Jumaat, Januari 29, 2010

Surat Cinta Dari Timur Tengah

Diterjemahkan oleh Maszlee Malik

Alhamdulillah, Allah S.W.T memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih oleh Allah bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh Allah dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Kami juga dipilih oleh Allah bagi mewakili umat Islam di seluruh dunia supaya menjadi benteng pertahanan kepada Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid suci ketiga. Kami juga dipilih oleh Allah supaya menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan berbanding kehidupan dunia.

Selama lebih 60 tahun kami hidup di medan pertempuran. Selama tempoh itu juga kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa? Hanya kerana kami mengucapkan la ilaha ilallah dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.

Pelbagai bentuk kesengsaraan sudah dilalui oleh rakyat Palestin. Pengusiran dari rumah, kampung halaman dan juga tanah air. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan pelbagai perbuatan tidak bertamadun yang dapat disenaraikan sudah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited supaya terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. Ia adalah jihad, kemuliaan dan bukti yang ingin kami bawa sebagai mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami ini.

Semasa detik-detik awal penjajahan, kami, saudara anda dari gerakan Islam menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam dibantai penjajah. Walau bagaimanapun, pembantaian itu tidak cukup bagi melemahkan kami. Sehingga zaman Jamal Abdul Naser, seperti mana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh itu, gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kami menumpukan usaha membina semula struktur perjuangan. Usaha pendidikan, dakwah, tarbiah dan kebajikan menjadi agenda utama kami.

Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehingga pada pertengahan 80-an apabila arus sekular mula jemu dengan perjuangan. Semasa arus sekular yang asalnya memandu perjuangan Palestin mula lesu, kami mula memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami berteraskan Islam dan kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami kami bukan hanya sekadar mahu memerdekakan sekeping tanah, tetapi bagi memandu kebangkitan semula umat Islam dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

Semenjak hari pertama penubuhannya, HAMAS menjadikan jihad sebagai jalan utama bagi memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga memberikan nyawa ahli-ahli mereka bagi tujuan itu dan berjanji kepada rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam supaya terus komited dengan perjuangan kami. HAMAS juga berjanji hendak memerdekakan Masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat bagi memerintah mereka. Kemenangan ini walaupun indah, namun ia adalah ujian yang getir bagi kami. Kemenangan itu adalah era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambahkan satu lagi ruang dalam perjuangan kami iaitu politik pemerintahan. Semakin bertambah beban, semakin tinggi pengorbanan kami.

Buat umat Islam di Malaysia, kalian adalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita sudah diikat dengan fikrah dan akidah yang sama. Kita dihimpunkan dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita ditakdirkan bersama dalam perjuangan dengan manhaj dan tujuan yang sama. Kami adalah wakil saudara di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan saudara. Pemerintahan kami adalah pemerintahan saudara. Kerajaan HAMAS adalah ker ajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan pencinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah saudara sedar perkara ini? Jika saudara tidak sedarkan perkara ini, siapa lagi yang akan menyedarinya?

Umat Islam di Malaysia sekalian, menjadi pemerintah tidak mudah. Apatah lagi memerintah dalam fasa penjajahan dan peperangan. Ditambah pula apabila pemerintah hanya memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan kedaulatannya serta memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didukungi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Manakala pemerintah itu sebenarnya mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan hutang sebanyak USD3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang dilalui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili saudara semua di seluruh dunia.

Sehingga kini, para pegawai kerajaan, termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak 3 bulan yang lalu. Tahap pengangguran mencapai 31 peratus di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin berkurangan. Baru-baru ini, 3 orang bayi meninggal di hospital berdekatan Gaza kerana tiada ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak dapat menduduki peperiksaaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Malah persidangan parlimen (Majlis Legislatif) kami di Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.

Mengapa ini semua berlaku? Ia kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan EU. Tekanan yang dikenakan hanya kerana rakyat Palestin memilih calon yang rakyat inginkan dalam pilhan raya yang lalu. Tekanan dikenakan kerana kami enggan mematuhi ugutan mereka supaya mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?

Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis mengambilnya dan mereka tidak pernah dipaksa supaya memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang dapat memaksa rejim Zionis supaya memulangkannya? Mereka juga menutup laluan udara, darat, dan laut Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian yang dipersetujui kerajaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua. Kami yakin, saudara seIslam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seIslam kami masih dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seakidah kami di seluruh dunia dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi daripada rejim Zionis. Persoalannya, dimanakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di saat kami memerlukan mereka?

Wahai umat Islam di Malaysia! Kami mengharapkan anda mengepalai kempen menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunyai 2 pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel bagi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk pada tekanan. Kami memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah dan tunduk kepada tekanan. Malangnya rakyat hanya mampu bertahan selama 6 bulan. Setiap hari rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa kerajaan HAMAS tidak tunduk pada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila? Perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami memerlukan bantuan saudara bagi melakukannya. Sanggupkah saudara melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?

Umat Islam di Malaysia sekalian, kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehingga setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam dijulang. Namun, kami memerlukan sokongan dan bantuan kalian.

Jika kami gugur syahid manakala saudara sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut daripada Allah atas kelembapan saudara semua. Kami tidak akan reda pada kelesuan dan kebisuan kalian. Kami tidak akan memaafkannya.

Umat Islam di Malaysia, kami mengharapkan saudara bersikap proaktif. Kami hanya mengharapkan saudara dapat menyumbang USD1 (RM 3.60) setahun bagi menanggung kesengsaraan rakyat Palestin. Kami juga mengharapkan saudara melobi kerajaan saudara yang menjadi Pengerusi OIC supaya dapat melakukan sesuatu.

Kami juga berharap saudara melakukan kempen kesedaran dan libatkan rakyat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam supaya turut membantu rakyat Palestin.

Kami juga ingin melihat saudara menjadi juara di peringkat antarabangsa dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media saudara dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka ke arah menyokong perjuangan rakyat Palestin. Kepalailah usaha serantau bagi tujuan itu, saudaralah harapan kami.

Akhir sekali, kami mengharapkan saudara tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara sekalian. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.

Allahu akbar!

Saudaramu,
Khalil Ismail Al-Hayya,
Ketua WHIP HAMAS, Majlis Legislatif Palestin,
14 Mei 2006

Rabu, Januari 27, 2010

Kuih Semperit Lagi Sedap

Ada seorang rakan mengajak saya untuk menonton filem Ahmad Idham yang terbaru. Adnan Sempit judulnya. Katanya menarik. Hemat saya? Seperti yang tercatat pada perenggan yang berikut ini.

Memang ada kemajuan yang dapat dilihat dalam filem yang ini. Saya tidak pandai mengulas tentang teknikalnya sesebuah filem itu. Maka, lebih tertarik untuk saya melihat pada pengisiannya.

Secara total, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan filem ini. Sukar untuk saya menerima sesuatu yang tidak merangsang minda penonton untuk bangun dan berfikir demi kekuatan dirinya sendiri. Semuanya harus digelakkan sepertimana saya "tergelak" dengan beberapa babak yang dipaparkan.

"Sempit" menjadi masalah bagi saya, kerana ia hanyalah karakter yang akan membodohkan lagi pelumba-pelumba atau peragut-peragut jalanan di luar sana. Mengapa saya katakan begitu? Kerana watak itu tidak mengajar penggemarnya secara serius. Semua elemen ingin digelakkan, semua kebaikan akhirnya diakhiri dengan gelak ketawa. Tapi bukan saya, adalah beberapa orang penonton yang terlebih-lebih gelaknya sepanjang filem itu berlangsung. Ini yang pertama.

Yang keduanya, tentang pengetahuan yang ingin disampaikan. Pengarah harus sedar, masyarakat Malaysia khususnya pelumba dan peragut itu masih belum mampu untuk menilai filem sebagai satu medium pendidikan dan saluran ilmu. Mereka hanya pergi ke panggung hanya untuk berseronok-seronok sahaja. Tambahan, mereka juga mengalami masalah untuk membaca sesuatu yang diperlukan dalam hayat mereka. Apa salahnya jika babak Adnan dan kawan-kawannya yang mula berhajat untuk membuka cafe itu, terus-terusan dijayakan hingga ke akhir filem? Tidak menjadi masalah bukan?

Penonton sasaran filem ini perlu dididik dengan pancaindera mereka. Paparkan kejayaan seseorang mat rempit itu dalam perniagaan. Pamerkan kesungguhan Adnan dan kawan-kawannya untuk berjaya. Gunakan sepenuhnya teknik perfileman yang ada.

Seterusnya, mampu pula Adnan untuk menyedarkan pula kekasih hatinya itu tentang apa itu erti kehidupan yang sebenarnya. Bukan sekadar cinta antara dia dan kekasihnya sahaja. Ada yang lebih utama dari itu. Kalau tidak percaya, tanya ustaz-ustaz. Ahmad Idham sendiri saya rasa lebih faham tentang kuatnya pengaruh pancaindera manusia dengan perkembangan minda dan hati mereka.

Yang di bawah ini pula untuk penonton selain dari golongan pelumba-pelumba haram dan peragut-peragut jalanan.

Mereka akan mula memikirkan tentang betapa kasihannya seorang Adnan itu. Dia juga punya perasaan. Dia juga punya rasa cinta. Dia juga punya pekerjaan. Dia juga punya kejujuran. Dia juga tahu rasa sedih, sabar, sayang, tegas dan sebagainya. Tapi fikir-fikirkanlah kembali, apa sebenarnya kejayaan Adnan di penghujung cerita ini? Sekadar cinta daripada perempuan itu? Itu jugalah yang akan dipelajari oleh para penonton. Belajar tentang cintakan perempuan semata-mata.

Membina agamanya atau tidak? Membina bangsanya atau tidak? Sedang watak Adnan terkial-kial untuk berbahasa Inggeris walaupun dia jujur. Sedangkan, realitinya, kedua-dua ini amat penting dalam dunia sekarang. Kesungguhan mereka untuk berniaga dicampuradukkan dengan elemen yang agak lucah. Dan akhirnya, terderai gelak para penonton.

Sekali lagi saya ulang, kebanyakan remaja kini menilai apa yang diakses oleh pancaindera mereka sahaja. Mereka yang gemar berfikir, tidak tertarik dengan judul dan promosi yang dilakukan pihak penerbitan. Golongan ini tidak perlu dipersalahkan, kerana mereka dari golongan ini pula ada yang akan terpegun dengan kemegahan Hollywood dengan filem-filem mereka.

Bezanya, Hollywood mampu meyakinkan agama dan bangsanya dan tidak mustahil sebilangan besar penduduk dunia bahawa mereka hebat. Sayangnya, hala tuju mereka sahaja yang tidak betul. Materialisme semata-mata, ditambah dengan sesatnya agama mereka.

Dan filem Adnan ini pula, gagal untuk kedua-duanya. Meyakinkan bangsa untuk berjaya pun tidak, hala tuju pula semata-mata cinta dari seorang wanita. Sifat yang ada pada Adnan itu, perlulah digarap sebaik-baiknya.

Fikir-fikirkanlah apa yang akan terjadi pada masyarakat akhirnya.

Apa yang saya inginkan, biarlah penyampaian itu dilaksanakan secara terus sahaja. Kesampingkan golongan penonton sasaran, ketepikan apa yang diinginkan saudara David Teo itu.

Seni itu semata-mata untuk seni? Jangan ikut kata penerbit la kalau begitu.

Mungkin ia kena dengan tema komedinya, dan kisah cinta yang ingin dipaparkan. Jadi, jangan kata anda menginsafi pelumba-lumba haram dan peragut itu dengan filem anda. Dan jangan pula marah kalau ada yang kata filem Melayu tidak merangsang minda.

Kenalpasti apa dia kehendak hati manusia yang benar-benar membolehkan mereka berubah.

InsyaAllah.

