Seekor berudu yang berenang atas permukaan air, dan seekor katak yang melompat-lompat di atas tanah penuh bertenaga.
Memang tidak masuk dek akal yang waras jika dilihat pada struktur asas kedua-dua ini. Kita lahir dari keadaan yang sejuk, kata mereka, walhal dunia ini hangat membara panasnya.
* * *
Kanak-kanak itu ibarat kain putih sebelum dicorakkan dengan pelbagai warna-warni kehidupan di dunia ini. Kita dilahirkan dengan penuh rahmat atas dasar kasih sayangNya yang maha luas itu. Lalu, dibedungnya kita untuk menikmati hangatnya dunia agar mampu berdiri suatu hari nanti atas kudrat yang dibantutkan.
Evolusi ini kelihatannya seperti tidak wajar kerana tanpa hati yang baik dan lengkap, adalah mustahil untuk hidup kita berakhir dengan selamat. Tambahan, tiada sebarang asas diberikan untuk kita merangkah, bertatih, berjalan dan berlari di atas bumi mengikut jalan yang sepatutnya. Kadang-kadang nak merangkak pun dipandang rendah, nak bertatih pun silap-silap kena terajang.
Belum lagi berkeinginan untuk terbang!
Tak usahlah terlalu mengharap anakmu cemerlang terbilang di sekolah-sekolah sekular sana. Usah dilarang mereka menepuk kad, bermain basikal mahupun bergaduh di jalanan atas dasar kebenaran.
Kelak nanti, hingga satu tahap, terpaksa kita mengakui bahawasanya jalan yang sepatutnya itu sememangnya tidak diwarisi. Tetapi kebuntuan ini masih belum tamat. Kita masih bermasalah untuk mencari jalan.
Memandangkan kita percaya orang-orang yang beriman itu, sudah berubah, maka kita percaya ia berubah daripada kedewasaan yang dimiliki sepanjang hayatnya. Bagaimanapun, tidak satu pun sifat orang yang beriman mempunyai asas yang sama dengan mereka yang bertentangan pendapat itu, boleh dijelaskan melalui proses ansur-ansuran.
Di antaranya, adalah sifat untuk mencipta seni, dan sastera yang merupakan keistimewaan bagi mereka, dan ini amat sukar dilaksanakan bagi mereka yang buta mata hatinya.
Persoalan bagaimana kebolehan bersyair dan bersastera yang sempurna dapat terbentuk sebagai hasil perubahan manusia itu secara berterusan, tidak dapat dijawab. Tidak ada cara untuk menjelaskan bagaimana tindakan seorang dewasa itu dapat berubah daripada syair yang berfungsi dengan sempurna, hasil daripada perubahan struktur asas dirinya.
Tambahan pula, dengan hanya mempunyai seni berkata-kata ataupun melukis, masih belum dapat banyak lagi teknik tersusun yang digunakan oleh orang yang beriman itu. Sebagai contoh, tangan dan kaki mereka tidak ragu-ragu bertindak untuk mencegah kemungkaran. Paru-paru mereka berfungsi dengan cara yang jauh berbeza. Mereka punyai kudrat yang luar biasa, dan aliran darah yang istimewa.
Ciri-ciri ini amat diperlukan untuk mencapai iman yang total sepertimana indahnya iman itu jika digambarkan secara mantik. Semua cara ini perlu wujud bersama pada masa yang sama, ia tidak dapat terbentuk secara beransur-ansur dengan cara dikumpulkan sedikit demi sedikit.
Kerana itulah dakwaan teori ini, orang-orang seni itu dilabel sebagai raja yang megah terbang dan lupa menghambakan diri.
Jadi bagaimana?
"Persamaan sifat yang terdapat pada mata dan sayap ialah hanya akan berfungsi apabila terbentuk sepenuhnya. Dengan kata lain, mata yang terbentuk separuh jalan tidak akan dapat melihat dan burung dengan sayap yang hanya separuh terbentuk tidak akan dapat terbang."
Untuk warga seni yang megah terbang tanpa mata yang sempurna, jaga-jaga akan siapa yang akan menembakmu.
Untuk warga seni yang mampu melihat dengan sempurna tapi masih tidak mampu terbang, lebarkan sayapmu itu memayungi makruf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan