Pencapaian kewartawanan atas talian dapat membantu media tradisional untuk mengatasi had ruang dan masa. Ruang untuk menyiarkan berita adalah terhad di atas halaman akhbar. Sesetengah berita berharga, tidak dapat disebarkan melalui akhbar atas sebab-sebab tertentu. Tetapi ianya boleh didapati melalui laman web. Hal ini sememangnya memberi impak yang besar kepada generasi muda di Malaysia. Ini kerana, mereka dahagakan informasi dan pengetahuan yang memerlukan sumber rujukan yang luas iaitu internet.
Bentuk infromasi dan pengetahuan yang disediakan oleh pembekal berita juga berbeza mengikut kesesuaian penggunanya. Secara umum, minat dan keinginan generasi muda sekarang lebih kepada bidang sains dan teknologi, seni dan kebudayaan, perhubungan antarabangsa, perniagaan, hiburan dan juga sukan. Ianya berbeza jika dibandingkan dengan generasi terdahulu di mana mereka lebih berminat untuk membaca kisah-kisah pengembaraan, masalah sosial, keagamaan, kesihatan, dan juga jenayah. Perkara ini telah membuatkan industri media di Malaysia perlu membahagikan informasi mereka kepada dua medium iaitu internet, untuk generasi muda dan juga media cetak, untuk generasi terdahulu. Di samping itu, pembekal-pembekal ini juga harus memikirkan tentang keuntungan syarikat mereka dan menuntut mereka untuk mengurangkan kos pembiayaan untuk pembuatan sesuatu berita.
Sistem pendidikan yang mengaplikasikan penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran, menjadikan generasi muda sekarang mempunyai skil atau kemahiran yang tinggi dalam proses mencari maklumat tanpa memerlukan mereka untuk bergerak kemana-mana. Seperti yang kita semua maklum, semua sekolah di Malaysia perlu menyediakan kemudahan komputer dan akses internet untuk memudahkan proses penyampaian dan penerimaan ilmu. Teknik dan cara mengakses internet juga diperkenalkan kepada generasi muda semenjak mereka kecil lagi. Manual latihan penggunaan perisian juga digunakan untuk melatih mereka supaya dapat meluahkan pendapat, emosi, mahupun pandangan dengan hanya memetik papan kekunci.
Kewartawanan atas talian telah mencipta pembaharuan dalam format Hyper-text dan Hyper-Link, struktur yang membawa kepada ketelusan dan gerbang informasi tanpa sempadan. Dalam aspek ini, sistem akhbar tradisional meletakkan penilaian terhadap sesuatu isu itu berlandaskan kepada pandangan wartawan itu sendiri. Fungsi kewartawan diragui oleh generasi muda kerana mereka lebih sensitif dan ini memerlukan mereka untuk menilai sesuatu isu itu setelah mendapatkan maklumat dari pelbagai pihak. Peranan media tradisional untuk menegakkan kebenaran diragui oleh mereka kerana media tradisional dilihat semakin hari semakin dikawal oleh kerajaan.
Keghairahan generasi muda untuk lebih memilih berita atas talian adalah kerana inginkan penyertaan secara langsung dari mereka sendiri. Generasi aktif ini boleh berkomunikasi dengan jurnalis atau wartawan secara langsung. Generasi aktif ini juga melihat kewartawanan sebagai medium diskusi dan bukan lagi sebagai sumber maklumat. Misalnya, apabila mereka mempunyai sifat ingin tahu tentang sesuatu, mereka boleh mencadangkan idea mereka kepada wartawan secara langsung melalui e-mel, mahupun laman sosial seperti Facebook dan Myspace. Tambahan pula, mereka sendiri boleh melaporkan berita atau maklumat dengan segera dan kemudiannya membiarkan wartawan menulis mengenainya. Dalam situasi ini, sudah tentu wartawan akan berinteraksi dengan mereka, dan malah, wartawan mungkin akan bertanya lebih banyak maklumat daripada mereka. Hal ini dapat memenuhi permintaan generasi muda untuk bertindak lebih aktif dalam menyalurkan pendapat dan pandangan mereka untuk sama-sama memperjuangkan agama, bangsa dan juga negara.
Komunikasi di antara pembaca merupakan ciri terpenting yang mempengaruhi minat generasi muda untuk memilih berita atas talian. Penggunaan ciri ini secara ideal dan berkesan di Malaysia, membuktikan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat yang mempunyai minat yang sama boleh berjumpa antara satu sama lain secara maya dan melaksanakan perbualan dengan menggunakan cara yang lebih mudah dengan adanya permukaan papan buletin, dan ruang sembang yang disediakan oleh laman pembekal berita atas talian. Seperkara lagi, mereka juga boleh ditemukan secara fizikal dan ini menjadikan mereka lebih kuat. Atas keberkesanan perkenalan yang bermula dari alam maya, mereka mampu untuk mengekspresikan pendapat mereka kepada umum setelah mendapat sokongan ramai.
Kemajuan teknologi juga memberi kesan kepada generasi muda dalam memilih sumber informasi mereka. Penciptaan telefon bimbit, pemain MP3 digital, dan iphones memerlukan mereka untuk bijak mengendalikan komputer dan akses internet. Sebagai contoh, telefon bimbit memerlukan penggunanya untuk memuat-turun ciri-ciri yang memudahkan lagi generasi muda ini untuk tampil kehadapan sebagai pendahulu dikalangan rakan-rakan mereka.
Apabila kemajuan internet itu berkembang dari masa ke semasa, pihak berkuasa tidak akan mampu untuk mengawal proses pengaliran informasi dikalangan rakyatnya. Ini dengan jelas, akan memberikan kebebasan kepada penggunanya untuk menyebarkan, sekaligus berkongsi pendapat tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Sifat remaja yang inginkan kebebasan mendorong kepada minat mereka untuk mendekati berita atas talian. Kesannya boleh dilihat dengan tertubuhnya kumpulan atau jaringan generasi muda yang bertentangan ideologi dengan kerajaan. Ini kerana, dalam beberapa saat, sesi pembacaan intelek mereka di selang-selikan dengan perbincangan dan diskusi untuk menentang keputusan pihak berkuasa.
Secara umumnya, berita atas talian memberi kemudahan kepada generasi muda untuk berkomunikasi pada tiga peringkat. Pertamanya, di peringkat umum, diikuti dengan separa umum, dan juga komunikasi tertutup. Komunikasi peringkat umum adalah komunikasi antara organisasi yang terkenal, manakala komunikasi separa umum menghadkan gerbang informasi kepada sekumpulan yang berdaftar, dan seterusnya komunikasi tertutup dimana komunikasi itu wujud dalam institusi yang lebih kecil iaitu keluarga.
Generasi muda kini sudah berjaya meletakkan diri mereka sebagai orang penting dalam syarikat dan organisasi di mana mereka bekerja. Peranan dan tanggungjawab mereka untuk membangunkan syarikat di bawah seliaan mereka amat memerlukan medium informasi yang pantas.Sumber maklumat untuk menjayakan agenda syarikat, memerlukan generasi muda duduk di hadapan komputer dalam tempoh masa yang panjang. Mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah atau ketua jabatan dapat diaturkan dengan mudah dan berkesan. Masa untuk membaca akhbar juga terhad kerana komitmen yang harus disumbangkan oleh mereka amat besar untuk menjamin karier mereka.
Di peringkat separa umum, tenaga dan kepakaran generasi muda diperlukan untuk membangunkan masyarakat sekitar. Perlaksanakan program kemasyarakatan untuk mengeratkan komuniti tempat tinggal mereka, menuntut generasi muda untuk bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dari semua lapisan umur. Disamping mengejar kepuasan peribadi di tempat kerja, sesetengah masyarakat intelek ini amat menitikberatkan sumbangan mereka terhadap masyarakat sekeliling. Seterusnya, komunikasi peringkat tertutup di mana generasi muda memerlukan medium atas talian untuk berhubung dengan ahli keluarga, saudara-mara, mahupun kekasih mereka.
Kesimpulannya, pilihan generasi muda untuk menggunakan medium berita atas talian, memberi kesan besar kepada segenap lapisan masyarakat. Industri media dan pembekal berita mampu mencapai keuntungan yang tinggi dengan sambutan yang diterima dari generasi muda di laman web mereka. Manakala hal-hal pengurusan pentadbiran negara dapat dipermudahkan lagi dengan adanya generasi muda yang celik IT. Penglibatan secara langsung generasi muda yang mampu mendidik masyarakat pula membuakkan lagi semangat mereka untuk memecahkan dinding yang menyebabkan kemunduran komuniti tempat tinggal mereka. Akhirnya, kegemilangan Malaysia akan dapat dicapai setelah ilmu dan pengetahuan seluruh warganya tersemat di dada.