Terima kasih.

p/s : pelik juga ye babak lagu apa entah "mata ke mata, ke hati". Ada pula papan catur di atas meja makan warung. Kalau papan dam haji tu kira oke la juga. "Mereka" berjaya menyusup ke situ.

How can i be neutral? Even my pen has it stands - Zunar

Selasa, Januari 26, 2010

Siddiq

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penerangan, dan contoh-contoh dari orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa.

Allah(Pemberi) cahaya kepada langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti lubang yang tidak tembus, yang didalamnya ada pelita besar. Pelita itu didalam kaca dari minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

An-Nuur : 34-35

Khamis, Januari 21, 2010

Gusar

Yang ini Untuk UMNO.

Kamu bukan tak tahu. Sudah berapa ramai anak Melayu semakin lupa asal usul mereka. Yang mereka tahu cuma keris dan tombak. Tapi tidak siapa mengenali apa itu pemuras, dan apa pula rentaka. Tidak pernah mengenali Terakol sehingga menjadi bacul. Hukum agama dilanggar dek kerana tak mengenal Istinggar.

Kamu ajar mereka dengan sejarah barat yang caca merba. Sejarah curi, kononnya hanya mereka serba agung. Hanya mereka serba hebat. Kamu tidak ajar kami sejarah asli dari manuskrip-manuskrip nenek moyang si pengembara hebat.

Ya, hamba faham satu ketika dahulu agak sukar mendapat akses sehebat waktu ini. Tapi mengapa ada segelintir mereka yang tahu sejarah itu, tetapi tidak ada rasa sedikitpun mahu memperbetulkan pendidikan sejarah di sekolah-sekolah? Masih mahu mendabik dada kononnya memperjuangkan Melayu yang katanya haprak dan dihina dan menuduh pula mereka lupa.

Kamu terlalu berbahasa Inggeris wahai pemerintah.

Kamu merasakan pendidikan adalah segala-galanya. Kamu merasakan teknologi adalah segala-galanya. Kamu merasakan kebendaan adalah segala-galanya.

Cuba kamu lihat dunia yang sebenar-benar dunia. Ada 7 lapisan langit kalau tak silap hamba. Cuba perhatikan String Theory dan M-Theory dari Einstein. Tak usah kamu kata kamu sangat hebat dalam fizik dengan sekadar mencipta teknologi yang memusnahkan bangsa. Kamu hanya pencacai si Laknat itu sahaja.

Dan yang ini Untuk PAS.

Jangan terlalu taksub dengan demokrasi. Jangan terlalu selesa dengan mini birokrasi. Ada yang lebih utama dari itu. Bagaimana mahu berdemokrasi andai segelintir yang memahami kehendak Illahi? Fikir-fikirkanlah perkara ini. Tajam-tajamkan dakwah kamu untuk tujuan hakiki.

Khalid Samad. Kamu tidak pernah mengenal Junjungan Muhammad barangkali. Kamu tidak tahu asal usulnya barangkali. Dan kamu masih terperangkap dalam minda kamu sendiri. Ya, saya faham niat kamu suci. Mahu mengIslamkan pengikut Jesus Christ ini. Tapi kamu perlu tahu apa yang berlaku di Vatican sana. Kamu perlu tahu mereka sedang tersenyum dan mentertawakan kealpaan kamu.

Tak usahlah terlalu canggih pemikiran kamu. Kelak yang akan rosak dimusnah Illahi adalah cucu cicit bangsa kamu. Kamu menghampiri kesesatan. Berdoalah sekerap mungkin. Berjuanglah selagi boleh. Menentanglah secara berpasukan. Bersetujulah kerana kebijaksanaan.

Jangan khayal dengan dugaan. Hamba doakan kita semua kembali ke jalan sebenar. Termasuklah para Sultan di Negeri Emas ini.

Mudah-mudahan.

Isnin, Januari 18, 2010

Suara Suara

aku melihat anak ketam itu terkedek-kedek mengejar ibunya yang berada di hadapan.
aku juga melihat ibu ketam itu jalan tersenget tak tentu hala dengan gagahnya.

aku harus mengetuk kedua-duanya.

mereka memijak pasir-pasir tanpa kenal erti kasih sayang.
mereka mengajar anak-anak mereka dengan langkah yang serupa.

sebenarnya langkah mereka menuju ke laut.
sebenarnya mereka fikir ombak laut sesejuk api neraka.

sebenarnya setelah aku mengetuk kedua-duanya,
entah mereka mahu sedar entahkan tidak.

tak sedar diuntung pun ada.
tak sedar dicipta pun ada.
tak sedar diri mahu mati pun ada.

ada yang berfikir kita tidak boleh menghukum sesama manusia.

tapi mereka menghukum dengan segala masalah ciptaan mereka.

sedarlah.

mata kamu sahaja yang mampu melihat sesuatu.
telinga kamu sahaja yang mampu mendegar sesuatu.
hidung kamu sahaja yang mampu menghidu sesuatu.
kulit kamu sahaja yang mampu menyentuh sesuatu.

tapi mulut kamu?

masih mampu menipu.

hati kamu?
raja segala raja bagi diri kamu.

bayangkan kalau hati kamu sekotor mereka yang memerintah nun di benua hujung sana?

yang tidak pernah mengingati Pencipta mereka.

Jumaat, Januari 15, 2010

Ku[a]ntum

Malam ini...

jika kau berkata bintang-bintang itu pegun

aku akan berkata bintang-bintang itu bergerak


semakin menjauhi kita



Malam ini....

jika kau berkata graviti bumi menarik kita

aku akan berkata kita juga menarik bumi


dengan jumlah graviti yang sama



Malam ini....

jika bibirmu mulusmu berbisik

bumi berputar mengelilingi mentari


aku akan berbisik di telingamu

mentari juga berputar mengelilingi mentari yang lain



Malam ini....

jika kau berpegang pada hukum fizik newtonmu

aku akan berkata



"malam ini sayang...aku berpegang pada hukum fizik kuantum"

tetapi malam esok aku tidak pasti

pada hukum mana aku akan berpegang


kerana dunia ini masih

tidak aku fahami

terang dan gelap

putih hitam mataku



kepada siapa aku merujuk

hanya cinta kita

sayang.....


yang kekal

pada malam-malam



berikutnya

Sabtu, Januari 09, 2010

ANJING KURAP DI MADRASAH

Oleh:Wan Mohd Nor Wan Daud

Apabila adab telah runtuh dalam akal dan amal
Mahkota insan di puncak kejadian pecah berkecai
Ilmu dalam dada bagai pelita tak bernyala
Mata nan celek nyata buta tidak berguna

Bila antara haiwan dan insan tiada lagi pemisahan
Anjing kurap masuk ke madrasah disirami pujian
Alim pewaris Nabi berhati singa di anggap ular
Bisanya dicuri,pergerakannya ketat di kawal.

Anjing Kurap dimiliki si Raja Zalim penuh kuasa
Dihantar ke madrasah memimpin ulama dan pelajarnya .
Ulama dan pengikutnya kecut hati pada cengkaman Raja
Bimbang kehilangan kerusi,kertas dan penghormatan segala
Lalu gigih meniru salakan anjing kiriman pengikut iblis
Sekian lama keupayaan berfikir kehilangan habis.

Akhirnya,si Raja dipaksa turun takhta oleh menterinya
Semua anjing kerajaan dilepaskan ke segenap kota
“pandailah kamu mencari tuan lebih berkuasa
Beta ingatan silam bagai wajah di cermin kaca”

Anjing di pelbagai tempat dikunci rapat dalam sarang
Namun si kurap di madrasah masih menyalak garang.
Para ulama berijazah tinggi,dilatih di pelbagai Negara
Dengan penat lelah bertahun,belanja berjuta
Masih kelu ketakutan tak upaya berkata-kata.

Ketakutan luar biasa tak difahami insan berakal
Bagaimana golongan pandai bisa mudah dikawal
Sehingga bila mulut dinganga mengeluar kata
Bukan ucapan insan,hanya salakan si kurap jua!

Si anjing kurap walaupun sudah tidak berkuku
Mengidap pula pelbagai penyakit jasad dan kalbu
Dan jantungnya tidak berdegup seperti dulu
Tenaganya lumpuh sukar bergerak,seperti batu
Tapi pintar mengawal ulama dan pentadbir di Taman Biadab
Semua salakannya di anggap firman Bani Abi Lahab.

Anjing itu member ta’lim tentang agama dan sejarah
Para sarjana dan asatizah mengangguk menyerah kalah:
“Tuhan bukan seperti yang diajari Nabi dan pewarisnya
Tuan adalah kami pemberi gaji dan tempat istimewa
Kamilah ulil amri,selepas Rasul dan Allah,taatlah semua!

“Ulama sanjungan kalian hanya makhluk biasa ,telah luput
Suara mereka sumbang ,salakan kamilah wajar diikut.”
Semua ahli Taman Biadab sibuk mengarang kitab
Menghurai hikmat salakan si kurap,di sebarkan sebagai mazhab.

Si Kurap mati kerana jantungnya tidak rela lagi dipaksa
Memanjangkan usia tuannya menghina Tuhan dan manusia.
Para sarjana dari madrasah mengebumikannya penuh takzim
Membina tugu,mengalung ijazah kehormat post-mortem

Rabu, Januari 06, 2010

BONGKAR

Kalau cinta sudah dibuang
Jangan harap keadilan akan datang
Kesedihan hanya tontonan
Bagi mereka yang diperkuda jabatan...
Ooh ya
oh ya
oh ya
bongkar-bongkar!


Sabar sabar sabar dan tunggu
Itu jawaban yang kami terima
Ternyata kita mesti ke jalan
Robohkan setan yang berdiri mengangkang
Ooh ya
oh ya
oh ya
bongkar!


Penindasan serta kesewenang-wenangan
Banyak lagi...
Teramat banyak untuk disebutkan
Oh hentikan,hentikan jangan diteruskan
Kami muak,dengan ketidak pastian dan keserakahan
Di jalanan,kami sandarkan cita-cita
Sebab dirumah,tak ada lagi yang bisa dipercaya
Orang tua,pandanglah kami sebagai manusia
Kami bertanya,tolong kau jawab dengan cinta.

Isnin, Januari 04, 2010

Penjernihan Epistemologi

Dipetik dari tulisan saya di sini

Assalamualaikum. Sudah lama saya tidak ke sini. Ingin juga rasanya diri ini membantu serba sedikit dari diri yang serba naif ini.

Tertarik dengan pernyataan sahabat Fauxy Xin:

"Saya cuma khuatir...
jika punya ilmu tetapi kurang mahir mengamalkannya...
bagaikan pohon yang lebat daunnya...
namun sayang tidak sama sekali berbuah...

tertarik hati pula saya untuk menyertai perbincangan ini...
waima saya bukanlah individu yang arif untuk mengupas lapangan ILMU...
namun begitu, tidak salah jika saya melontarkan sebarang pandangan dan persoalan...
bukan begitu...?

pertama...
saya mempunyai ramai sahabat yang mahir dalam bidang ilmu...
lebih2 lagi dalam bidang ilmu agama...
ironinya, kesalahan mahu sekali kesilapan yang melampaui batasan agama sentiasa diamalkan...
persoalannya kini, bagaimana perkara sebegini boleh berlaku...?
adakah situasinya sama seperti analogi pohon yang lebat tetapi tidak berbuah...

kedua...
bagaimana pula dengan segelintir manusia termasuk sama sekali diri saya sendiri...
yang susah menerima ilmu jauh sekali mengamalkannya...?
kerana saya percaya terdapat sebahagian daripada golongan kita yang berilmu dan mengamalkannya...
tetapi mengapa tidak bagi saya...?"

Saudara Fauzy Xin a.k.a Combi. Saya akan cuba menghuraikan apa yang diperkatakan anda. Dengan izin Allah, semoga ianya dapat membantu.

"Saya cuma khuatir..."

Kekhuatiran yang anda gambarkan di atas adalah satu sifat yang baik dan amat-amat digalakkan dalam Islam. Semoga anda diberkati.

"jika punya ilmu tetapi kurang mahir mengamalkannya..."


Disini saya berpendapat ada sedikit kekeliruan. Apabila anda meletakkan perkataan "ilmu" pada frasa sebelumnya, kekeliruan itu wujud. Ini kerana, ilmu adalah iman. Sila tolak ketepi dahulu perkataan ilmu dalam frasa ini, dan gantikan dengan perkataan informasi, atau pengetahuan.

"Kurang mahir mengamalkan" itu merujuk kepada apa dihasilkan dari persepsi. Persepsi adalah himpunan penerimaan informasi yang terkadang bertentangan atau bersatu antara satu sama lain. Perpecahan pelbagai jenis pengetahuan, kerjaya, taraf hidup ditambah pula dengan agenda "mindcontrol" dari para Zionis, menyebabkan wujudnya pertentangan dan kesatuan itu.

"ibarat pohon yang lebat daunnya"

Ok. "Pohon" adalah alam semesta yang terbentang luas ini. "Lebat daunnya", pada pandangan saya adalah bersamaan dengan informasi, atau pengetahuan.Terdiri dari pelbagai sumber yang jika dilihat secara bijaksana, Insyaallah akan melahirkan individu yang lebih baik.

"namun sayang tidak sama sekali berbuah..."

Perihal buah ini agak unik sedikit. Ia boleh difahami dari DUA SUDUT. Satu, sebagai ilmu atau iman, yang dapat mempereratkan lagi hubungan individu itu dengan Penciptanya Allah S.W.T. Dan yang keduanya sebagai pandangan, informasi atau pengetahuan yang juga menjaga hubungan individu itu dengan individu lain. Dalam Ilmu Fiqah dipanggil "Hablumminallah, dan Habluminannas"

Sila tekankan informasi ini. ILMU ADALAH IMAN. IMAN ADALAH AKHLAK YANG SEMPURNA, HATI YANG SUCI, MINDA YANG TERURUS DAN TINDAKAN AMAR MAKRUF,NAHI MUNGKAR SEMATA-MATA KERANA ALLAH S.W.T.

Sudut pandangan "buah" yang pertama,ilmu atau iman.

Apabila saya menyebut dalam perenggan yang ketiga sebelum ini, buah yang dimaksudkan itu boleh dilihat dari dua sudut pandangan. Ia adalah hasil iman itu sendiri. Mana mungkin seseorang yang begitu mendalami dan menjiwai kesemua PENGETAHUAN usuluddin, tasawuf, fiqh, dan syariah melakukan sesuatu yang mengikut hawa nafsu? Jika kesemua PENGETAHUAN ini masih gagal melahirkan individu yang berakhlak sempurna, hati yang suci, minda yang terurus dan tindakan amar makruf nahi mungkar, adakah benar individu itu beriman/berilmu?

Ianya BERKAIT ANTARA SATU SAMA LAIN dalam konteks menjaga hubungan kita dengan Pencipta iaitu Allah S.W.T. Perlu diingat, setiap hasil mahsul perilaku kita adalah di bawah kekuasaanNya. Keupayaan untuk berdiri, mengambil wudu' dan bersolat itu adalah tertakluk pada kuasaNya. Dan petunjuk kepada setiap manusia itu adalah berbentuk jalan-jalan atau pilihan-pilihan. Mahu mengingati Allah S.W.T dengan amar makruf atau tidak dengan amar mungkar? Dan ini yang disampaikan melalui para Nabi. Amar mungkar itu sentiasa wujud kerana Iblis dan Syaitan itu akan menyesatkan seluruh keturunan Adam a.s.

Dan bagaimana untuk mencapai ke tahap ilmu atau iman ini? Satu persatu godaan dunia harus ditewaskan terlebih dahulu. Kenal pasti apa yang membezakan hakikat azali penciptaan, dengan apa yang berlaku di sekeliling anda. Kemudian aplikasikan worldview islam dimana wujudnya satu kebenaran di atas segala sesuatu membantu anda dalam hal ini. Kebenaran yang hanya perlu dimulakan dengan Kalimah Syahadah. Diikuti dengan 4 Rukun Islam yang lainnya, dan 6 Rukun Iman sebagai panduan utama. Kemudian, jelajahi dunia ini dari zaman Adam a.s sehingga ketika ini. Perbanyakkan sumber-sumber dari penulisan ulama' muktabar dan kenal pasti peranan mereka pada zamannya, kemudian bandingkan dengan ulama' serta pemikir islam zaman kini. Insyaallah dapat membantu.

Cuba fikirkan begini. SEBAGAI CONTOH. Imam Syafi'e mempunyai pengikutnya seramai 5 orang. Imam Abu Hanifah seramai 3 orang. Imam Malik 4 orang.

Saya ulangi lagi sekali, angka pengikut itu sebagai CONTOH untuk memudahkan lagi kefahaman anda.

Persamaan ulama' terdahulu dan kini saya ringkaskan sebagai perantara atau pengumpul klu-klu dan pesanan-pesanan Habibullah Muhammad S.A.W. Dan ingatlah bahawa Baginda Muhammad S.A.W itu adalah Penghulu segala manusia. Adalah tidak wajar kita menolak tuntutan Baginda untuk berpegang teguh kepada Ulama’.

MEREKA DIGELAR PEWARIS NABI KERANA DARI ZAMAN KE ZAMAN, MENGELUARKAN HUKUM DEMI HUKUM DEMI MENJAGA AGAMA ISLAM SEBAGAI PANDUAN PENGIKUT-PENGIKUT MEREKA PADA ZAMAN ITU DAN PERLU DIKUTIP SATU PERSATU OLEH GENERASI AKAN DATANG UNTUK MELENGKAPKAN PUZZLE KEIMANAN DALAM DIRI SETIAP INDIVIDU.

Pernahkah anda terfikir perjalanan sejarah bawah jagaan Ulama’ ini sama seperti proses penurunan ayat-ayat Makiyyah yang banyak mempersoalkan hukum pembentukan peribadi MUSLIM, kemudiannya ayat-ayat Madaniyyah yang banyak memperihalkan pembentukan Kerajaan Islam?

Dan ulama'-ulama' ini juga melalui proses yang sama (pengumpulan klu-klu dan pesanan Rasulullah) untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Dan jika kita menolak hukum hakam mereka, bererti kita tidak menghormati orang-orang Soleh. Tidak seperti apa yang kita doakan dalam Tasyahud.

Asasnya ialah Baginda Muhammad S.A.W itu adalah kekasih Allah. Dan setiap yang menerima ajaran Rasulullah S.A.W tidak akan mencapai tahap yang sama seperti Baginda. Benarkah begitu? Jika ini dijadikan pegangan, bermakna, kefahaman Islam itu semakin hari semakin subjektif untuk seseorang itu menjadi seperti Baginda Muhammad S.A.W. Falsafah-falsafah ciptaan barat yang mengatakan kebenaran adalah relatif hanya akan menguatkan lagi fakta ini.

Berbanding dengan worldview Islam yang semakin lama semakin mendekatkan kita untuk berzikir MENGINGATI ALLAH dan beramal soleh KERANA ALLAH, yang merupakan antara rutin detik hidup Baginda Muhammad S.A.W.

Dan ini dapat dicapai berperingkat-peringkat jika kita mengamalkan Sunnah-Sunnah warisan Baginda jika diizinkan Allah S.W.T.

SEBAGAI CONTOH, kesemua pengikut Imam Syafie itu termasuk Imam Syafi'e sendiri tidak mendapat kesempurnaan seperti Baginda Muhammad S.A.W. Benarkah begitu? TIDAK. Kerana mereka menghasilkan “buah” yang kedua iaitu AKHLAK. Meliputi zikir-zikir MENGINGATI ALLAH dan doa-doa amalan mereka sebagai tanda semuanya dilakukan KERANA ALLAH, serta mengamalkan Sunnah-Sunnah semampu yang boleh. Sama dengan perenggan di atas bukan?

Baginda Muhammad S.A.W adalah Penghulu umat manusia. Contoh terbaik dari sekalian anak Adam a.s. Dan bagaimana orang-orang yang mengikuti jejak hidupnya, merungkaikan persoalan demi persoalan tamadunnya berpandukan sejarah hidup Baginda yang penuh dengan Zikrullah dan amal soleh itu mahu ditolak? Sebab itulah sarjana Islam berpegang teguh dengan Ulama’

Yang keduanya, “buah” sebagai pandangan, informasi, dan pengetahuan.

Lihat kembali definisi pandangan. Pandangan adalah informasi atau pengetahuan dan perlu diletakkan sebagai batu loncatan untuk melebihkan penelitian atau pengkajian. Rapatnya hubungan seseorang individu itu dengan Allah S.W.T adalah suatu nilai yang subjektif. Maka, sudah tentulah hasilnya subjektif. Subjektif kerana kefahaman setiap manusia di muka bumi ini tidak sehebat Muhammad S.A.W. Kecuali orang-orang yang hampir dengan zikir mengingatiNya. Dan sering beramal soleh keranaNya. Bererti, KITA SEMAKIN MENGHAMPIRI AKHLAK RASULULLAH S.A.W.

Minta maaf kerana seakan-akan mengulang idea yang sama. Dengan izinNya, semoga dapat kita melihat kebergantungan amalan itu dengan sejumlah iman yang tidak dapat diwakili oleh nombor. Pegang kata kunci ini.

Yang saya maksudkan dengan iman sebagai informasi, pandangan dan pengetahuan adalah berada dalam konsep yang ketiga untuk memahami Islam iaitu AMAL. Jika anda mendalami protokol Mind Control jajaan musuh-musuh Islam. Anda akan sedar peri pentingnya diri kita dipagari dengan segala ilmu tinggalan para Ulama’. Zikir-zikir dan amalan-amalan soleh. Lihat, di sini saya meletakkan ILMU para Ulama’. Kerana mereka berakhlak soleh, dan mereka rapat dengan Pencipta mereka, yang juga Pencipta diri kita Allah S.W.T . Ini adalah “buah” yang pertama.

Dan “buah” yang kedua adalah kita melihat warisan para Ulama’ sebagai pandangan, informasi, atau pengetahuan. Bermakna, kita juga mencari kebenaran itu. Bezanya cuma sekarang ianya tertulis di atas kertas, dan terpapar di skrin komputer. Pada zaman dahulu, ianya tercatat di atas pelepah-pelepah kelapa dan lukisan-lukisan pada dinding.

Masalah ekstremis Al-Quran dan Hadith sehingga menolak hukum-hukum para Ulama Mu’tabar dan menolak fahaman bermazhab adalah kerana tidak memahami cabang-cabang ini. Sekaligus, mereka tidak mahu mengkaji perjalanan sejarah tokoh-tokoh Imam ini tentang bagaimana peritnya hidup mereka mencari, mengembara, berdiskusi dan berdebat dengan tokoh-tokoh sezamannya dengan alat komunikasi yang serba daif. Sedangkan apa yang dilalui mereka sama dengan apa yang kita lalui sekarang. Menggali, mencari dan mendaki puncak kebenaran. Dan penciptaan alat komunikasi sememangnya lebih memudahkan proses pencarian ini. Ini antara sebab mengapa sesetengah Ulama’ zaman kini menerima teknologi semata-mata sebagai medium berkomunikasi.

Anda sudah nampak peranan Ulama dengan lebih jelas? Jika dahulu mereka banyak mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam adalah untuk mengawal generasi mereka dan generasi akan datang dari segi keperibadian seorang Muslim itu. Dan ulama’ zaman sekarang hadir dalam dua keadaan SECARA BERPERINGKAT. Bukan perpecahan. Maka wujudlah golongan Fundamentalis yang menolak teknologi komunikasi dan Modenis. Dan kedua golongan ini harus bekerjasama kerana ianya saling berkait. Tetapi MESTI DIDASARI dengan pengetahuan sejarah dan pengetahuan lengkap tentang perkara USUL dan FURU’ di dalam Al-Qur’an.

Saya memikirkan perjalanan sejarah umat manusia ini sama seperti perjalanan sejarah yang dilalui setiap individu. Iaitu menentang godaan syaitan dan iblis yang merajai nafsu manusia. Musuh di dalam selimut itu adalah hawa nafsu.

Contoh yang paling jelas adalah apabila kita melihat perpecahan terbesar umat Islam antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan puak Syiah. Ianya berasaskan satu sebab. Iaitu FITNAH. Dan ia berbalik kepada “buah” yang kedua iaitu AKHLAK. Dan apabila kita berada pada PERANAN yang sama dengan Ulama’ terdahulu (mencari kebenaran), adakah wajar kita membiarkan fitnah itu semakin berleluasa dalam masyarakat dan diri kita sendiri? TIDAK!

Dan apabila fitnah itu disebabkan hasutan-hasutan jahat iblis dan syaitan, tidakkah anda terfikir bahawa terdapat satu peperangan yang lebih besar lagi? Semua umat manusia sebenarnya bertarung dengan syaitan dan iblis dalam menegakkan kebenaran? Atau pertarungan Penghulu umat Manusia, Baginda Muhammad S.A.W dengan Azazil?. Maka, yang mana satu pilihan anda? Penghulu Manusia atau sebaliknya, Azazil Laknatullah? Na’uzubillahi Min Zaalik jika anda tidak mampu menjawapnya.

Sesuatu yang mistik bukan? Wallahualam.

Dan sekali lagi, kebergantungan kita kepada zikir-zikir mengingati Allah S.W.T dan beramal soleh hanya kerana Allah S.W.T, memainkan peranannya disini di samping pengembaraan mencari kebenaran. Kita tidak akan mendapat Jalan yang Lurus andai kita tidak meminta dariNya. Kita akan sentiasa ragu-ragu jika masih menghargai Dunia adalah terpisah dari Akhirat. Dunia adalah dugaan, dan medan sebenar mengenali Sang Pencipta Allah S.W.T. Setiap tindakan kita, pergerakan kita, pemikiran kita di atur oleh satu Kuasa. Dan Kuasa itu berhak memberi peringatan orang-orang yang rajin mengingatiNya.

Apa yang harus dilakukan sekarang adalah menyedari yang mana satu kehendak akal, dan yang mana satu kehendak nafsu. Dan kedua-duanya dikawal dari komponen yang dinamakan HATI.

Kita himpunkan kesemua kata kuncinya disini.

1. Baginda Muhammad S.A.W adalah Penghulu Umat Manusia yang dilengkapi dengan pakej yang lengkap sebagai pemimpin. Iaitu, fikrah berfikir yang kuat (ini kerana Nabi Muhammad S.A.W sentiasa memikirkan kejadian alam ini bersendirian di Gua Hira’ sehingga Jibril datang sebagai perantara yang membawa pesanan). Dalam masa yang sama, latarbelakang Baginda yang Ummi tetapi kaya dengan perniagaan qabilah-qabilahnya adalah sebagai platform untuk Baginda memimpin manusia. Dan hasilnya, Baginda menundukkan syaitan dan iblis itu dengan ayat-ayat Al-Quran, dengan akhlak yang suci, dengan menggadaikan harta benda demi Islam (Juga membawa maksud menyelamatkan umat manusia dari godaan iblis dan syaitan.)

2. Ulama’ muktabar itu lebih dekat kehidupannya dengan Rasulullah S.A.W. Dan pendapat-pendapat mereka lebih meyakinkan jika dilihat secara geneologi. Mereka juga mencari, mengembara, berdebat dan berdiskusi sebelum membahaskan sesuatu hukum. Kita hidup di zaman lambakan informasi dan pengetahuan ketika ini. Ditambah pula dengan norma-norma masyarakat yang semakin memandang sepi amalan Zikrullah dan pengamalan cara hidup Baginda Muhammad S.A.W, Penghulu umat manusia untuk melawan Azazil yang enggan tunduk kepada Adam a.s suatu ketika dahulu.

Atau dipendekkan cerita, setiap manusia di muka bumi ini mencari kebenaran, yang mengelak dari fitnah terus-terusan berlaku sepanjang hidup mereka. Nabi-Nabi sememangnya dikurniakan pelbagai mukjizat adalah sebagai pesuruh Allah S.W.T dan perutusan Jibril a.s dan perutusan-perutusan kemudiannya menghiasi detik waktu hidup mereka dengan mengingati Allah S.W.T dan mengembara, serta berfikir kerana Allah S.W.T.

Yang menjadi mistiknya adalah, Nabi-nabi sebelum Baginda Muhammad S.A.W sudah memberitahu kedatangan Baginda dalam pentas sejarah. Berkenalanlah dengan arwah Ahmad Deedat yang berjaya mengesahkan terdapat nama Baginda Muhammad S.A.W dalam Bible dan juga Talmud.

Teruskan berfikir.

Sekarang, kita cantumkan kesemua puzzle di atas untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas atas persoalan yang dikemukakan oleh saudara Fauxy Xin itu tadi.

“pertama...
saya mempunyai ramai sahabat yang mahir dalam bidang ILMU...
lebih2 lagi dalam bidang ILMU agama...
ironinya, KESALAHAN MAHU SEKALI KESILAPAN YANG MELAMPAUI BATASAN AGAMA sentiasa diamalkan...
persoalannya kini, bagaimana perkara sebegini boleh berlaku...?
adakah situasinya sama seperti analogi POHON YANG LEBAT tetapi tidak BERBUAH...”

Cuba kita gantikan ilmu, persepsi dan pandangan dalam frasa di atas dengan penjelasan saya di atas.

“Pertama…
Saya mempunyai ramai sahabat yang mahir dalam bidang PENGETAHUAN/PERSEPSI/PENDAPAT.
Lebih lebih lagi dalam bidang PENGETAHUAN/PERSEPSI/PENDAPAT agama.
Ironinya, AKHLAK YANG BURUK YANG MELAMPAUI BATASAN AGAMA sentiasa diamalkan.
Persoalannya kini, bagaimana perkara sebegini boleh berlaku”
Adakah situasinya sama seperti analogi PENGETAHUAN yang lebat tetapi tidak BERILMU/BERIMAN/BERAKHLAK SOLEH?”

Bagaimana dengan persoalan kedua?

“kedua...
bagaimana pula dengan segelintir manusia termasuk sama sekali diri saya sendiri...
yang susah menerima ILMU jauh sekali MENGAMALKANNYA...?
kerana saya percaya terdapat sebahagian daripada golongan kita yang mempunyai ILMU serta rajin MENGAMALKANNYA...
tetapi mengapa tidak bagi saya...?”

Gunakan teknik yang sama.

"kedua...
bagaimana pula dengan segelintir manusia termasuk sama sekali diri saya sendiri...
yang susah menerima PENGETAHUAN/INFORMASI/PANDANGAN jauh sekali MENGAMALKANNYA/BERILMU/BERIMAN...?
kerana saya percaya terdapat sebahagian daripada golongan kita yang mempunyai PENGETAHUAN/INFORMASI/PANDANGAN serta rajin MENGAMALKANNYA/BERZIKIR DAN BERAMAL SOLEH...
tetapi mengapa tidak bagi saya...?"

Kekeliruan itu wujud kerana ilmu itu diletakkan di awal frasa. Sedangkan menurut epistemologi Islam ilmu itu hadir dalam dua jenis, Al-Hushuli, dan Al-Hudhuri. Al-Hushuli sarat dengan logik dan penemuan empirik. Al-Hudhuri pula adalah kehadiran Allah S.W.T dalam diri setiap individu.

Rangkuman keseluruhannya, Al-Hushuli itu adalah pengembaraan manusia terdahulu termasuklah para Nabi kerana sepanjang hayat mereka juga sarat berhadapan dengan logik. Mukjizat lahir sebagai sesuatu yang luar biasa adalah untuk melarikan pemikiran manusia di zaman setiap Nabi itu dari fahaman logik semata-mata.

Kemudian Al-hudhuri adalah peringkat Nabi-nabi ini mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T. Dan mereka terpilih menjadi Nabi kerana berdamping rapat dengan Penciptanya. Disebabkan ketiadaan lambakan teknologi yang sarat dengan logiklah kemampuan Al-Hudhuri mereka sangat kuat ketika itu.

Tetapi hakikatnya, kedua-duanya masih dikuasai oleh Allah S.W.T. Kerana Dia, adalah Raja kepada Alam Semesta. Dan pengembaraan setiap Nabi dan RasulNya dimuka bumi ini masih di bawah kekuasaan Allah S.W.T kerana Dia berhak memberikan ilmuNya kepada orang-orang yang dipilihNya untuk memimpin umat manusia.

Umat manusia bermula dari Adam a.s hingga ke Hari Kiamat.

Saya memperkuatkan kembali hujah saya sperti berikut.

1. Saya memikirkan perjalanan sejarah umat manusia ini sama seperti perjalanan sejarah yang dilalui setiap individu. Iaitu menentang godaan syaitan dan iblis yang merajai nafsu manusia. Musuh di dalam selimut itu adalah hawa nafsu.

2. Nabi sentiasa berfikir akan kebesaran Allah S.W.T dan dizahirkan dengan akhlak berbentuk amalan soleh sperti Zikrullah, dan Amar Makruf,Nahi Mungkar.Mukjizat, kuasa Allah S.W.T adalah semata-mata mahu melarikan fahaman berlandaskan logik masyarakat yang dipimpin para Nabi.

3. Ulama’ adalah pewaris nabi dari segi akhlak amalan soleh demi menjaga pesanan Baginda Rasulullah S.A.W demi umatnya sehingga ke hari kiamat. Kebijaksanaan para Ulama’ akan dapat dinilai jika anda mengaplikasikan apa yang dicari oleh para Nabi dan Ulama’ Muktabar dalam kehidupan seharian anda. Apa yang dicari itu ialah kebesaran Allah S.W.T.

4. Epistemologi Islam al-Hushuli mewakili tangkisan terhadap fahaman logik dan berfikir sebijak-bijaknya dengan berpegang kepada kenyataan ini. “SETIAP MATERIAL DICIPTA OLEH MANUSIA YANG DICIPTA OLEH ALLAH S.W.T. DAN ALLAH S.W.T AKAN MENGURNIAKAN ILMUNYA ITU JIKA KITA SEDAR BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH S.W.T TIDAK MENYERUPAI SESIAPA DAN APAPUN DIDUNIA INI. LALU KITA BERTAQWA KEPADA YANG EMPUNYA SEMESTA INI ALLAH S.W.T. DAN MEMPERCAYAI BAHAWA AL-QURAN DAN SUNNATULLAH ITU ADALAH SUMBER SEGALA ILMU”

Untuk al-Hudhuri pula, pegang pada ungkapan ini, “SUBHAANALLAH, WALHAMDULILLAH, WA LAA ILA HA ILALLAH, ALLAHUAKBAR.” Dan sifat amar makruf, nahi mungkar.

5. Yang terakhir adalah keagungan Baginda Muhammad S.A.W dan kebijaksanaan beliau menangkis segala godaan jahat syaitan dan iblis dalam dirinya sebelum menjadi Rasul. Apabila Jibril menyampaikan wahyu daripadaNya, kebijaksanaan Habibullah ini memperingatkan umatnya dengan mencerminkan akhlak yang mulia, dan Zikrullah yang tidak lekang di mulut Baginda.

Kata kunci bagi semua persoalan yang saya rungkaikan di atas adalah “IF U KNOW HOW THE SYSTEMS IS CREATED, IT’S A GATE FOR YOU TO ACHIEVE TRUTH. INSYAALLAH”

Assalamualaikum.