Rabu, Januari 27, 2010

Kuih Semperit Lagi Sedap

Ada seorang rakan mengajak saya untuk menonton filem Ahmad Idham yang terbaru. Adnan Sempit judulnya. Katanya menarik. Hemat saya? Seperti yang tercatat pada perenggan yang berikut ini.

Memang ada kemajuan yang dapat dilihat dalam filem yang ini. Saya tidak pandai mengulas tentang teknikalnya sesebuah filem itu. Maka, lebih tertarik untuk saya melihat pada pengisiannya.

Secara total, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan filem ini. Sukar untuk saya menerima sesuatu yang tidak merangsang minda penonton untuk bangun dan berfikir demi kekuatan dirinya sendiri. Semuanya harus digelakkan sepertimana saya "tergelak" dengan beberapa babak yang dipaparkan.

"Sempit" menjadi masalah bagi saya, kerana ia hanyalah karakter yang akan membodohkan lagi pelumba-pelumba atau peragut-peragut jalanan di luar sana. Mengapa saya katakan begitu? Kerana watak itu tidak mengajar penggemarnya secara serius. Semua elemen ingin digelakkan, semua kebaikan akhirnya diakhiri dengan gelak ketawa. Tapi bukan saya, adalah beberapa orang penonton yang terlebih-lebih gelaknya sepanjang filem itu berlangsung. Ini yang pertama.

Yang keduanya, tentang pengetahuan yang ingin disampaikan. Pengarah harus sedar, masyarakat Malaysia khususnya pelumba dan peragut itu masih belum mampu untuk menilai filem sebagai satu medium pendidikan dan saluran ilmu. Mereka hanya pergi ke panggung hanya untuk berseronok-seronok sahaja. Tambahan, mereka juga mengalami masalah untuk membaca sesuatu yang diperlukan dalam hayat mereka. Apa salahnya jika babak Adnan dan kawan-kawannya yang mula berhajat untuk membuka cafe itu, terus-terusan dijayakan hingga ke akhir filem? Tidak menjadi masalah bukan?

Penonton sasaran filem ini perlu dididik dengan pancaindera mereka. Paparkan kejayaan seseorang mat rempit itu dalam perniagaan. Pamerkan kesungguhan Adnan dan kawan-kawannya untuk berjaya. Gunakan sepenuhnya teknik perfileman yang ada.

Seterusnya, mampu pula Adnan untuk menyedarkan pula kekasih hatinya itu tentang apa itu erti kehidupan yang sebenarnya. Bukan sekadar cinta antara dia dan kekasihnya sahaja. Ada yang lebih utama dari itu. Kalau tidak percaya, tanya ustaz-ustaz. Ahmad Idham sendiri saya rasa lebih faham tentang kuatnya pengaruh pancaindera manusia dengan perkembangan minda dan hati mereka.

Yang di bawah ini pula untuk penonton selain dari golongan pelumba-pelumba haram dan peragut-peragut jalanan.

Mereka akan mula memikirkan tentang betapa kasihannya seorang Adnan itu. Dia juga punya perasaan. Dia juga punya rasa cinta. Dia juga punya pekerjaan. Dia juga punya kejujuran. Dia juga tahu rasa sedih, sabar, sayang, tegas dan sebagainya. Tapi fikir-fikirkanlah kembali, apa sebenarnya kejayaan Adnan di penghujung cerita ini? Sekadar cinta daripada perempuan itu? Itu jugalah yang akan dipelajari oleh para penonton. Belajar tentang cintakan perempuan semata-mata.

Membina agamanya atau tidak? Membina bangsanya atau tidak? Sedang watak Adnan terkial-kial untuk berbahasa Inggeris walaupun dia jujur. Sedangkan, realitinya, kedua-dua ini amat penting dalam dunia sekarang. Kesungguhan mereka untuk berniaga dicampuradukkan dengan elemen yang agak lucah. Dan akhirnya, terderai gelak para penonton.

Sekali lagi saya ulang, kebanyakan remaja kini menilai apa yang diakses oleh pancaindera mereka sahaja. Mereka yang gemar berfikir, tidak tertarik dengan judul dan promosi yang dilakukan pihak penerbitan. Golongan ini tidak perlu dipersalahkan, kerana mereka dari golongan ini pula ada yang akan terpegun dengan kemegahan Hollywood dengan filem-filem mereka.

Bezanya, Hollywood mampu meyakinkan agama dan bangsanya dan tidak mustahil sebilangan besar penduduk dunia bahawa mereka hebat. Sayangnya, hala tuju mereka sahaja yang tidak betul. Materialisme semata-mata, ditambah dengan sesatnya agama mereka.

Dan filem Adnan ini pula, gagal untuk kedua-duanya. Meyakinkan bangsa untuk berjaya pun tidak, hala tuju pula semata-mata cinta dari seorang wanita. Sifat yang ada pada Adnan itu, perlulah digarap sebaik-baiknya.

Fikir-fikirkanlah apa yang akan terjadi pada masyarakat akhirnya.

Apa yang saya inginkan, biarlah penyampaian itu dilaksanakan secara terus sahaja. Kesampingkan golongan penonton sasaran, ketepikan apa yang diinginkan saudara David Teo itu.

Seni itu semata-mata untuk seni? Jangan ikut kata penerbit la kalau begitu.

Mungkin ia kena dengan tema komedinya, dan kisah cinta yang ingin dipaparkan. Jadi, jangan kata anda menginsafi pelumba-lumba haram dan peragut itu dengan filem anda. Dan jangan pula marah kalau ada yang kata filem Melayu tidak merangsang minda.

Kenalpasti apa dia kehendak hati manusia yang benar-benar membolehkan mereka berubah.

InsyaAllah.

Terima kasih.

p/s : pelik juga ye babak lagu apa entah "mata ke mata, ke hati". Ada pula papan catur di atas meja makan warung. Kalau papan dam haji tu kira oke la juga. "Mereka" berjaya menyusup ke situ.

How can i be neutral? Even my pen has it stands - Zunar

1 ulasan:

RABUN berkata...

tak rasa mat rempit nak tengok filem ni....