Malam tadi, lepas tengok Manchester United kalah dengan Chelsea, gua pulang ke rumah tanpa ada rasa ragu-ragu lagi dengan kehebatan Rooney. Lepas mandi manda, isyak dan makan mee goreng mamak Bidayah, gua layan tengok tv entah cerita apa.
Televisyen di Malaysia gua rasa sudah ada perubahan dari segi input pengetahuannya. Bab-bab berita pula, dah memang kerja mereka begitu. Tak bodek karang, kena buang kerja pula.
Dalam pada gua fikir-fikir tentang perkara itu, teringat satu cerita.
Gua sedang baring-baring atas tilam adik perempuan gua yang merayap pergi rumah jiran pada petang yang redup-redup. Bertemankan buku Dr. Ahmad Shalaby, redup-redup itu bertukar seakan gua berada di padang pasir nun jauh ke timur tengah sana.
Abah gua macam biasa. Sambil ejas-ejas pokok bunga keliling rumah dengan rokok tak lekang di bibir, nama gua dipanggil. Katanya, kawan gua datang rumah.
Gua fikir, mereka dah tak sabar nak ajak gua main futsal petang tu, tapi sangkaan gua silap. Muncul di hadapan pintu garaj kereta rumah, susuk yang gua sendiri pun tak berapa nak ingat. Jadi, gua salam-salam macam biasa sambil ajak lepak dekat kerusi batu depan rumah gua. Sambil gua perhati langkahnya, gua perhati keliling, mana pergi padang pasir yang gua rasa macam ada masa gua dalam bilik tadi? Gua khayal barangkali.
Setelah beberapa minit bertukar-tukar pandangan mata dengan brader ni, baru gua kenal yang dia classmate gua masa sekolah dulu-dulu. Gua panggil dia Eric. Banyak benar berubahnya. Badan dah tak tough macam dulu. Cakap pun dah tak kelam-kabut macam dulu juga. Yang macam dulu hanyalah pelat Ra yang jadi Ghain. Ini membuatkan gua sahih dengan peribadi tetamu gua hari itu.
Ceritanya, begitulah. Eric kata dah lama dia cari gua nak tanya mana gua pergi lepas habis SPM dulu. Memang siapa-siapa pun tak tahu gua lari pergi Kuantan lepas daftar tingkatan 6 dengan dia sama-sama. Yang tahu cuma ahli keluarga gua.
Eric bilang lagi, dah macam-macam kerja dia buat. Dah mana-mana temuduga dia pergi. Untuk kerja kerajaan saja, sudah 3 kali. Hendak sambung belajar, kurang pula nasib menyebelahinya. Keputusan agak memberangsangkan, cuma ada masalah lain yang perlu di hadapi.
Sakit benar gua lihat dia ketika menceritakan pertunangannya yang terputus di tengah jalan. Tambah pula, kerja yang tak dapat-dapat. Sempat pula dia kutuk kisah abang dia yang hidup tak tentu hala.Tentang abang dia pula, memang wajar gua rasa itu yang menimpa diri beliau. Samseng tak tentu hala.
Dia bilang lagi, kenapa susah sangat nak dapat kerja kerajaan sekarang ni? Penat saja dia baca-baca itu dan ini untuk persediaan menghadapi proses temuduga. Tiada kesilapan ketika menjawap semua soalan-soalan penemuduga. Misi? Visi? Ketua Pengarah? Setiausaha Kerajaan Negeri? Semuanya dijawap dengan betul. Tapi, tawaran kerja masih tak dapat lagi.
Jadi, gua bagi dia satu cadangan. Untuk kerja-kerja bawahan dalam kerajaan, cuba untuk buat-buat pelupa, kurang bijak, dan tidak menunjukkan kebijaksanaan dalam menjawab soalan-soalan yang mustahil untuk dijawab atau tiada kena mengena dengan bidang kerja yang dipohon. Menurut cerita Eric lagi, ada satu soalan bertanyakan berapa besarnya negara Singapura. Kemudian, dia jawab Singapura bertambah luasnya berbanding dahulu kerana pasir yang diseludup keluar dari jajahan Tanah Melayu Malaysia dan Indonesia.
Gila apa minta kerja atendan hospital kena tahu perkara-perkara tu?
Gua tergelak kecil. Nyata, dia masih lagi rajin baca suratkhabar macam zaman sekolah dulu. Lalu, ternanti-nantilah kenalan sekolah gua ini untuk mendapatkan jawatan atendan hospital itu. Sudah hampir 4 bulan berlalu, masih tiada jawapan.
Selesai rokok dalam 5 ke 6 batang untuk masing-masing hisap, Eric meminta diri untuk pulang. Gua bergegas masuk dalam rumah sebab hari hampir gelap.
Jadi, signifikannya dengan apa yang gua fikirkan malam tadi waktu tengok tv, gua rasa, begitulah kaitannya. Untuk mereka yang tidak berapa tinggi kelulusannya, tetapi rajin membaca, kalau mahu kerja-kerja bawahan dalam kerajaan, tak perlu berfikir terlalu kritikal. Tak perlu membaca terlalu banyak. Tak perlu punya cita-cita tinggi. Tak perlu sensitif pada situasi.
Yang diperlukan, hanyalah menjadi lembu yang dicucuk hidungnya hampir setiap masa. Dan secara peribadi, gua tak mahu sesiapa pun menjadi seperti ini.
Berpeganglah pada keadilan dalam apa jua kondisi.
Cerita ini tentang berita.
p/s : Apa bezanya menceritakan kebaikan dengan menegur untuk kebaikan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan