Rabu, Julai 14, 2010

NEWS PEG - BIBLIOGRAPHY

Susuk yang diberi nama Ammar ini terlalu ingin menongkah arus perjalanan hidupnya hanya dengan satu pegangan; aku akan mati suatu detik nanti, aku akan kembali kepada Penciptaku, dan aku harus siapsiagakan diri ini, agar buku amalanku tidak diterima oleh sebelah tangan yang sama bertugas sebagai pencuci duburku hampir saban hari. Kalau kata ahli agama kita, “Insan Kamil”, bunyi wawasannya.

Jurus terkini, aku perlu menuntut ilmu kewartawanan, di Universiti Teknologi Mara. Idealistiknya; bercita-citalah aku untuk berkenalan dengan seluruh isi alam dari segala ceruk permukaan bumi berserta ragam segala makhlukNya itu. Kalau kata ahli agama kita, “Sunnatullah” bunyinya. Apa lagi kalau bukan profesi jurnalis yang menghidangkan jutaan peluang untuk tujuan ini? Tidak perlu diperbesarkan kedaifanku dalam bidang kebahasaan demi cita-cita ini. Insyallah, segalanya diberkati.

Sahabat sekalian,

Aku pernah gagal dalam pengajianku. Pada peringkat yang sama, cuma jurusannya berlainan. 3 tahun lalu, aku tidak mengarang, melainkan mengira. Kira apa? Kira wang. Itulah yang aku pelajari. Mempelajari ilmu perakaunan itu tidak salah, malah penting untuk kesejagatan umat seluruhnya. Cuma, fahaman kapitalis berorientasikan keuntungan maksimum yang terlalu disogokkan itu membuatkan aku kurang bersetuju untuk meneruskan pengajian ke tahun kedua.

Sebelumnya, 3 tahun zaman mudaku berlegar-legar di sekitar bandar Kuantan, Pahang. Kali kedua, aku keluar dari rumah untuk berdikari sesudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan yang tidak seberapa. Minat terhadap perniagaan membuakkan semangat untuk menamatkan pengajian Diploma Pengajian Perniagaan ini dengan sesungguhnya.

Walhasil, aku tahu segala macam istilah dan sistem kira-kira yang aku gunakan waktu membantu perniagaan rakan di pasar-pasar malam suatu ketika dahulu. Kalau bulan puasa, lagi seronok bila berada di bawah satu komuniti yang berkumpul atas urusan melengkapkan ibadah menahan hawa nafsu ini. “Karipap! Karipap!” Aku jerit.

Kita undurkan lagi sedikit masa.

Sekitar beberapa tahun yang lalu, seorang wanita berusia lingkungan 40an berdiri di pinggir pagar sebuah sekolah. Hilaian angin sepoi bahasa, diiringi tangisan di cerah suasana. Aku bingkas bangun menyusun segala alat tulis. Ikat dengan getah gelang sebelum masuk dalam kocek kemeja sekolah rendah. Berlari-lari anak mengejar si penanti; ibu mithali.

Dengan pantas tangan bertaut di celah-celah pohon orkid melilit indah pagar pinggir padang sekolah. Belakang tangan dikucup seraya bersuara bertanyakan lauk apa yang dibekalkan. Kembali aku ke kantin berbekal azimat penunduk kelaparan utusan bonda tercinta. Aku menyuap dengan harapan kembali bertenaga untuk menghadiri kelas tambahan anjuran pihak sekolah.

Kesimpulannya,

Dalam proses penulisan sejarah barat, ianya harus ditulis dengan penuh meyakinkan dan menyebabkan data-data mereka dipilih secara selektif. Fakta atau keterangan yang tidak sesuai akan ditolak. Ini angkara meletakkan kebenaran itu adalah relatif ciptaan Plato serta keangkuhan Cogito Ergo Sum jajaan Rene Descartes. Mereka enggan melihat sejarah itu sebagai suatu proses mencari kebenaran.

Dalam Islam, sejarah itu bergerak seiring dengan realiti. Terdapat Allah S.W.T yang menciptakan dunia ini, dan adanya manusia dalam mentadbir dan menguruskannya. Kewujudan Tuhan yang transendence itu mengatur dunia ini tanpa menjadi sebahagian daripadanya kerana manusia itu dibekalkan akal fikiran, dan juga petunjuk dalam mencipta sejarah dunia. Sewajarnya, sejarah itu haruslah ditulis dengan menekankan aspek kemanusiaan dan juga nilai-nilai di sebalik setiap peristiwa itu tanpa ada dualisme antara makhluk dan penciptanya.

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (Ibrahim : 24-25).

Tiada ulasan: