Khamis, Oktober 13, 2011

Media Alaf Baru : Suatu Sudut Pandangan Demokrasi

Perkembangan media massa sejak 500 tahun lalu, di mana akses jutaan manusia kepada teks telah menjadi salah satu faktor penting untuk membentuk kehidupan sejagat dan menggiatkan lagi kemajuan institusi media sebagai perantara informasi antara manusia dan alam sekeliling.

Perubahan masyarakat kepada bentuk komunikasi visual yang menggunakan sepenuhnya ruang penglihatan dalam pengurusan ilmu pengetahuan memberikan impak yang besar kepada sistem pengurusan sesebuah akhbar.

Namun begitu, di sebalik pemilihan bentuk komunikasi visual dalam kelompok masyarakat dunia hari ini, pembangunan pesat dalam bidang ekonomi menyaksikan idea, kepercayaan dan nilai menjadi aset utama untuk menguasai pasaran domestic dan antarabangsa di kalangan penggiat industri ini.

Struktur organisasi media yang lebih berorientasikan kepada kepentingan individu dan persaingan; seperti yang diwar-warkan oleh Adam Smith dan Milton Friedman memberikan kesan ampuh dalam pembentukan media yang lebih bebas.

Situasi ini menyempitkan lagi ruangan untuk mencipta satu keputusan atau pandangan yang bersifat universal kerana capaian audien yang jauh lebih tinggi telah mengetepikan nilai-nilai solidariti yang lebih mudah dibentuk dalam satu komuniti yang lebih kecil.

Milton Friedman, pemenang anugerah Nobel Ekonomi menyatakan, adalah sesuatu yang subversif untuk mengatakan bahawasanya media hari ini lebih mengutamakan keuntungan dalam operasi mereka dan tidak memberi perhatian kepada kewujudan masyarakat yang lebih bebas melontarkan sesuatu idea.

Beliau menyatakan, penentangan idea ini wujud kerana kegagalan untuk menyatukan dua elemen penting iaitu penguasaan individu tertentu dalam pemilikan institusi media dan keadilan sosial yang menjamin kesamarataan di kalangan anggota masyarakat.

Dua elemen yang berbeza ini sebenarnya saling mempengaruhi dalam kebolehan anggota masyarakat itu untuk melontarkan idea dan pandangan mereka berkenaan sesuatu isu.

Sesuatu yang lebih menarik dikemukakan oleh Noam Chomsky berkenaan isu ini. Beliau menyatakan kebebasan individu masih tetap dipinggirkan oleh media hari ini dengan mempengaruhi sistem politik yang menyebelahi mereka. Pelbagai undang-undang media yang diperkenalkan dipercayai telah membantutkan buah fikiran ahli masyarakat untuk lebih luas mengembara ke pelusuk akal individu yang lain.

Disebabkan faktor yang telah dinyatakan di atas, wujud satu persoalan tentang peranan media samada mereka mencerminkan realiti masyarakat ataupun proses penapisan dikuatkuasakan dengan memilih informasi-informasi tertentu yang wajar menjadi tatapan umum hari ini.

Untuk menjawab persoalan ini, penulis memikirkan bahawasanya media hari ini melaksanakan kedua-duanya sekali dan ianya dipengaruhi oleh pandangan masyarakat tentang realiti itu sendiri.

Dalam politik misalnya, tingkahlaku ahli-ahli politik yang digambarkan sebagai sesuatu yang palsu dikalangan individu tertentu adalah bersandarkan kepada pandangan individu tersebut terhadap politik itu sendiri dan hal ini menjurus kepada tafsiran yang sama terhadap media yang memaparkan realiti tentang ahli politik.

Sebaliknya, jika masyarakat melihat realiti politik hari ini memerlukan pengubahsuaian, mereka turut berpendapat pengubahsuaian juga harus dilaksanakan dalam institusi media dan ini berpunca daripada kegagalan media untuk memaparkan sepenuhnya gambaran situasi politik sebenar dalam masyarakat mereka.

Perkembangan teknologi menjadi asas utama dalam untuk menyokong premis kedua kenyataan penulis mengenai proses penapisan informasi di kalangan penggiat industri media hari ini.

Teknologi komunikasi yang pesat membangun wajar menggambarkan situasi bahawasanya kebebasan untuk mengakses maklumat-maklumat yang bersifat eksklusif masih lagi wujud. Internet misalnya, ditafsirkan sebagai dunia tanpa sempadan oleh generasi kini dan harus ditekankan disini, bahawasanya internet juga adalah salah satu daripada medium penyebaran informasi.

Kenyataan Friedman seperti yang dinyatakan di atas wajar disokong di mana pandangan melihat akhbar sebagai medan memperolehi keuntungan semata-mata sebenarnya bersifat melulu dan ini wujud hanya kerana organisasi media, seperti organisasi lain dalam bidang yang berlainan mempunyai struktur hierarki yang sama dan proses penjualan produk turut dilakukan.

Contoh yang paling jelas ialah kerugian Rupert Murdoch dan The Times of London suatu ketika dahulu adalah disebabkan keinginan organisasi mereka untuk mengekalkan pengaruh mereka dikalangan masyarakat di England dan hal ini jelas menunjukkan keuntungan hanyalah sebagai salah satu kayu pengukur kejayaan sesebuah organisasi media di samping pelbagai faktor lain yang perlu di ambil kira.

Hala tuju masyarakat adalah keperluan utama yang harus diberikan perhatian dalam menilai media di alaf baru dan dua kaedah yang telah dikenalpasti termasuklah membimbing masyarakat dari segi dalaman; mentaliti dan rohani setiap anggota masyarakat itu dan juga meminggirkan pendapat atau konsep yang tidak bersifat universal.

Jadi, apa mekanisma yang paling sesuai untuk memastikan matlamat ini Berjaya dicapai? Sebaik-baiknya, persaingan harus dibuka seperti yang dinyatakan oleh Pierre Bordieu, seorang ahli antropolgi dan ahli falsafah.

Persaingan antara jurnalis dan antara organisasi media sebenarnya mampu untuk mencipta satu titik persamaan ataupun homogeni dalam membimbing masyarakat kepada hala tuju yang sama.

Selanjutnya, peranan media sebagai satu institusi dalam masyarakat yang demokratik adalah cabaran utama selepas kebebasan dibuka seluas mungkin dalam penyebaran informasi.

Hal yang demikian berkait rapat dengan keupayaan organisasi media untuk membuat keputusan yang mampu memberikan maklumat yang cukup kepada setiap anggota masyarakat di mana kebolehupayaan masyarakat untuk mendapatkan maklumat perlu disokong dengan demokrasi dari segi politik dan ekonomi, sosial dan budaya.

Demokrasi politik bermaksud kebebasan untuk berpolitik dan memilih kerajaan demokrasi ekonomi bermaksud memberikan kesamarataan dalam pemilikan punca-punca ekonomi, manakala demokrasi sosial pula menjamin keperluan asas kepada setiap kelompok masyarakat dipenuhi.

Ini mampu untuk membudayakan demokrasi total yang membenarkan semua anggota masyarakat mengambil bahagian dalam penjanaan buah fikiran dan penyebaran informasi.

Gambaran penulis mengenai demokrasi total yang mampu dijana dengan membuka ruang persaingan kepada nilai-nilai individualis mewajarkan nilai ini ditukar kepada beberapa nilai yang lebih menjamin penyatuan masyarakat seperti perkongsian pendapat, berkerjasama, dan saling bantu membantu.

Isunya adalah bagaimana pengubahsuaian ini harus dilaksanakan? Penulis ingin menyenaraikan empat pendekatan utama yang wajar diperdebatkan untuk mengatasi kemelut media alaf baru yang memperdebatkan nilai-nilai demokrasi yang menjadi tuntutan masyarakat hari ini.

