Gaza

Kami mahu agar pengisytiharan ini disampaikan secara peribadi ke meja Tuan Barrack Obama agar dia tahu bahawa orang Palestin sudah memenangi kawan-kawan baru dari SELURUH PELUSUK DUNIA sejak peristiwa “MV Mavi Marmara”. Beritahu Presiden kamu bahawa kami warga Malaysia beserta negara-negara bermaruah seluruh dunia akan terus menganjurkan dan mendana flotila-flotila berikutnya biar apa pun yang akan terjadi.

Ini kerana kami tidak sembunyikan ekor di celah kelangkang kami seperti kamu bila berdepan dengan Israel.

Zulkifli Mohd Nani,
Pengerusi,
Crisis Management Team
for Life Line For Gaza, Malaysia