Selasa, Mac 30, 2010

Kena Tipu

APCO DAN NAJIB – DI SEBALIK TIRAI PERHUBUNGAN AWAM

Oleh Tian Chua, Ahli Parlimen Batu

Hari ini Selasa, 30 Mac 2010, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional sedang bersedia untuk menyembelih Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ulasannya terhadap APCO. Ahli-ahli parlimen ini mungkin berfikir mereka melakukan hal yang betul dengan mempertahankan Najib dan syarikat perundingnya yang hebat itu.

Dalam fikiran kebanyakan ahli parlimen BN, mempertahankan kerajaan sama dengan mempertahankan tanahair. Dengan logika songsang yang sama, orang yang mengkritik kerajaan semudahnya digelar pengkhianat Malaysia.

Saya dengan berlapang dada, mengajak kawan-kawan di sebelah sana untuk berfikir dengan lebih jauh lagi, melihat dengan lebih dalam lagi. Sebetulnya, ianya tidaklah terlalu sukar untuk mencari kaitan hubungan APCO dan Israel.

Namun sebelum saya pergi lebih jauh lagi, saya perlu menerangkan bahawa perbincangan ini tidak ada kena mengena dengan “persoalan tentang Yahudi.” Ada perbezaan yang cukup luas di antara menjadi Yahudi dan menganut ideologi Zionisme.

Rakyat Malaysia selalu berbangga dengan mengisytiharkan kebersamaan terhadap rakyat Palestin yang tertindas. Kita juga mengekalkan dasar luar negara yang bebas dan memiliki rekod panjang melatakkan komitmen pada prinsip dan perjuangan Gerakan Negara-negara Berkecuali.

Dalam konteks ini, apakah teramat sukar untuk memahami bagaimana Perdana Menteri membayar khidmat firma yang terkenal dengan hubungan gelapnya dengan gerakan Zionisme antarabangsa? Kenapa perlu kita percaya sebuah syarikat dengan agenda Zionis mengendalikan hubungan komunikasi strategi Malaysia?


IANYA BUKAN SEKADAR SEBUAH SYARIKAT YAHUDI


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menimbulkan beberapa kritikan di parlimen berkenaan persamaan di antara slogan 1 Malaysia dan 1Israel. Beliau juga mencabar kerajaan untuk menjelaskan perbelanjaan berjumlah RM23 juta wang pembayar cukai kepada APCO.

Terdapat juga persoalan tentang kenapa Najib dan kerajaannya tidak melibatkan firma perhubungan awam tempatan bagi menjalankan kerja hubungan komunikasi tersebut?

Menurut kenyataan APCO sendiri, tanggungjawabnya meliputi ruang lingkup yang cukup lebar melangkaui komunikasi “tugas APCO termasuklah dokongan komunikasi terhadap usaha-usaha reformasi yang luas yang sedang diambil kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang mencipta peluang pekerjaan, mempromosikan pendidikan serta memperkasa penyampaian khidmat kepada rakyat.”

Malahan, ianya cukup aneh bahawa penjelasan ini tidak datang dari Najib ataupun Pejabata Perdana Menteri.

Asas utama Pakatan Rakyat menimbulkan perkara ini bukanlah untuk meraih sokongan politik tetapi kerana keprihatinan yang jujur berhubung soal keselamatan negara.

APCO Worldwide berpusat di kota Washington DC dan memiliki 23 buah pejabata di seluruh dunia termasuklah di Tel Aviv, Israel. Menjadi pengetahuan umum orang-orang penting dan penasihat APCO berhubung kait dengan Zionis Israel, seperti Shimon Shein (bekas Duta Israel ke Jerman), Itamar Rabinovich (bekas duta Israel ke Amerika Syarikat),


KITA MUNGKIN BERKATA HABIS ITU APA?


Namun APCO tidak boleh menafikan operatornya di Tel Aviv memiliki hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri Israel Yishak Rabin. APCO di Israel mengendalikan kerja-kerja pembangunan strategik dan berbagai bentuk komunikasi untuk syarikat korporat ataupun organisasi kerajaan.

Selanjutnya, perhubungan di antara Israel dan APCO lebih dari sekadar memiliki pejabat di Tel Aviv. Kegiatan APCO di negara Zionis melampaui sektor orang awam. Perlu diingatkan anggota Majlis Penasihat Antarabangsa APCO Doron Bergerbest-Eilon,merupakan bekas ketua keselamatan untuk kerajaan Israel


APCO dan ASERO


Hubungan APCO dengan pelbagai projek risikan dan berkait keselamatan dilakukan menerusi hubungan strategik dengan syarikat saudaranyaASERO Worldwide. Kepakaran APCO adalah dalam bidang komunikasi, manakal ASERO pula pakar dalam keselamatan dalam negeri dan perunding pengurusan risiko.

APCO dan ASERO mempunyai anggota perunding dan pengurusan yang bertingkah keahliannya. Misalnya Doron Bergerbest-Eilon yang duduk sebagai anggota Majlis Penasihat Antarabangsa APCO merupakan orang yang terlibat menubuhkan dan menjadi presiden ASERO Wordlwide.

Doron Bergerbest-Eilon, seorang bekas pegawai kanan keselamatan dalam Israeli Security Agency (ISA). Dia merupakan bekas ketua bahagian perlindungan dan keselamatan dan menjawat pangkat yang lebih kurang sama dengan mejar jenderal. Dedikasinya terhadap agensi perisikan Israel membawa dirinya dianugerahkan Pingat Penghargaan Pengarah oleh Agen Perisikan Amerika Syarikat.

Mara Hedgecoth, anak perempuan Ceo APCO dan Presiden Margery Kraus turut menjawat jawatan dalam ASERO sebagai Naip Presiden. Dalama masa yang sama Mara Hedgecoth turut berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Pengarah APCO Worldwide.

Naib Presiden Kanan ASERO, Carl Truscottmerupakan sosok tubuh yang tercalar imejnya sewaktu dibawah pentadbiran Bush. Carl Truscottmerupakan bekas Pengarah Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan Amerika Syarikat.

Tetapi dia melatakkan jawatan pada Ogos 2006 setelah terbit laporan dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang mendapati dia telah membazirkan ribuan dollar dengan berbelanja mewah, membazirkan jutaan dolar dengan keputusan-keputusan sesuka hati serta melanggar piawaian dengan mengarahkan pekerjanya membantu anak saudaranya dalam projek video di sekolah tingginya.


HUBUNGAN DENGAN ISREAL


ASERO Worldwide menasihati agensi awam dan tentera Israel dalam hal cabaran strategi dan taktik keselamatan serta menyediakan bantuan terhadapkerajaan dan pihak korporat bagi menyediakan, meringankan dan memulihkan daripada ancaman keganasan dan risiko bahaya lainnya, juga melindungi penghidupan dan aset penting serta memastikan penerusan operasi.

Kakitangan ASERO dipenuhi dengan rekrut daripada Agensi Keselamatan Israel (juga dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet) dan juga Mossadyang cukup terkenal itu. Seperti yang kita tahu prosedur piawaian operasi agensi ini dalam menghalang keganasan (counter terrorism) termasuklah dengan menyiksa orang yang dituduh, pembunuhan dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2006, APCO dan ASEROmemperkenalkan – Pentadbiran Pengangkutan Keselamatan – Transportation Security Administration (TSA) kepada kerajaan Israel, dan membantu membangunkan sistem keselamatan lapangan terbang Israel – Sistem Pengesan Orang Yang Disyaki – Suspect Detection Systems. TSAdireka oleh John Magaw, salah orang perunding kanan yang pernah menjadi pengarah Agensi Perisikan Amerika Syarikat.


HUBUNGAN DENGAN SINGAPURA


Bukan lagi rahsia bahawa Israel dan Singapura menjalin hubungan tersembunyi dalam kerjasama luar biasa di bidang pertahanan dan perisikan. Kerjasama antara dua buah negara ini dapat dijejak sejak tahun 1960 an lagi/

Di kalangan pengarah kanan dan pegawai pengurusan ASERO, satu-satunya orang yang bukan warga Amerika Syarikat dan warga Israel merupakan warga Singapura.

ASERO dan APCO menyediakan khidmat rundingan terhadap keselamatan dalam negeri Singapura, membantu Singapura dengan khidmat teknikal dan risikan dalam hal ehwal keselamatanruang udara dan angkasa. Khidmat dan kepakaran mereka talah memudah cara perpindahan pantas teknologi keselamatan dan ketenteraan Israel e Singapura.

Kedua-dua syarikat ini juga terlibat dalam mempromosikan penglibatan Israel dalam kerjasama dan penyelidikan berjangka panjang dalam bidang strategik yang mempunyai implikasi keselamatan dan ketenteraan. Antara isntitusinya adalah Yayasan Kajian dan Penyelidikan Industri Singapura-Israel (Singapore-Israel Industrial R&D Foundation - SIIRD) yang ditubuhkan pada tahun1997.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ASERO aktif terlibat dalam banyak kegiatan pencegahan keganasan (counter terrorism). Di atas nama pertukaran akdemik, ASERO telah ikut terlibat dengan Pusat Sains Tingkah Laku (Centre of Behavioral Science - CBS).Matlamat CBS adalah untuk berkhidmat sebagai “platfom untuk perpindahan dan pertukaran idea-idea dan pengetahuan terkini yang akan menyumbang kepada perubahan hidup individu, organisasi dan juga masyarakat.”


SATU MALAYSIA DAN SLOGAN SATU BANGSA


Dalam latar belakang ini, terdapat banyak sebab mengapa rakyat Malaysia yang patriotik perlu mempersoalkan kebijaksanaan mengambil khidmat APCO itu. Cukup terang, APCO tidak berkongsi wawasan yang sama tentang pembinaan bangsa(nation). Tidak juga menghairankan untuk APCO tidak berkongsi hasrat, wawasan dan matlamat pembinaan negaa kami. Sebab itulah slogan 1Malaysia tidak bersambut dalam konteks rakyat tempatan.

Fakta sejarah menunjukkan 1-Malaysia berbunyi seperti berbagai “gerakan Satu Bangsa” di seluruh dunia. Malangnya selogan Satu Bangsa tidak dapat dielakkan dikaitkan dengan kecenderungan konservatif.

Seperti yang kita ketahui, slogan Satu Israel merupakancubaan yang gagal untuk menyatukan suatu lanskap politik yang terpisah-pisah. Kemudian ada pula “One Britain” yang menjadi tema kempen ahli-ahli politik pelampau puak kanan parti Konservatif UK dan kumpulan-kumpulan anti penghijrahan orang luar ke dalam negara.

DI Australia, bekas perdana menteri John Howardmerangka dasar One-Australia pada tahun1980an. Maksudnya One-Australia membawa makna anti keragaman budaya dan mendesak Australia mengekalkan penguasaan orang kulit putih Anglo-Saxons.

Slogan One-Australia perdana menteri Howard kemudiannya diangkat oleh ahli politik rasisPauline Hanson yang menubuhkan One-Nation Party. Satu-satunya platfom parti ini berpandukan retorik dan dasar anti orang luar dan anti penghijrah.


MENYERAHKAN KEDAULATAN MALAYSIA


Setahun selepas dilancarkan, konsep 1-Malaysia masih lagi terlalu kabur buat kebanyakan rakyat Malaysia. Meskipun slogan tersbeut telah menghasilkan caka-cakap dan kegiatan tetapi ia langsung kosong isi pemikirannya.

Malah, rakyat Malaysia tanpa mengira etnik sama-sama kehilangan arah dalam mentera retorika ini. Kesan rasa selamat tidak cukup untuk menutup kekecewaan terhadap tiadanya tindakan dalam menangani isu sebenar yang memberi kesan terhadap bangsa dan negara seperti rasuah, menurunnya proruktiviti, kemiskinan, perpaduan nasional dan lainlain.

Keprihatinan kami bukan sahaja soal pembaziran wang pembayar cukai dalam perbelanjaan pengiklanan yang menakjubkan, papan tanda,lagu, konsert, pertandingan menulis esi dan lain-lain lagi. Kita mesti melihat kepada paling asasi sejauhmana selamatnya negara apabila kita dengan secara sukarelanya mendedahkan struktur kakitangan pegawai kerajaan terhadap firma swasta dengan kepentingan asing yang cukup kuat?

Dalam menjalankan tugasnya, APCO telah diberikan hak untuk mendapatkan bahan-bahan sensitif milik kerajaan yang saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia.dinafikan hak untuk mendapatkan bahan-bahan sensitif tersebut.Maka sungguh cetek dan lurus bendul lah kita untuk percaya APCO akan mengendalikan rahsia negara secara profesional, khusunya apabila kita sedang berkonflik dengan kuasa global.

Saya berharap ahli-ahli parlimen dan para pemimpin BN memberi perhatian dalam isu yang amat serius ini. Jika kamu benar-benar patriotik, bangun sekarang. Tolonglah jangan serahkan nasib Malaysia ke tangan kuasa asing.

Tian Chua
Ahli Parlimen Batu
27 Mac 2010

Rabu, Mac 24, 2010

Demi Cinta yang Menyala

Oleh : Jimadie Shah Othman

Lelaki angkuh di jendela telah tiada. Black Maria dondon gelap, dia ikut bersama, pada satu laluan yang sama-Jalan Kemuja 3, premis tetap sama. Macet cara Jakarta dan riuh Delhi yang itu-itu juga.

Laki-laki kasar di jendela telah tiada, seorang perempuan muda menanggung derita cinta. Belenggu di tangan, terkilas ke belakang. Matanya tak tumpah pun ke tanah. Dengan tenang, polis membawanya pergi. Dan seorang perempuan muda separuh mati.

Pada tiap hujung minggu, lelaki angkuh selalu berkunjung kepadanya,Catalina yang jelita. Tania si pembantu rumah, setia menanti dengan cinta yang menyala-nyala; juga cemburu yang membakar dada.

Dia gadis dengan sosok kecil, berkulit putih lai, rambut antara ikal dengan tidak, perantau yang rela mandiri ke Malaysia dari tanah seberang. Kabupaten Bogor, asalnya. Wilayah barat Pulau Jawa. Dekat Bandung dan Bandar Diraja Yogjakarta. Tentu saja gadis Sunda belasan tahun yang manja dan pernah dikecewa cinta-janda!

Dia muslim mazhab Muhammadiah. Pernah mendukung Amien Rais di Jakarta. Suaminya dimakan demam di desa kelahirannya di Jambi. Nyata ia pernah jadi menantu keluarga Melayu-Minang. Tak punya seorang anak. Umur sebenar 18 tahun akhir. Kuat pegangan agama, walaupun tuan rumahnya terbiasa sudah dengan kabaret dan tari-tari gila.

Di sini, sudah saya katakan, setiap Sabtu malam Ahad, lelaki ketegar dan rakan-rakannya selalu bertandang di rumah nombor sembilan, di Lorong Travers, dekat Bukit Persekutuan. Rumah ini dinamakan Salon mengambil semangat dari cerita-cerita besar pencerahan di Eropah sebelum tercetusnya revolusi di Perancis. Di sini, mereka berkumpul bercerita tentang sastera, daulah, dan sosial atau saling berdiskusi tentang buku-buku yang baru ditelaah; sambil gadis mungil beriman ini menghidangkan teh atau kopi Somali yang harum merbaknya berjuta pesona.

Mata dicuri mata. Jeling diserkup jeling. Umpama Ali dan Fatimah dalam rumah Muhammad. Di rumah banglo putih binaan stail British, atas bukit yang mendongak, kebiasaan mereka berkumpul antara lapan hingga 12 keseluruhannya. Dengan tiga atau empat perempuan. Kadang-kadang kalau tiada parti, mereka limpah ke kedai-kedai kopi seputar Jalan Telawi, Bangsar Baharu. Gebang berjam-jam di kedai mamak sampai subuh dan pulang berdengkur melewati waktu sembahyang siang. Di situ mereka diganyang dan Tania malam itu kalau boleh tidak mahu berganjak dari tikar sembahyang.

Di sini mereka menyusun gerakan. Bermimpi semacam Revolusi Perancis lahir kali kedua pada masa yang lain, di tanah yang lain.

Kala Tania melintas, dengan juadah di tangan. Lelaki kasar tidak pernah cuba merangkul. Tubuhnya kaku tanpa rasa ghairah. Sebaliknya benci menggunung. Biar mereka diangkut Black Maria pada satu subuh yang celaka.

Astaga, mulutnya celupar betul! Tania menangis tersedu-sedu di bilik hujung. Malam itu penuh gelak ketawa dan nyanyian air mata tidak bisa didengarnya.

Catalina mampir. "Tania, tanggal kerudungmu. Teman-temanku sedang terlentang memulas perut di ruang tamu!"

"Celakalah lang-lang revolusi. Ini peristiwa yang tak pernah dicatat sarjana. Hatta (Jurgen) Habermas dalam tulisannya tentang model 'ruang awam'." Dadanya menggelembung dengan amarah. "Cepat, bawa masuk lagi kopi dan uncang-uncang teh sebelum mereka menelan botol Guinnes," jerkah Catalina. Gadis molek tapi hodoh fiil.

Seperti hari-hari sebelumnya, minggu-minggu sesudah dan tahun-tahun lewat, lapan pria dengan pakaian imej buruh tidak jemu menganggunya. Kerudung tersingkap separuh kepala.

Celaka!

"Celaka 'ruang awam' berkembang sejajar kemasukan kopi dan teh di Eropah, bukan dengan lenggok wanita-wanita muda!"

Mereka jadi diam tiba-tiba. Laki-laki kasar bisa mengganyang bila-bila saja kurang warasnya. Sejak itu cintanya putik dalam diam. Laki-laki kasar teguk lagi alkohol sampai tekak rasa sumbat.

Kelawar dan pungguk hinggap di atas merah banglo dekat kota. Angin tiup malas-malas. Sunyi dan bening. Serentak, langit merenyai. Beberapa biji motosikal lalu-lalang di jalanan jadi hilang. Lebat hujan menjadi penghambat.

Sepanjang malam dia di dapur. Tubuh-tubuh kaku di ruang tamu. Ada yang masih telanjang dan kulai dalam pelukan pasangan. Azan kumandang. Tania, wanita dengan cinta menyala, tertahankah ruang peribadinya?


DUA

Tania di dalam biliknya. Ketika Cat sedang terbungkang di tilam spring tebal empat inci, dia buka pintu biliknya, melalui pintu rumah dan secermat mungkin kuak pagar besar rumah. Dengan beg besar di tangan kanan, Tania tidak menoleh lagi ke belakang seperti Lut meninggalkan bumi kaumnya yang ingkar Tuhan.

Dia terasa Adam menunggunya di kepala jalan hujung sana. Jalan depan tidak ada keraguan. Sejak datang di rumah nombor sembilan ini, dia memang lahir kembali sudah. Belajar makna hidup yang perit, cinta yang membara dan berjaya akhirnya bangkit derita yang menekan. Kalau daulah Renaissance, Tania pun.

Dia menjadi pelayan setia untuk salon ini. Belajar menjadi diri sendiri tanpa ada gangguan entiti kuasa atau swasta. Mendengar setiap bisik dan bicara intelek. Keseluruhan jiwanya bangkit. Kalau daulah Enlightment, Tania pun.

Dan sekarang dia keluar dengan tiba-tiba dan mendadak. Tanpa tangis dan esak. Dan kalau daulah Revolusi, Tania lebih berhak lagi atas nama itu.

Bumi teduh dengan awan siang ini. Tania rasa selesa dengan baju kurung potongan longgar, dengan corak motif bunga-bunga kecil. Lebih merah jambu warnanya. Kerudung hitam tak lupa di kepala. Di luar pagar rumah nombor sembilan, ini dunia yang terlalu luas.

Demi cinta yang menyala, seekor lang melayang di kepalanya.

Demi Tuhan!


TIGA

Sejambak ros merah merah 20 kuntum dengan sekeping kad di depan pintu bilik. Setiap Dhuha hujung minggu, Tania menunggunya.


Bawa saya pergi macam burung layang-layang. Saya penat jadi helang.
Jujur,
Syed Adam


Berkali-kali dia tersenyum sepanjang dini. Tetapi bilakah lelaki kasar, Syed Adam Syed Daniel dapat dibawa? Menuju ruang baru yang nyata dan normal.

Dedaun masa gugur berminggu-minggu. Malam ini parti tergempar, tanpa kehadiran Syed Adam. Biarkan dia nyenyak di mana-mana sel pun. Memeluk tikus. Gerombolan bertamu lagi di salon. Manusia-manusia dari ruang persendirian ramai-ramai membentuk ruang awam yang bebas dari campur tangan entiti kuasa dan swasta.

Malam ini berbeza, salon ini kubur yang diam.

"Celaka, siapa jadi 'hantu'?" gemersik tapi tegas, tanya Catalina. Mudahnya, panggil saja Cat.

Tania tidak upaya memandang wanita itu. Majikannya sendiri yang menyuap mulutnya. Dia teringat bagaimana figure gadis ini dirangkul Adam setiap hujung minggu di depannya. Dia pemilik cinta. Perempuan itu pemilik tubuh.

"Kami tidak tahu, business kami juga ditekan," seorang lelaki menyampuk. Pria macho dengan tie hitam.

"Bullshit, jangan bawa suara kapitalis dalam rumah aku! Ini ruang peribadi aku yang terkumpul di dalamnya suara-suara kecil yang membentuk ruang bersama yang independen sepenuhnya."

"Mereka dah control the games, bola tak lagi di kaki kita."

"Argh, akhirnya kamu tunduk juga kepada kapitalis. Ha, ha, ha!" Tania mengekek kecil

"Kalau begitu, jangan pula rosakkan the whole games!" balas Cat kepada laki-laki tali leher hitam.

"Kita buat candlelight vigil dekat balai. Ya, kita buat candlelight vigil."

"Atau kita mati?"

Ketawa-ketawa yang berbeza cara dan stail bikin malam ini meriah. Sekejap saja untuk Tania. Dia menangis dengan surat di riba.


Kehadapan kekasihku,
Apa khabar kekasihku? Aku di sini celaka mengundang, malam memanjang. Entah apalah nasib daku. Tetapi Nia pula usahlah patah hari dan lemah semangat. Sesungguhnya tidak ada apa dengan penahanan aku. Di sini selesa sahaja. Tak seperti kita sangkaan kita dulunya..yang selalu mampir dalam mimpi-mimpi yang ngeri.

Angin di sana dan di luar sana sama saja. Angin Tuhan juga. Aku selesa di sini, siangnya bercucuk tanam. Bendi aku sudah genap sebulan Selasa lalu. Cabai burung sudah menjadi dan sesungguhnya seni bina di 'istana' ini indah sekali.

Aku sudah ada teman baru, jangan marah! Sewaktu aku sakit gigi, aku melihat bagaimana dia mengeluarkan sesuatu dari lubangnya. Aku tarik ekor dia dan selongkar lubang itu. Aku jumpa ubat gigi. Walaupun lama, not bad kiranya. Dia sudah mulai senang dengan aku. Timat namanya. Ha, ha, ha! Nama itu aku ambil sempena nama Tikus Rahmat, novel yang popular sikit masa dulu.

Malam-malam aku peluk dia dan bayangkan muka Nia. Suatu hari akan aku buat juga. Sudahlah, aku ingin kamu, tidak wajah yang lain. Cukuplah, aku sedang belajar untuk tidak jadi kasar lagi. Ada seorang agamawan satu sel dengan aku. Sekarang aku tak nak jadi helang lagi. Lang revolusi kononnya. Falsafah tak ada lain: terbang tinggi, gah di langit; rupanya nak sambar ayam di tanah. Ha, ha, ha! Jadi tikus pun tak apa.

Jumpa lagi. Sejujurnya aku mengaku, sejahat mana pun lelaki itu, dia tetap inginkan isteri yang mithali juga.

Ikhlas,
Syed Adam


Dalam tangis, barangkali air matanya semangkuk.

"Nia, apa kau baca?"

Tania terkejut besar. Tiba-tiba surat di tangan disambar sang helang Catalina.

"Argh, Cik Catalina. Itu surat peribadi banget!"

"Hoi, kau nak jadi jembalang dalam sivil madani?"

Ruang dalam rumah, sekali lagi, dengan keriuhan Dhaka. Cat kembali ke ruang tamu. Jambakan ros merah 20 kuntum dipijaknya. Tania menangis. Dikutipnya pelan-pelan. Beberapa batang telah patah. Hatinya menggelembung. Terlalu rusuh dalam rusuk.

"Bersiaplah. Esok pergi ikut Abang Adam kau!"

"Ampun Cik, ampun!"

Jambangan bunga yang carik-carik itu dirangkul ke dadanya. Dia peluk rapat-rapat. Dan cium lama-lama. Wanginya semacam jadi terapi.

Cat hilangan dalam rumah. Di bilik tidur, hisap tar dan nikotina banyak-banyak atau teguk alkohol dari MTV barangkali.

Rupanya ada lagi manusia yang mulia dalam dunia ini. Seorang lelaki menghampiri. Sosok ini rapat benar dengan Syed Adam.

"Nah, ambil!" Dia hulur sebuah buku sederhana tebal. Kulit keras. Kertasnya sudah kuning. Ada jaket plastik baluti luar.

Tania pandang hairan.

"Ini buku Adam. Dia selalu baca. Untuk kamu Aragon:The Poet of This Resistance. Dalam ni ada satu puisi macam ni dan hadiahkan pada kamu."

Tania pandang lagi. Lidahnya kelu. Air mata tidak dikesat.

"Buka muka 21"

Dia berlalu. Membuka pintu. Berhenti sekejap. Katanya, "Usah bimbang atau siaga. Dalam dunia ini, kata Adam, hanya ada dua golongan saja yang kuat. Pertama birokrat, kedua agamawan. Mereka inilah yang digelarkan establishment." Dia berhenti. Menyambung lagi, matanya tajam dengan fokus, "Kamu dan Catalina sama saja. Keduanya pun establish dalam rumah ini"

"Kami saja yang tak kuat-kuat. Lain kali jangan pernah ada cita-cita nak jadi cendekia. Intelegensia kadang-kadang boleh establish, kadang-kadang tidak. Dan selalunya tidak. Ha, ha, ha! Ketawalah. Saya buat lawak ni."

Dia selak pintu dan meluncur dalam Alfa Romeo dondon hitamnya.

Tengah malam, menjengah Subuh, matahari sepenggalah, dhuha, dan zuhur. Tania terganggu tidurnya. Buku usang di tangan. Keluaran Duel, Sloan and Pearce, Inc. Tahun 1945. Cetakan pertama di New York.

Dua perenggan terakhir mempesonakannya.

And this autumnal gift
These ormulu riches are
My love's terrestrial dress?
What does she tell me, wind
What does she tell me? Stay
Stay as you did before
The battles in the east.

No mail, the sergeant says.

Ahad, Mac 21, 2010

Segitiga




Mereka kata ku gila
Lagilah aku suka
Otakku geliga
Fikiran luar biasa

Mereka kata ku samseng
Tapi ku tak ambil pusing
Pedulikan semua
Fikir apa yang penting

Jangan percaya kata mereka
Sudah ku kenal pasti
Kau pujaan hati
Cinta sejati memang boleh dibeli
Tapi tak mungkin ditukar ganti
Akan ku taati Maharani

Mereka kata ku tipu
Tapi ku tak meniru
Mereka semua pemburu
Pemburu yang cemburu

Semua tuduhan fitnah belaka
Ada yang suka juga ada yang benci
Biar peluru menembus kulitku
Suatu yang pasti
kekal abadi
Akan ku taati Maharani

Mereka kata kau sama
Tiada apa yang berbeza
Aku tau kau tak serupa
Tak silau lihat harta

Jumaat, Mac 19, 2010

Hati-hati Mencari.

Jauh sangat ke dalam.

Ketika gua bangun tido pagi tadi, waktu kelopak mata gua merasai lintas foton yang membutakan mata, gua bergegas untuk mandi, dan bersih-bersihkan diri.

Sejak dari semalam gua berangan-angan. Dari malam tadi sesudah matahari berlabuh menyembunyikan diri, hingga waktu gua bangun tidur, membawa kepada saat ketika gua mengarang erti perbicaraan kita semua pada hari ini.

Gua nak cerita sikit tentang panahan menusuk jiwa raga seindah-indahnya yang turut serta gua alami sepanjang berada dalam zon berangan-angan.

Tengahari tadi, waktu gua makan nasik, dengan lauk bayam masak lemak dan juga seekor ikan keli goreng, perlahan setiap kehalusan nikmat rezeki yang beberapa kali memaksa gua ambil nafas panjang sebagai pengantara rasa keinsafan. Kelembutan sahaja yang terasa tatkala hati gua dibelai dengan kasih sayang dari seorang Pencipta. Gua tidak boleh menghentikan rasa keinginan untuk sentiasa berkeadaan seperti itu pada lain-lain waktu, dan cuba melahirkan lorongan baru untuk berhijrah menjadi manusia yang lebih baik.

Diselang-selikan dengan penuh persoalan, di mana, jawapannya berpaksikan kewujudan taqdimNya, gua perlahan mencuci tangan. Perlu bersiap-siap untuk ke masjid untuk dan berkhalwat seintim-intimnya. Itu cita-cita gua pada hari ini. Tapi bila difikir-fikirkan semula, apa perlu gua mencariNya? Sedangkan sekelumit dan sedetik pun, diri ini tidak akan terlepas daripada pegetahuanNya. Mahu ke mana lagi gua mencari? Sedang Dia sudah menyatakan kedudukanNya yang lebih rapat dari urat leher para manusia. Jadi, adakah gua masih punya ruang untuk bersembunyi?

Dikisahkan,

ketika Muawiyab Bin Abi Sufian, menggantikan Saidina Ali R.A, Khulafa' Ar-Rashidin yang terakhir, beliau mengutus surat kehadrat sahabat Rasulullah, Al-Mughighah Ibn Abi Qutbah dan bertanyakan tentang doa yang dibaca oleh Nabi Muhammad S.A.W setiap kali baginda selesai menunaikan solat. Dan Mughighah menyatakan, doa Rasullullah itu seperti berikut:

"Tiada Tuhan selain Allah. Engkau yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Ya Allah, tidak ada yang mampu menghalangi apa yang Engkau kurniakan, dan tiada apa yang mampu memberi apa yang Engkau halangi, dan tidak ada gunanya upaya yang bersungguh-bersungguh. Semuanya bersumberkan Mu Ya Allah."

Kita undur ke belakang sedikit,

Saidina Umar pernah merancang untuk ke Syam bersama-sama pengikutnya. Kemudian, beliau membatalkan rancangan itu atas sebab wabak penyakit yang semakin menular di kalangan penduduk Syam. Kemudian, beliau didatangi seorang pengikutnya dan bertanya :

"Kalau Allah sudah menakdirkan kita hidup, kita tidak akan mati kerana penyakit ini. Dan kalau ditakdirkan kita mati di sini, kita tetap akan mati juga walaupun kita tidak pergi. Adakah kamu melarikan diri dari takdir Allah?
"

Saidina Umar menjawab :

"Sebenarnya, saya menghindarkan diri dari takdir Allah, kepada takdir Allah yang satu lagi. Saya membatalkan rancangan mahu ke Syam ini juga adalah takdir Allah. Kalau saya hidup atau mati di sini pun adalah takdir Allah.
"

Ini antara fenomena yang gua alami sejak dari semalam. Persoalan takdir.

Qadariah? Melampau. Gua tidak berkuasa sepenuhnya atas diri gua.

Jabariah? Terawang-awangan? Takkan gua tidak mampu berbuat apa-apa?

Pertama, gerak-geri, dan perilaku gua di atas muka bumi kadang-kadang tidak diketahui bagaimana, ke mana, dan bila akhirnya? Seperti denyutan jantung yang akan menghasilkan pergerakan-pergerakan lain, termasuklah denyutan otak semasa berfikir menyelesaikan satu-satu masalah. Ajaibnya jantung gua bukannya boleh berdenyut dengan sendirinya. Ada Roh di situ.

Kedua, perilaku satu lagi, yang berada di luar kawalan gua. Seperti hujan, panas, tayar motor pancit, dan sebagainya. Secara total, gua tidak akan dipertanggungkan atas punca-punca masalah-masalah luaran yang dihadapi. Kerana apa? Itu bukan pilihan gua.

Jadi, apabila gua menolak untuk meminum racun atau berhenti menghisap rokok (cita-cita teragung), bermakna gerakan ini berada pada pihak yang pertama, atau yang kedua? Jawapannya memerlukan terus-terusan gua berangan-angan sambil membuka helaian demi helaian tinggalan warisan ahli-ahli keagamaan.

Mudah-mudahan segera dapat gua menghentikan angan-angan ini dan mula bertindak sebagai seorang manusia.

Ya. Ia ada kena mengena denga Hak dan tanggungjawab! Hukum dan ganjaran.!

Isnin, Mac 15, 2010

3 Hari Lalu

Gua sampai rumah abang gua sekitar 10 malam. Waktu itu, gua dah rasa sikit-sikit macam dah nak tidur, tapi gua layankan saja borak-borak abang gua kat depan rumah untuk hilangkan rasa ngantuk. Sambil-sambil tu hidung masing-masing keluar asap macam anak jin.

Telefon bimbit gua berbunyi. Gua terkejut beruk. Dalam perjalanan membawa jentera mudah alih itu ke bibir, teringat pula gua janji untuk hidup tanpa teknologi dalam 3,4 hari siang tadi. Memandangkan perjalanan dari Klang nak ke Puchong memerlukan bantuan jentera MZ Mantizz yang cukai jalannya tak pernah gua baharui sejak 4 tahun lalu, perlahan gua bisik dalam hati kata semangat gua belum cukup kuat lagi, dan mesti berusaha juga hari demi hari. Kecil-kecil dulu pun, gua pakai telefon awam saja. Apahal makin gua besar, makin gua manja pula?

Selesai panggilan dari bekas bos gua masa gua kerja dulu, along ajak gua masuk bilik dia. Katanya nak tunjuk sesuatu.

Terus dia memunggah longgokan baju-baju dalam almari barunya. Sekarang dah pandai beli perabot. Dulu, gua pergi rumah bujang dia, almari plastik pun gua tak jumpa.

Benda yang along gua nak tunjukkan itu masih terbungkus dalam suratkhabar. Seram gua pada mulanya. Perlahan gua keluarkan dari sarung. Kemas. Gua genggam erat-erat. Terasa macam pahlawan, gua letak balik atas lantai. Gua bukan Pendekar Kundur beb. Along gua senyum tak tentu pasal.

Dia cuma kata, benda-benda ni dah lama sangat berlaku sampai orang kata semuanya mitos. Gua angguk bersetuju. Terbayang wajah Adlin Aman Ramli berlakon jadi Sultan Melaka dalam filem Puteri Gunung Ledang.

Lebih kurang sejam lepas tu, abah, mak, dengan abang gua nombor dua sampai. Pekena teh o dua tiga gelas, dan lepas cubit-cubit, timang-timang anak sedara, beransur semuanya, mak, abah, abang gua nombor dua termasuk gua sekali yang ditugaskan untuk memandu van keluarga kami untuk menuju ke pantai timur. Ada urusan kahwin-kahwin di sana. Sahabat abah gua waktu abah muda-muda main bola dahulu nak menimang menantu.

Tak sampai tol Gombak lagi, semua dah tidur. Tinggal gua dengan abang gua nombor dua saja. Sejuk-sejuk saja cuaca malam tu. Ada kelainan sedikit. Tak banyak perkara gua sembang dengan abang gua yang nombor dua kali ini. Masing-masing dok perlahan mengiringi suara Awie masa muda-muda bersama kumpulan Wings. Hilang juga ngantuk gua buat beberapa ketika.

Dari Karak hingga ke Kuantan, abang gua temankan gua. Dia kata dah puas tidur masa dari Johor nak ke Puchong. Nak memandu? Sampai sudah dia tak berlesen sekarang ni. Malas katanya. Dia bilang, gua main area kampung saja, buat apa sibuk-sibuk nak buat lesen memandu.

Begitulah sepanjang perjalanan. Bila abang gua nak hisap rokok, gua kena hisap rokok sekali. Bila abang gua minum air, gua kena minum air sekali. Bila abang gua makan gula-gula, gua kena makan gula-gula sekali. Bila abang gua nyanyi, gua kena nyanyi sekali.

Sampai Kuantan lebih kurang pukul 4 pagi. Tersentuh hati gua dengan satu soalan dari abang gua.

"Kat mana kita berhenti sembahyang Subuh ni?"


Dan gua akan terus-terus berharap pada Tuhan supaya membukakan pintu hatinya.

Rabu, Mac 10, 2010

Penjelajahan

Kisah kami bermulanya begini.

Semuanya semata-mata kerana mencari seseorang. Jiran dan rakan kami, tapi pangkat sudah brader-brader. Skinhead ganas yang dulunya bergayut dekat pondok telefon depan rumah gua sambil main gitar lagu Di Alam Fana Cintamu dipercayai telah menghilangkan diri sebaik sahaja menamatkan alam persekolahan.

"Wayar pondok telefon, lu selisihkan dengan wayar telefon mana-mana rumah, kemudian lu sambungkan dengan set gagang dan ibu telefon yang dicabut dari rumah lu tu sekali dengan soket. Ini akan menghasilkan panggilan percuma ke seluruh dunia." Lebih kurang begitulah pesannya sebelum dia pergi meninggalkan kampung halaman. Gua hanya ternganga memikirkan kebarangkalian untuk gua melaksanakan tugas itu satu hari nanti.

Berita itu semakin menggemparkan. Warga kampung baya-baya gua agak kucar-kacir untuk beberapa waktu kerana dia belum mewariskan lagi kebolehannya mengubahsuai telefon awam yang kami guna ramai-ramai secara terperinci. Maka gua dan Wan ditugaskan untuk menjejakinya dengan kadar segera untuk meneruskan aktiviti malam kami semua.

Ura-ura ada mengatakan dia berada di Melaka. Mak gua dapat khabar berita sedemikian semasa membeli kelapa di rumah Wak Salimin.

* * *

Setelah beberapa malam merancang program penjelajahan kota Melaka pada usia tingkatan dua, gua dengan Wan nekad. Kampung halaman akan kami tinggalkan buat sementara waktu. Sijil-sijil palsu menyertai kursus anjuran Pejabat Pendidikan Negeri sudah siap direka hasil kerja palsu tangan rakan kami dari pihak lain. Surat kebenaran ibu bapa dari pihak sekolah juga kami dah fotostat cantik-cantik semasa perwakilan kami untuk sekolah dalam aktiviti yang lepas-lepas. Kelihatannya penuh visi dan misi.

Untuk program yang ini, kalau ada mana-mana pihak ibu bapa yang ragu-ragu, baru mengaku. Itu janji kami. Biasanya mereka tandatangan saja tanpa banyak cerita.

Baju dan seluar kami dah runding awal - awal tentang macam mana nak nampak real untuk Kursus Motivasi Remaja Peringkat Negeri Johor. Separuh dari baju gua dan Wan kami gabungkan menjadi satu beg dan selebihnya ditinggalkan di kaunter simpanan beg stesen bas Kluang.

Dan malam itu, sejarah pengembaraan luar kampung kami yang pertama tanpa sesiapa disisi bermula. Kedinginan angin malam menghanyutkan kami dalam perjalanan yang tak pasti ini. Yakin benar pada mulanya untuk kami menemui sahabat yang hilang.

* * *

Sunyi.

Hampir pukul 1 pagi, kami tiba di Melaka. Pemandangan pertama yang dinikmati merupakan pondan jalanan sekitar Plaza Hang Tuah berdekatan stesen bas lama Bandaraya Bersejarah. Gua istighfar banyak-banyak dalam hati. Wan kelihatan gagah meneruskan langkahnya penuh misi. Mungkin kerana darah polis bapanya menjadikan dia sedemikian berani.

"Macam gini. Kita lepak dulu cari warung mana-mana dekat-dekat sini," Kata Wan.

"Gua fikir elok juga tu," balas gua menggigil kesejukan.

Sayup-sayup kedengaran suara orang bertengkar tatkala kami minum-minum di warung berdekatan sebuah bangunan berwarna kuning. Gua lupa pula namanya. Cuma ada beberapa orang pelanggan sekitar 4 ke 5 orang. Mereka biasa-biasa saja gua tengok macam tiada apa-apa berlaku. Tapi gua dan Wan masih tercari-cari suara yang mencaci hamun satu sama lain. Kasar sangat bunyinya kalau nak dibandingkan dengan gurau senda kami di kampung halaman bersama rakan-rakan waktu ponteng sekolah dalam kebun getah.

Nyatanya, suara itu sekejap-sekejap keras, dan berirama di hujungnya. Gua putuskan dalam hati, ini mesti pondan yang gua nampak tadi tengah maki orang lalu lalang yang memandang sinis. Kalau tidak, takkan orang-orang dekat warung ni boleh duduk rilek-rilek sambil goyang kaki?

Wan meneruskan aktiviti menghirup air kopi. Sudah tiada riak kecurigaan pada suara yang didengari tadi. Gua tahu, dia memang boleh baca gua punya hati.

"Ok, kita nak mula macam mana ni?" tanya gua.

"Gua rasa dia ada dekat-dekat sini." getus pita suara Wan.

"Gua tak rasa pun?"

"Macam mana lu nak tau? Orang ajak belajar agama, lu lari pergi sekolah kat bandar. Siapa suruh?" perli Wan.

"Kira sekarang lu punye firasat dah kuat gila babi la ni?" balas gua.

"Keh keh keh. Gua tipu je. Berangan juga nak ada power macam tu."

Cilakak.

Sebetulnya, kami memang tak tahu bagaimana mahu memulakan pencarian. Keinginan untuk menjelajah mendahului tuntutan rakan-rakan untuk mencari sang pelarian.

Selesai minum. Kami meneruskan perjalanan sambil hati gua bersiul-siul lagu kegemaran sahabat yang hilang, Di Alam Fana Cintamu. Silap tak bawa gitar saja masa tu. Kalau tidak, mesti nampak macam Ramli Sarip. Duduk-duduk kami di pinggir jalan berlantaikan batu-batu indah menarik perhatian beberapa manusia lalu lalangg. Sembang-sembang kami tentang sekolah masing-masing terus-terusan menjimatkan tempoh masa pencarian.

"Kita lepak sini 2 ke 3 hari, kalau tak jumpa kita balik." Kata gua.

"Gua setuju. Lu ade duit?" tanya Wan.

"Gua ade RM 25. Lu?"

"Gua ade RM 30. Tak cukup pinjaman kita ni"

Sesi perbualan seterusnya lebih kepada wayar-wayar yang dipesan oleh sahabat yang hilang.

Wan kata, "perlu satu satunya diperhitungkan kembali. Luruskan satu demi satu wayar itu. Pastikan wayar-wayar itu tidak bercantum antara satu sama lain. Kemudian, periksa setiap wayar-wayar tu. Baru boleh dapat panggilan percuma ke serata dunia. Sampai sini je gua boleh ajar lu. Esok- esok lu belajarlah dengan orang lain pula."

Kami terlelap akhirnya. Dan gua bermimpi...

Ahh....jadi cerita dongeng pula...

Keesokan paginya, pengembaraan diteruskan. Bibir masih terus lagi bersiul-siul mendendangkan irama yang sama sejak semalam. Tiba-tiba gua tersentak. Gua nampak dia. Dia yang pernah menyentap jantung hati gua sewaktu darjah 6 dahulu. Norasyikin namanya.

Ahh....jadi cerita cinta pula...


bersambung...

RENDRA - Kesaksian Tentang Mastodon-Mastodon

Pembangunan telah dilangsungkan
Di tanah dan di air sedang berlangsung perkembangan.

Aku memberi kesaksian
bahawa di sini
langit kelabu hambar dari ufuk ke ufuk.
Rembulan muncul pucat
seperti isteri birokrat yang luntur tatariasnya.
Sungai mengandung pengkhianatan
dan samudera diperkosa.
Sumpah serapah keluar dari mulut sopir teksi.
Keluh kesah menjadi handuk bagi buruh dan kuli.

Bila rakyat bicara memang bising dan repot.
Tetapi bila rakyat bisu itu kuburan.
Lalu apa gunanya membina ketenangan kuburan,
bila ketenangan hanya bererti kesesakan peredaran darah?

Aku memberi kesaksian
bahawa negara ini adalah negara pejabat dan pegawai.
Kebudayaan priyai tempoh dulu
diberi tambal sulam
dengan gombal-gombal khayalan baru.
Bagaikan para pengeran di zaman pra ilmiah
para pengeran baru bersekutu dengan cukong asing,
memonopoli alat berproduksi dan kekuatan distribusi.
Para pedagang peribumi hanya bisa menjual jasa
atau menjadi tukang kelentong.
Boleh menjadi kaya tetapi hanya mengambang kedudukannya.

Tirani dan pemusatan
adalah naluri dari kebudayaan pejabat dan pegawai.
Bagaikan gajah para pejabat
menguasai semua rumput dan daun-daunan.
Kekukuhan dibina
tetapi mobiliti masyarakat dikorbankan.
Hidup menjadi lesu dan sesak.
Ketenangan dijaga
tetapi rakyat tegang dan terkekang.
Hidup menjadi muram, tanpa pilihan.

Aku memberi kesaksian
bahawa di dalam peradaban pejabat dan pegawai
falsafah mati
dan penghayatan kenyataan dikekang
diganti dengan bimbingan dan pedoman rasmi.
Kepatuhan diutamakan,
kesangsian dianggap derhaka
dan pertanyaan dianggap pembangkangan.
Pembodohan bangsa akan terjadi
kerana nalar dicurigai dan diawasi.

Aku memberi kesaksian, bahawa:

Gajah-gajah telah menulis hukum dengan tinta yang munafik.
Mereka mengangkang dengan angker dan perkasa
tanpa bisa diperiksa,
tanpa bisa dituntut,
tanpa bisa diadili secara terbuka.

Aku bertanya:
Apakah ini gambaran kesejahteraan
dari bangsa yang mulia?

Aku memberi kesaksian
bahawa gajah-gajah bisa menjelma menjadi mastodon-mastodon.
Mereka menjadi setinggi menara dan sebesar berhala.
Mastodon-mastodon yang masuk ke laut dan menghabiskan semua ikan.
Mastodon yang melahap simen dan kayu lapis.
Melahap tiang-tiang listrik dan filem-filem import.
Melahap minyak kasar, cengkih, kopi, dan bawang putih.
Mastodon-mastodon ini akan selalu mebengkak
selalu lapar
selalu merasa terancam
selalu menunjukkan wajah yang angker
dan menghentak-hentakkan kaki ke bumi.

Maka mastodon yang satu
akan melutut kepada mastodon-mastodon yang lain.
Matahari menyala bagaikan berdendam.
Bumi kering.
Alam protes dengan kemarau yang panjang.
Mastodon-mastodon pun lapar
dan mereka akan saling mencurigai.
Lalu mastodon-mastodon akan menyerbu kota.
Mereka akan menghabiskan semua beras dan jagung.
Mereka akan makan anak-anak kecil.
Mereka akan makan gedung dan jambatan.

Toko-toko, pasar-pasar, sekolah-sekolah
masjid-masjid, gereja-gereja
semuanya akan hancur
Dan mastodon-mastodon masih tetap merasa lapar
selalu was-was.
Tak bisa tidur.
Yang satu mengawasi yang lain.

Aku memberi kesaksian
seandainya kiamat terjadi di negeri ini
maka itu akan terjadi tidak dengan petanda bangkitnya kaum pengemis
atau munculnya bencana alam
tetapi akan terjadi dengan petanda
saling bertempurnya mastodon-mastodon.

Khamis, Mac 04, 2010

Gerak Gempur

Beberapa orang yang digelar, bergelar, TERgelar ahli sudah dikenalpasti. Hanya menunggu wisel bagi melakukan sepak mula.

Buat suam-suam badan ni, gua bagi beberapa soalan yang akan dijawab kemudian hari. Selamat bertanya-tanya pada diri sendiri tentang erti teknologi.

Walaupun sebenarnya cita-cita gua hanya mahu menjadi penanam ubi, tapi gua terpaksa belajar guna bahasa si Labi-Labi.


EVALUATING MEDIA FREEDOM AS BACKBONE OF THE PARLIAMENTARY DEMOCRACY SYSTEM IN MALAYSIA : APPROACHES OF SCHOLAR’S PERSPECTIVE.



DEFINITION – in a few words, can you describe your own perspective to define “media freedom”?

DEFINITION – An impact of globalization; media convergence, affect most of the Malaysian to have a tendency to compare local media roles with international one, is there any boundaries to differentiate it in between?

MEDIA LAW - According to the Multimedia and Communication Act 1998, is the freedom given to both individual and organization without any censorship can assume as a proof that an authority open up some spaces for critiques and voiceless?

MEDIA LAW - O.S.A 1972 is a method for government to control information flow between them. Our country also had been criticized by the West Country for controlling the media. How can this method (O.S.A) benefits Malaysia’s development together with a democratic society?

MEDIA LAW - Can you tell me, in term of formal or informal control, any obstacles for the opposition party to construct their own broadcasting station?

DEMOCRACY IN MALAYSIA – Why a democratic societies are said to be an intimidation to national securities. Is that true? And how the traditional media should react in order to satisfy both?

DEMOCRACY IN MALAYSIA - Based on your experience in media organization, how far the freedom was being evolved in media organizations since most Malaysian perceived our country as a democratic country (1998)?

DEMOCRACY IN MALAYSIA - Do you satisfy with the level of freedom gave by an authority where at the same times, supplementary and conduct act were also had its own limitation on news? Is there any amendment should be made by the legislature?

MALAYSIAN PERSPECTIVES - Media in Malaysia practices a mix media system combining social responsibility and authoritarian system. From your perspective, will our society understand on the media roles rather than keep blaming the media for being un-objective in reporting news?

MALAYSIAN PERSPECTIVES - We have so many acts to regulate the media in Malaysia. From legal perspectives and from the roots of legal practice commonly, are those acts legitimate and not abusing the human rights in expressing their opinion or point of view?

MEDIA AND MALAYSIAN - Malaysia traditional media scenario are said to be slightly changed since we got independent until it boost up during 1998. Do you agree if I say that this situation occur as an impact to other compartment in our national policies?

MEDIA AND MALAYSIAN - Since media are very familiar with teenagers, do you think that our education systems need to be rectify such as giving an early education among children on how they are going to deal with the media?

MEDIA AND MALAYSIAN – Last but not least, Malaysian parliamentary system are said to be a model of Westminster found in Commonwealth of National countries where the conflict exist when the Prime Minister who have totally power in constructing a Cabinet are selected by a winning party during election rather than citizen itself. And the media are said to be conducted under the cabinet’s supremacies. The distinction between the ruling and opposition party occurs here resulted in hazarding the manifestoes of “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” become blurr. What is your comment?

Thank You.