Pertamanya, pendekatan reformasi. Reformasi wujud dalam dua bentuk sama ada ianya dilakukan dengan penaklukan kuasa pentadbiran sesuatu kerajaan disusuli dengan persekitaran polisi kerajaan yang lebih adil atau pembentukan akar umbi masyarakat yang lebih bersifat autonomi untuk memberikan tekanan kepada pemerintah melaksanakan perubahan dalam pengurusan institusi akhbarnya.

Akan tetapi, pendekatan ini masih lagi meletakkan kerajaan sebagai satu kelompok yang masih terus menguasai institusi akhbar di mana keputusan yang bakal diputuskan dalam institusi-institusi lain seperti pendidikan, dan ekonomi sememangnya memberi impak yang besar dalam kepada institusi yang menjadikan informasi sebagai bahan dagangan kepada masyarakat seluruhnya.

Pendekatan kedua adalah melalui cara hidup dan ekspresi masyarakat melalui buah fikiran dan tindak tanduk mereka yang tidak dipengaruhi aspek politik dan juga sosial.

Pendekatan yang membudayakan sesuatu pandangan kepada bentuk tingkahlaku ini dilihat mampu menguasai hanya sekelompok kecil anggota masyarakat berbanding tuntutan demokrasi total yang tidak mampu dicapai diluar sempadan politik dan juga social.

Pandangan Michael Albert berkenaan pendekatan ini ialah pembentukan media alternative dalam skala yang kecil ini hanyalah sekadar perkongsian aktiviti dan cara hidup tanpa sebarang keperluan untuk menyatukan mereka dalam aktiviti-aktiviti politik yang mampu melahirkan demokrasi total dalam sesebuah negara.

Pendekatan seterusnya dikenali sebagai pendekatan revolusi, di mana perubahan sistem kapitalis kepada sistem sosialis jajaan ideologi Marxis-Lenin dilihat mampu mecerahkah demokrasi akhbar pada alaf baru ini.

Revolusi sosialis yang dilaksanakan dengan penaklukan kuasa politik ini perlu dilengkapi dengan apa yang diistilahkan sebagai “sains” sosialis; metodologi kajian berasaskan pandangan sosialis, untuk membentuk persekitaran ekonomi dan politik yang disifatkan lebih adil oleh pendukung falsafah ini.

Apa yang jelas, pendekatan revolusi ini dibuktikan oleh sejarah akan berakhir dengan pemberontakan dan tekanan dari pihak tentera seperti yang berlaku di Sepanyol pada tahun 1936 dan ini menjurus kepada kegagalan untuk mencipta demokrasi total di mana proses menyedarkan masyarakat di peringkat individu dan institusi yang tidak menyeluruh menjadi punca utama kegagalan.

Pendekatan terakhir ialah pendekatan demokrasi inklusif di mana pembaharuan sistem ekonomi berasaskan pasaran (baca: kapitalis) ini perlu dinyahkan daripada sumber-sumber ekonomi sesebuah negara dan pada masa yang sama nilai-nilai demokrasi seperti yang disebutkan tadi perlu disuburkan demi memastikan demokrasi total yang di idam-idamkan mampu menjana pembangunan media yang lebih berdaya saing untuk menghadapi cabaran alaf baru ini.

Kesimpulannya, media alaf baru dan perkembangan teknologi sebenarnya mampu membentuk persekitaran yang lebih demokratik demi menjamin pembangunan masyarakat yang lebih terdedah kepada maklumat dan seterusnya memberi galakan kepada setiap anggota masyarakat itu untuk berkongsi pendapat dan pandangan mereka mengenai sesuatu isu, tetapi keutamaan haruslah diberikan kepada pengurusan ekonomi dan politik yang lebih baik.

-END-

Tiada ulasan: