Isnin, Mac 15, 2010

3 Hari Lalu

Gua sampai rumah abang gua sekitar 10 malam. Waktu itu, gua dah rasa sikit-sikit macam dah nak tidur, tapi gua layankan saja borak-borak abang gua kat depan rumah untuk hilangkan rasa ngantuk. Sambil-sambil tu hidung masing-masing keluar asap macam anak jin.

Telefon bimbit gua berbunyi. Gua terkejut beruk. Dalam perjalanan membawa jentera mudah alih itu ke bibir, teringat pula gua janji untuk hidup tanpa teknologi dalam 3,4 hari siang tadi. Memandangkan perjalanan dari Klang nak ke Puchong memerlukan bantuan jentera MZ Mantizz yang cukai jalannya tak pernah gua baharui sejak 4 tahun lalu, perlahan gua bisik dalam hati kata semangat gua belum cukup kuat lagi, dan mesti berusaha juga hari demi hari. Kecil-kecil dulu pun, gua pakai telefon awam saja. Apahal makin gua besar, makin gua manja pula?

Selesai panggilan dari bekas bos gua masa gua kerja dulu, along ajak gua masuk bilik dia. Katanya nak tunjuk sesuatu.

Terus dia memunggah longgokan baju-baju dalam almari barunya. Sekarang dah pandai beli perabot. Dulu, gua pergi rumah bujang dia, almari plastik pun gua tak jumpa.

Benda yang along gua nak tunjukkan itu masih terbungkus dalam suratkhabar. Seram gua pada mulanya. Perlahan gua keluarkan dari sarung. Kemas. Gua genggam erat-erat. Terasa macam pahlawan, gua letak balik atas lantai. Gua bukan Pendekar Kundur beb. Along gua senyum tak tentu pasal.

Dia cuma kata, benda-benda ni dah lama sangat berlaku sampai orang kata semuanya mitos. Gua angguk bersetuju. Terbayang wajah Adlin Aman Ramli berlakon jadi Sultan Melaka dalam filem Puteri Gunung Ledang.

Lebih kurang sejam lepas tu, abah, mak, dengan abang gua nombor dua sampai. Pekena teh o dua tiga gelas, dan lepas cubit-cubit, timang-timang anak sedara, beransur semuanya, mak, abah, abang gua nombor dua termasuk gua sekali yang ditugaskan untuk memandu van keluarga kami untuk menuju ke pantai timur. Ada urusan kahwin-kahwin di sana. Sahabat abah gua waktu abah muda-muda main bola dahulu nak menimang menantu.

Tak sampai tol Gombak lagi, semua dah tidur. Tinggal gua dengan abang gua nombor dua saja. Sejuk-sejuk saja cuaca malam tu. Ada kelainan sedikit. Tak banyak perkara gua sembang dengan abang gua yang nombor dua kali ini. Masing-masing dok perlahan mengiringi suara Awie masa muda-muda bersama kumpulan Wings. Hilang juga ngantuk gua buat beberapa ketika.

Dari Karak hingga ke Kuantan, abang gua temankan gua. Dia kata dah puas tidur masa dari Johor nak ke Puchong. Nak memandu? Sampai sudah dia tak berlesen sekarang ni. Malas katanya. Dia bilang, gua main area kampung saja, buat apa sibuk-sibuk nak buat lesen memandu.

Begitulah sepanjang perjalanan. Bila abang gua nak hisap rokok, gua kena hisap rokok sekali. Bila abang gua minum air, gua kena minum air sekali. Bila abang gua makan gula-gula, gua kena makan gula-gula sekali. Bila abang gua nyanyi, gua kena nyanyi sekali.

Sampai Kuantan lebih kurang pukul 4 pagi. Tersentuh hati gua dengan satu soalan dari abang gua.

"Kat mana kita berhenti sembahyang Subuh ni?"


Dan gua akan terus-terus berharap pada Tuhan supaya membukakan pintu hatinya.

Tiada ulasan: