Ahad, April 25, 2010

Utusan Dunia

Telah beratus-ratus tahun lamanya para pemikir besar menyelidiki rahsia undang-undang alam dari segala segi, sehingga mendapatlah mereka berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Pengetahuan tentang alam dengan segala segi cabangnya; Ilmu Falak, Ilmu Bintang, Ilmu Bumi dan alam seluruhnya. Ilmu Manusia, tubuhnya dan jiwanya. Ilmu Budi, Ilmu Masyarakat dan Ilmu Pemerintahan. Ilmu Tumbuh-tumbuhan dan Ilmu Binatang. Ilmu Hitung, Atom, Aether, Ilmu Udara.

Pengetahuan tentang itu semuanya dan beribu-ribu cabang rantingnya, dinamakan Sains, suatu peraturan pasti, yang terbukti tidak berubah-ubah.

Kerana tidak berubah-ubah itulah maka orang berani mengatakannya sebagai ilmu. Dan jelas bahawa manusia sekali-kali tidaklah mencipta yang belum ada, melainkan mengetahui rahsia yang tadinya belum mereka ketahui.

Setelah diketahui oleh pemikir besar itu, sekadar yang ia mampu, dilonggokkan semuanya dan dipersembahkan ke bawah cerpu daulat kemanusiaan. Maka dapatlah kesatuan pokok dari segala undang-undang, iaitu suatu peraturan yang tidak berubah-ubah.

Timbullah keinsafan manusia akan kecil dirinya di hadapan kekuasaan besar Itu, yang ada dalam segenap wujud, yang pada zahirnya nampak bercerai, tetapi dalam rahsia tetap bersatu. Diatur oleh satu tampuk kekuasaan.

Lalu bekerja keraslah mereka menyelidiki dimanakah dan apakah namanya kesatuan segala rahsia itu. Kadang-kadang terdapatlah namanya menurut ukuran pendapat pada masa itu, seumpama nus, logos, ether, atom dan lain-lain; dan itupun belum puas. Dalam kekerasan hati manusia mencari, sudah terang dan jelas bahawa manusia adalah makhluk istimewa di dalam alam, yang kepadanyalah akan diwariskan bumi dan isinya ini, kerana ada akalnya.

Maka zat yang jadi pokok kesatuan tadilah yang mulai memberitahukan siapa dirinya, dengan perantaraan makhlukNya sendiri yang dipilihNya, dengan perantaraan manusia besar yang menunjukkan jalan bukan dengan mahunya, bukan pula dengan kecerdasan luar biasa dengan pendapat otaknya, tetapi dengan wahyu. Itulah Nabi.

Tiada ulasan: