BERSIH DAN KENTUT-KENTIT PANAS
Oleh : Tukartiub
Maka pada pagi yang mulai ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya ; agar cucu cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di Kurun Masehi ke 21 ini. Biarlah hamba menjadi Tok Perawi yang saheh membawa kesah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kesahkan lah hendaknya. Amin.
Wahai anak cucu cicit sekelian; kesahnya bermula dari sini:
Kalau di negeri Arab Palestine telah berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestine dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestine melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.
Kesedihan orang Palestine itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau Malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya.
Inilah Malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah Malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini. Semenjak Malapetaka ini sampai; hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah di bodoh-bodohkan. Orang Melayu telah di gula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampoon ini lah Malapetaka. Inilah Nakba.
Adalah hendak dijadikan cerita; hamba hanyalah Tok Perawi yang membawa kesah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri. Telah terdengar kesah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihanraya setiap kali.
Maka nujum dan pawang pun di panggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang. Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika. Saat itulah saat gumbira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang Bersih disalut oleh hati yang Bersih.
Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita. Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.
Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkan lah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka Gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa. Pemikir dan soldadu mendapat upah mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu di bodoh-bodohkan.
Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang Mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata. Adalah mengikut surah ini si Mamat ini bangang lagi lah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng; mukanay pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan bontot tersadai.
Si Mamat ini di surahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau didalam parit tetapi ditepi busut disebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat Mat Pet berjual beli. Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang layang memenggal leher ibu dan abang.
Tidak cukup dengan kesah bom dan parang di tepi Sogo datang pula kesah seorang Mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun. Bukan di Kerinchi bukan di Pandan tapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak disebelah kuil China. Mengikut kesahnya si Mamat ini sedang berusaha menanamkan parang , bom dan senjata.
Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kesahkan lagi ; inilah cara inilah gaya; inilah teknik, inilah strateji untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya. Adalah bom adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya Bersih membawa senjata.
Inilah tipu inilah helah. Inilah rupa kerja manusia diwaktu siangnya dia menipu diwaktu malamnya dia menjarah. Biarlah disini hambo memanjangkan surah. Wahai abang abang dan kakak kakak sila lihat sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov. Aduhai bodoh lah polis yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Bergeaklah sikit.Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Parang ini sepesen sepesol. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.
Tidak cukup dengan ini tipu helah Gerombolan terbonggenglah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah Lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail carilah surah. Wahai Rosmah hambo nak beritahu, isteri tuan hamba bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishammuddin Hussein; molotov cocktail perlu botol kaca, botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.
Aduhi segala hamba Allah berita yang dirancang oleh Gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa tutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung Sang Puteri. Apakah otak apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hambo yang menjadi Tok Perawai kini jadi serba salah – nak menangis pun ada nak tersenyum pun salah.
Tidak cukup dengan ini seantero negeri pun mula di beritahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berligar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta dipereksa. Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta di geledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.
Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral ada yang mula berkata tugas tentera bukan untuk Gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat orang kampong sanak saudara sahabat dan taulan.
Mengikut tuan yang empunya ceritera apabila Najib diberitahu duduk pekara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.
Hambo sebagai Tok Perawi tidak mahu berlagak sombong.Hambo hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa adik dan kakak jangan senyum tapi ketawalah terbahak-bahak. Hambo nak royak kesah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak. Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut. Semua mula berkata ‘ kami tak takut’.
Auta Perkasa sudah teserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak; jangan menuduh hambo ini Tok Perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita. Perkasa lesap hilang entah kemana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpuann Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir dan berzakar. Berkelintau memukau memakai akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.
Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hambo diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka Menantu Ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangla diberiupah pakai Baju Merah. Tak cukup dengan Mat Bangla i si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.
Kepada cucu cicit yang akan datang zaman berzaman ; marilah kita belajar dari al-kesah ini. Hendaknya kesah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut dari laman ke laman dari blog ke blog dari twitter ke twitter.
Diakhirnya ini hambo sebagai Tok Pewari ingin mengundur diri. Hambo disini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan Malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan. Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datang lah taufan datang lah Perkasa, datanglah silat datanglah Patriot. Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah Malapetaka busuk ini pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa apa jadi Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.(TT)
nota:
tulisan ini telah
disiarkan dalam SUARA KEADILAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan