Beberapa hari kebelakangan ini, agak kasar gua menyentuh diri sendiri.
"Jangan begitu," kata akal.
"Aku ini kusir. Kusir yang memegang kekang sepanjang langkah akhlakmu!" Tambahnya lagi.
Menyanggah pula hamba kepada Sang Kusir dengan usikan yang kadang-kadang gagal ditanggung oleh unsur itu untuk membolehkan lahirnya perilaku elok-elok yang selalu dibisik-bisik olehnya ke dalam naluri azali si hamba abdi. Naluri yang mahukan kejayaan, kemenangan dengan kehadiran sesuatu yang tidak akan gua dapat. Maka, telah mendapat lah gua pada ketika itu.
Sanggahnya lebih kurang begini,
"Bangga dan sombonglah dengan pengetahuanmu. Takbur dan riaklah dengan pembacaanmu!" Gerun bunyinya.
Lagi,
"Lupakanlah penghujung nasibmu kelak. Engkau itu tidak mengetahui apa-apa!"
Dapatlah dikenalpasti akan Sang Kusir, yang mereka semua sedang dilanda parasit teori gajah buta jajaan Plato. Pemikir kebesaran Pencipta yang gagal diterjemahkan kebanyakan pengikutnya masa kini untuk menjelajah di balik pintu kebenaran itu. Entah apa kabusnya, gua kurang pasti. Mungkin ilmu, mungkin pengalaman, mungkin pemerhatian, mungkin kesedaran, mungkin juga belum tiba masanya.
Yang gua pasti, mereka gagal kerana mereka tidak punya mata hati.
Lalu berkatalah lagi akan Sang Kusir,
"Jauhkan diri daripada yang batil, tunduk kepada hukum. Terima segala perintah, lari dari segala larangan!
"Dengarkan bisikanku. Kelak nanti celiklah matamu. Bahagialah penghujung kisah perjalanan kita. Kalau tidak ada berada, tidak tempua bersarang rendah. Tertumbuk biduk di belokkan, tertumbuk kata difikiri. Itu tugasku!"
Terus-terusan pengikut Sang Kusir itu menyanggah lagi.
"Ahh! Ini semua salah Tsai Lun, Gutenberg, Isaac Newton, Galileo Galilei, James Watt, Alva Edison, Marconi, Graham Bell. Mereka membuat langkah kita semakin tidak menentu. Terlalu laju untuk kita terima arus elektrik yang disalurkan kepada kita!"
Termenung sejenak akan si penghulu tentang bagaimana mahu dilembutkan perwatakan keras pengikutnya itu. Mungkin ada benar apa yang dikatakannya. Tak perlu dia terburu-buru untuk menyanggah pendapat yang belum pasti untuk dia putuskan. Andai dia gagal, hangus rentunglah segala-galanya. Andai dia berjaya, bukan kemahuan dia yang akan diturutkan nanti, sebaliknya si penyanggah itu yang akan dipuaskan kehendaknya buat selama-lama.
Lalu Sang Kusir berkata. Lembut bunyinya.
"Engkau mahu tahu asal-usulku?"
Cerita Sang Kusir,
"Kata Rawi : Pernahlah Jibril a.s datang kepada Nabi Adam, lalu disuruh pilih antara aku, malu, dan agama. Lalu Nabi Adam memilihku. Jibril a.s kemudiannya menyuruh pulang akan si malu dan agama. Tetapi mereka enggan kerana tidaklah dapat mereka meninggalkanku kerana mereka adalah pengiring kepadaku.
"Aku tidak pernah menyalahkan semua perkara yang berlaku ke atas mereka yang engkau sebutkan itu. Berhikmahlah kepadaku. Jangan engkau lari dari tanggungjawabmu mengikutiku. Jika aku kata mereka itu tidak bersalah, tidaklah maknanya. Jika aku katakan itu salah, maka salahlah."
Keasyikan Sang Kusir itu bercerita disanggah lagi. Tapi kali ini bukan dari pengikutnya, tetapi daripada pengiringnya yang dua itu.
"Kami ini dahaga. Kami lapar. Kami tidak mampu mengiringimu Sang Kusir. Berilah kami minum air sebanyak-banyaknya buat azimat kekuatanmu. Ataupun longgokkan makanan untuk kami jamah yang akan membantumu menundukkan pengikutmu itu."
Arakian terkedulah Sang Kusir kerana ditegur sedemikian sayu seraya membalas,
"Biarlah aku berterus terang kepadamu wahai pengiring-pengiringku yang mulia. Si penyanggah ini namanya hawa nafsu. Dia mahu kita bongkak, zalim, tamak, riak, takbur, dan sombong dengan keberadaan pembantu-pembantu kita di luar sana. Jika dia berjaya kita bimbing, tidaklah kawan kita si lidah menuturkan penipuan, mata melihat segala maksiat, telinga mendengar ajakan-ajakan hiburan, dan kulit bersentuhan sesama bukan mahram. Jika dia enggan tunduk pada kita, mahu jadi apa kita nanti?"
Diam seketika.
"Bukankah sudah kami khabarkan tadi yang kami ini dahaga. Lapar. Engkau memutuskan perkara itu tanpa memperdulikan kekurangan kami wahai Sang Kusir.
"Hidangkan kami berdua air untuk zahir dan batin kita. Suapkan kami makanan dari segenap alam dan segenap manusia. Kita perlu bebas dari kejahilan dan kebodohan. Baru kita kenal yang mana batil dan yang mana benar. Baru kita tahu yang mana perintah yang mana larangan. Baru dapat kita putuskan bersama adakah benar sanggahan yang engkau terima sebentar tadi. Baru mereka di luar sana tidak akan kasar terhadap segala maklumat yang disalurkan kepada kita." tegur dua pengiring; si malu dan si agama itu.
"Ilmu! Ilmu! Ilmu!" Teriak kesemua mereka; Agama, Malu, Nafsu, Dunia, Mata, Telinga, Lidah, Kulit, Hidung.
Terfikirkan Sang Kusir akhirnya tentang bagaimana mahu ditapisnya segala ilmu yang dikehendaki mereka semua pada zaman yang serba canggih ini. Apa benar dakwaan bahawa Tsai Lun, Gutenberg, Isaac Newton, Galileo Galilei, James Watt, Alva Edison, Marconi, Graham Bell, Bill Gates bersalah?
Mungkin juga kehadiran sesuatu yang tidak akan mereka semua dapat, maka telah mendapat lah mereka semua pada ketika di dunia yang fana ini.
Maka datanglah seorang laki-laki, dari suku Bani Majasyi menghadap Rasulullah S.A.W, lalu dia berkata; "Ya Rasulullah, bukankah hamba seorang yang terutama di dalam kaumku?" Rasulullah S.A.W menjawab,
"Jika ada engkau berakal maka terutamalah engkau, jika ada engkau bersopan, maka budimanlah engkau, jika ada engkau berharta maka bergengsilah engkau dan jika ada engkau taqwa maka beragamalah engkau" - Prof Dr. Hamka (Falsafah Hidup)
Beberapa hari kebelakangan ini, agak kasar gua menyentuh diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan