Jumaat, Mac 19, 2010

Hati-hati Mencari.

Jauh sangat ke dalam.

Ketika gua bangun tido pagi tadi, waktu kelopak mata gua merasai lintas foton yang membutakan mata, gua bergegas untuk mandi, dan bersih-bersihkan diri.

Sejak dari semalam gua berangan-angan. Dari malam tadi sesudah matahari berlabuh menyembunyikan diri, hingga waktu gua bangun tidur, membawa kepada saat ketika gua mengarang erti perbicaraan kita semua pada hari ini.

Gua nak cerita sikit tentang panahan menusuk jiwa raga seindah-indahnya yang turut serta gua alami sepanjang berada dalam zon berangan-angan.

Tengahari tadi, waktu gua makan nasik, dengan lauk bayam masak lemak dan juga seekor ikan keli goreng, perlahan setiap kehalusan nikmat rezeki yang beberapa kali memaksa gua ambil nafas panjang sebagai pengantara rasa keinsafan. Kelembutan sahaja yang terasa tatkala hati gua dibelai dengan kasih sayang dari seorang Pencipta. Gua tidak boleh menghentikan rasa keinginan untuk sentiasa berkeadaan seperti itu pada lain-lain waktu, dan cuba melahirkan lorongan baru untuk berhijrah menjadi manusia yang lebih baik.

Diselang-selikan dengan penuh persoalan, di mana, jawapannya berpaksikan kewujudan taqdimNya, gua perlahan mencuci tangan. Perlu bersiap-siap untuk ke masjid untuk dan berkhalwat seintim-intimnya. Itu cita-cita gua pada hari ini. Tapi bila difikir-fikirkan semula, apa perlu gua mencariNya? Sedangkan sekelumit dan sedetik pun, diri ini tidak akan terlepas daripada pegetahuanNya. Mahu ke mana lagi gua mencari? Sedang Dia sudah menyatakan kedudukanNya yang lebih rapat dari urat leher para manusia. Jadi, adakah gua masih punya ruang untuk bersembunyi?

Dikisahkan,

ketika Muawiyab Bin Abi Sufian, menggantikan Saidina Ali R.A, Khulafa' Ar-Rashidin yang terakhir, beliau mengutus surat kehadrat sahabat Rasulullah, Al-Mughighah Ibn Abi Qutbah dan bertanyakan tentang doa yang dibaca oleh Nabi Muhammad S.A.W setiap kali baginda selesai menunaikan solat. Dan Mughighah menyatakan, doa Rasullullah itu seperti berikut:

"Tiada Tuhan selain Allah. Engkau yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Ya Allah, tidak ada yang mampu menghalangi apa yang Engkau kurniakan, dan tiada apa yang mampu memberi apa yang Engkau halangi, dan tidak ada gunanya upaya yang bersungguh-bersungguh. Semuanya bersumberkan Mu Ya Allah."

Kita undur ke belakang sedikit,

Saidina Umar pernah merancang untuk ke Syam bersama-sama pengikutnya. Kemudian, beliau membatalkan rancangan itu atas sebab wabak penyakit yang semakin menular di kalangan penduduk Syam. Kemudian, beliau didatangi seorang pengikutnya dan bertanya :

"Kalau Allah sudah menakdirkan kita hidup, kita tidak akan mati kerana penyakit ini. Dan kalau ditakdirkan kita mati di sini, kita tetap akan mati juga walaupun kita tidak pergi. Adakah kamu melarikan diri dari takdir Allah?
"

Saidina Umar menjawab :

"Sebenarnya, saya menghindarkan diri dari takdir Allah, kepada takdir Allah yang satu lagi. Saya membatalkan rancangan mahu ke Syam ini juga adalah takdir Allah. Kalau saya hidup atau mati di sini pun adalah takdir Allah.
"

Ini antara fenomena yang gua alami sejak dari semalam. Persoalan takdir.

Qadariah? Melampau. Gua tidak berkuasa sepenuhnya atas diri gua.

Jabariah? Terawang-awangan? Takkan gua tidak mampu berbuat apa-apa?

Pertama, gerak-geri, dan perilaku gua di atas muka bumi kadang-kadang tidak diketahui bagaimana, ke mana, dan bila akhirnya? Seperti denyutan jantung yang akan menghasilkan pergerakan-pergerakan lain, termasuklah denyutan otak semasa berfikir menyelesaikan satu-satu masalah. Ajaibnya jantung gua bukannya boleh berdenyut dengan sendirinya. Ada Roh di situ.

Kedua, perilaku satu lagi, yang berada di luar kawalan gua. Seperti hujan, panas, tayar motor pancit, dan sebagainya. Secara total, gua tidak akan dipertanggungkan atas punca-punca masalah-masalah luaran yang dihadapi. Kerana apa? Itu bukan pilihan gua.

Jadi, apabila gua menolak untuk meminum racun atau berhenti menghisap rokok (cita-cita teragung), bermakna gerakan ini berada pada pihak yang pertama, atau yang kedua? Jawapannya memerlukan terus-terusan gua berangan-angan sambil membuka helaian demi helaian tinggalan warisan ahli-ahli keagamaan.

Mudah-mudahan segera dapat gua menghentikan angan-angan ini dan mula bertindak sebagai seorang manusia.

Ya. Ia ada kena mengena denga Hak dan tanggungjawab! Hukum dan ganjaran.!

1 ulasan:

edroger ishak cassidy rosili berkata...

10-11 april free tak? i hope you do. please tell me so.

if you agree, please give those two days to me.

clear the date for nothing other than me.

if you agree, sms me,"akusetuju".