Pada suatu masa ada seorang miskin yang keadaannya sangat miskin. Carian hidupnya cuma cukup untuk hidup sehariannya sahaja, dari pagi sampai ke petang, bak kata orang; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibarat burung, keluar pagi perut kosong, pulang petang tembolok kenyang.
Segala ikhtiar sudah pun dicari; tetapi nasibnya seperti itu juga. Justeru itu dia pun mula berfikir untuk mengatasi masa depannya; kalau-kalau nasibnya akan berubah; sedangkan keadaan orang lain kelihatan semakin berusaha, makin bertambah kaya. Pada masa-masa yang lalu dia pernah menganggap rezeki secupak takkan jadi segantang.
Si Miskin itu merasa lemah diri; tidak lagi bersemangat untuk berusaha dan melipatkan daya kerja. Kerana itu dia ingin bertanya kepada hidupan unsur alam; Tanah, Air, Api dan Angin; sebab disangka kesemua mereka ini adalah merupakan sebagai makhluk hidup selaku sumber alam yang boleh menghubungi Tuhan.
Kerana itu sebagai langkah pertamanya, dia pergi mencari Angin. Bila dia bertemu dengan Angin, dia pun berkata:
"Engkau ini orang kuat. Justeru itu bila engkau mengadap Tuhan, maka nyatakan; "Mengapa aku ini menjadi miskin papa?"
Kerana itu Angin pun pergi mengadap Tuhan lalu dia berkata:
"Wahai Illahi, wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ini adalah suatu makhluk yang kuat. Aku boleh memecahkan bukit bukau dan menghancurkan gunung ganang; dan aku boleh meniupkan api sehingga dia boleh menyala dan membakar hangus"
Mendengar kata-kata itu pihak Tuhan menjawab:
"Wahai Angin, engkau belumlah kuat; sebab engkau adalah suatu makhluk yang menjadi hamba kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Kerana itu, engkau kembalilah"
Angin lantas bertanya:
"Betapakah aku menjadi hamba mereka?"
Pihak Tuhan menjawab:
"Engkau menjadi hamba mereka; sebab engkau ditugaskan meniup udara agar dia bertiup untuk kepentingan kehidupan di dunia ini"
Langkah keduanya, Si Miskin tadi pergi menemui Api di mana disangkanya Api lebih kuat daripada Angin, katanya:
"Engkau ini orang kuat. Kerana itu bila engkau mengadap Tuhan, maka nyatakan; "Mengapa aku ini menjadi miskin papa begini?"
Tanpa berlengah-lengah Api pun pergi mengadap Tuhan, lantas dia berkata:
"Ya Illahi, ya Tuhanku, aku ini adalah suatu makhluk yang kuat. Aku boleh membakarkan seluruh dunia dalam masa yang singkat sahaja."
Mendengar kata-kata itu pihak Tuhan menjawab:
"Wahai Api, engkau belumlah kuat; sebab engkau adalah menjadi hamba kepada umat Nabi Muhammad s.a.w."
Api menyahut:
"Betapakah aku menjadi hamba mereka?"
Pihak Tuhan menjawab:
"Engkau menjadi hamba mereka; sebab engkau ditugaskan menolong memasak makanan mereka"
Langkah ketiganya, Si Miskin beredar pula kepada Air. Sesudah bertemu dengan Air, maka dia berkata kepada Air:
"Engkau ini orang kuat; bila engkau mengadap Tuhan, maka tanyakan: "Mengapa aku ini menjadi miskin sengsara?"
Air pun segera mengadap Tuhan, lalu berkata:
"Wahai Illahi, wahai Tuhanku. Aku ini adalah suatu makhluk yang kuat. Aku boleh menenggelamkan segala isi dunia dengan seketika sahaja. Bukankah dalam peristiwa banjir dunia dahulu, Air yang membinasakan kaum Nabi Nuuh yang angkuh menentang Tuhan dan perintah NabiNya?"
Pihak Tuhan menjawab:
"Wahai Air, engkau belumlah kuat; sebab engkau adalah menjadi hamba kepada umat Nabi Muhammad s.a.w."
Air terus bertanya Tuhan:
"Bagaimana caranya aku menjadi hamba kepada umat nabi s.a.w?"
Pihak Tuhan menjawab:
"Engkau menjadi hamba kepada merekal sebab engkau ditugaskan membasuh segala makanan anak Adam untuk mereka dapat makan (bila bersih) bagi kepentingan beribadah kepada Allah."
Mengetahui kegagalan Angin, Api, dan Air mengadap Tuhan itu, Tanah menawarkan diri untuk cuba menjawab pertanyaan daripada Tuhan. Maka Tanah pun pergilah mengadap Tuhan dengan berjalan kaki, menyongkok dari jauh kerana merendah diri kepada Tuhan.
Melihat kedatangan Tanah (bahan atau lambang manusia) itu, maka pihak Tuhan pun lalu berkata:
"Tak usahlah engkau berjalan menyongkok (membongkok) demikian rupa; sebab engkaulah yang terlebih kaya daripada yang lain, di atas muka engkaulah tempat berpijak dan tempat tinggal umat Nabi Muhammad s.a.w; dan pada engkaulah terpancangnya bukit-bukau dan gunung-ganang yang tersergam hebat. Demikian juga pada engkaulah hidupnya segala jenis hewan dan unggas."
Maka di kala ini berkesempatanlah Tanah untuk bertanya pihak Tuhan tentang mengapakah Si Miskin tadi menjadi miskin melarat. Pihak Tuhan melaporkan:
"Sebab Si Miskin itu hidup melarat dan tertindas ialah disebabkan sifatnya yang sombong, tidak pernah merendah diri kepada orang lain; seandainya dikurniakan kekayaan kepadanya sekalipun, dia tetap akan menggunakan kekayaan itu untuk bermegah-megah, berlagak congkak dan sombong"
Bila mendapat jawapan yang tepat itu, Tanah pun segera pergi mendapatkan Si Miskin yang ingin menanyakan apakah sebabnya dia jatuh miskin-papa sedemikian rupa. Segala kata dari pihak Tuhan itupun didedahkannya semuanya sehingga membawa keinsafan kepada Si Miskin itu menyebabkan dia segera merendah diri dan menghormati orang lain terutama orang-orang yang lebih tua daripadanya; juga giat sekali bersedekah dan berderma untuk jalan Allah, menyebabkan rezekinya dimurahkan Allah tanpa disangka-sangka.
Bukankah Allah 'Azza Wa Jall telah berfirman:
"Sesungguhnya seandainya kamu bersyukur (kepada nikmat-nikmat yang telah Aku berikan) pastilah Aku akan tambahkan lagi (pemberian) untukmu." -Surah Ibrahiim :7
Manakala Rasulullah s.a.w sendiri pernah memberitakan:
"Orang yang awal antara tiga golongan yang memasuki Neraka ialah orang yang hidup melarat; tetapi sombong......" -H.R Imaam Ahmad B. Hanbal
Sombong adalah suatu sifat bapa syaitan (Iblis) yang membuatkan dia dan keturunannya mendapat kutukan Allah; dan siapa yang memiliki di lubuk hatinya akan sifat ini sekalipun sebesar kuman tidaklah dia akan dapat memasuki Syurga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan