Alam itu sebenarnya amat pengasih andai diteliti dan direnungi secara istiqamah. Perletakan sesuatu pada tempat yang betul membuatkan engkau terpegun dek susun aturnya. Susun atur indahnya alam ini, meneguhkan lagi cinta Al-Rahim pada makhluknya. Saat alam ini memberontak, alam akur dengan kemahuan penghulu mereka .
Lambang pengabdian dicurah penuh setia. Mereka diam tatkala dibinasakan, Mereka bising meski diperdayakan. Masih panas untuk mengurangkan kos . Masih sejuk untuk menghilangkan haus. Malah, mereka berzikir bersama-sama yang lain walaupun nasib cucu-cicit mereka tidak seindah di hutan sana.Alangkah menyesalnya kerana tiada akal untuk menyedari segenap kasih itu selama engkau hidup berpuluh tahun dibawah naunganNya. Tangan masih menulis selesai sahaja engkau mencuri. Kaki ligat berjoget selesai sahaja menogak Whiskey. Lidah tetap berkata selesai sahaja engkau berbohong. Mata masih melihat selesai sahaja zina ditonton. Andai tidak ditamatkan semua korupsi ini. semua penjualan todi, semua pembohongan, dan semua penzinaan, kelak semuanya binasa dijilat neraka.
Pada pandangan aku, biarlah mahabbah ini berlaku mengikut alirannya. Pasti ada hikmah mengapa tuhan menciptakan ini semua, sedangkan segala kekuasaan adalah di hujung jarinya. Iblis dan syaitan itu mudah sahaja untuk dibinasakan andai itu adalah kemahuan dari yang maha esa. Akan tetapi, konsep inilah yang disebutkan keadilan. Tuhan itu maha adil ke atas semua makhluk-makhluknya. Tidak kira lah samada manusia, malaikat, syaitan atau segenap inci dunia ini yang tidak lepas dari kekuasaanNya. Kasih sayang Allah SWT itu masih terpancar dek dengan keenggananNya untuk menghapuskan syaitan dari dunia ini. Bayangkan sahaja sekiranya syaitan itu insaf sebelum hari kiamat. Pasti dunia ini akan mengalami perubahan yang amat amat besar. Dan pasti juga Allah akan memaafkan syaitan-syaitan ini kerana kasihnya AzzaWajalla ke atas makhluk yang paling banyak melakukan kemungkaran ini.
Sesungguhnya, cinta itu tiada tandingan.Dan bagaimana pula dengan manusia pada ketika itu? Pada ketika tiadanya syaitan yang akan menghasut kita ke jalan yang terpesong? Yang nyata, kita masih tidak mampu hidup bahagia sekiranya tiada lagi bisikan-bisikian jahat berbaur neraka dari iblis-iblis ini. Kenapa aku kata begitu? Kerana adanya nafsu. Seteru utama dalam setiap jiwa manusia. Akan terbelenggu segala keinginan kita andai tuhan tidak menciptakan nafsu dalam diri khalifah dunia ini. Aku tak tahu dunia jenis apa yang tuhan mahukan dari khalifahnya. Tapi aku yakin, mahabbah yang di variasi kan dalam setiap diri manusia ini adalah seagung-agung ciptaan. Kita sebenarnya berada dalam satu system perisian komputer yang maha hebat. Yang tiada tandingannya.
Tertarik dengan apa yang aku alami pada tiap-tiap malam aku bekerja. Terkadang panas, dan terkadang dingin terasa. Tapi pada malam itu, sesungguhnya aku tidak pernah mengalami keindahan jiwa sebegitu rupa. Sejuk terasa sehingga berpeluh tapak kaki dalam kasut yang ku sarungkan pada malam itu. As-Siddiq memancar kelam dari kegelapan yang tiada bintang. Sesungguhnya, pada waktu itu, aku memikirkan, sudah berapa kali aku gagal menunaikan solat subuh. Astaghfirullah.