Oleh : Jimadie Shah Othman
Lelaki angkuh di jendela telah tiada. Black Maria dondon gelap, dia ikut bersama, pada satu laluan yang sama-Jalan Kemuja 3, premis tetap sama. Macet cara Jakarta dan riuh Delhi yang itu-itu juga.
Laki-laki kasar di jendela telah tiada, seorang perempuan muda menanggung derita cinta. Belenggu di tangan, terkilas ke belakang. Matanya tak tumpah pun ke tanah. Dengan tenang, polis membawanya pergi. Dan seorang perempuan muda separuh mati.
Pada tiap hujung minggu, lelaki angkuh selalu berkunjung kepadanya,Catalina yang jelita. Tania si pembantu rumah, setia menanti dengan cinta yang menyala-nyala; juga cemburu yang membakar dada.
Dia gadis dengan sosok kecil, berkulit putih lai, rambut antara ikal dengan tidak, perantau yang rela mandiri ke Malaysia dari tanah seberang. Kabupaten Bogor, asalnya. Wilayah barat Pulau Jawa. Dekat Bandung dan Bandar Diraja Yogjakarta. Tentu saja gadis Sunda belasan tahun yang manja dan pernah dikecewa cinta-janda!
Dia muslim mazhab Muhammadiah. Pernah mendukung Amien Rais di Jakarta. Suaminya dimakan demam di desa kelahirannya di Jambi. Nyata ia pernah jadi menantu keluarga Melayu-Minang. Tak punya seorang anak. Umur sebenar 18 tahun akhir. Kuat pegangan agama, walaupun tuan rumahnya terbiasa sudah dengan kabaret dan tari-tari gila.
Di sini, sudah saya katakan, setiap Sabtu malam Ahad, lelaki ketegar dan rakan-rakannya selalu bertandang di rumah nombor sembilan, di Lorong Travers, dekat Bukit Persekutuan. Rumah ini dinamakan Salon mengambil semangat dari cerita-cerita besar pencerahan di Eropah sebelum tercetusnya revolusi di Perancis. Di sini, mereka berkumpul bercerita tentang sastera, daulah, dan sosial atau saling berdiskusi tentang buku-buku yang baru ditelaah; sambil gadis mungil beriman ini menghidangkan teh atau kopi Somali yang harum merbaknya berjuta pesona.
Mata dicuri mata. Jeling diserkup jeling. Umpama Ali dan Fatimah dalam rumah Muhammad. Di rumah banglo putih binaan stail British, atas bukit yang mendongak, kebiasaan mereka berkumpul antara lapan hingga 12 keseluruhannya. Dengan tiga atau empat perempuan. Kadang-kadang kalau tiada parti, mereka limpah ke kedai-kedai kopi seputar Jalan Telawi, Bangsar Baharu. Gebang berjam-jam di kedai mamak sampai subuh dan pulang berdengkur melewati waktu sembahyang siang. Di situ mereka diganyang dan Tania malam itu kalau boleh tidak mahu berganjak dari tikar sembahyang.
Di sini mereka menyusun gerakan. Bermimpi semacam Revolusi Perancis lahir kali kedua pada masa yang lain, di tanah yang lain.
Kala Tania melintas, dengan juadah di tangan. Lelaki kasar tidak pernah cuba merangkul. Tubuhnya kaku tanpa rasa ghairah. Sebaliknya benci menggunung. Biar mereka diangkut Black Maria pada satu subuh yang celaka.
Astaga, mulutnya celupar betul! Tania menangis tersedu-sedu di bilik hujung. Malam itu penuh gelak ketawa dan nyanyian air mata tidak bisa didengarnya.
Catalina mampir. "Tania, tanggal kerudungmu. Teman-temanku sedang terlentang memulas perut di ruang tamu!"
"Celakalah lang-lang revolusi. Ini peristiwa yang tak pernah dicatat sarjana. Hatta (Jurgen) Habermas dalam tulisannya tentang model 'ruang awam'." Dadanya menggelembung dengan amarah. "Cepat, bawa masuk lagi kopi dan uncang-uncang teh sebelum mereka menelan botol Guinnes," jerkah Catalina. Gadis molek tapi hodoh fiil.
Seperti hari-hari sebelumnya, minggu-minggu sesudah dan tahun-tahun lewat, lapan pria dengan pakaian imej buruh tidak jemu menganggunya. Kerudung tersingkap separuh kepala.
Celaka!
"Celaka 'ruang awam' berkembang sejajar kemasukan kopi dan teh di Eropah, bukan dengan lenggok wanita-wanita muda!"
Mereka jadi diam tiba-tiba. Laki-laki kasar bisa mengganyang bila-bila saja kurang warasnya. Sejak itu cintanya putik dalam diam. Laki-laki kasar teguk lagi alkohol sampai tekak rasa sumbat.
Kelawar dan pungguk hinggap di atas merah banglo dekat kota. Angin tiup malas-malas. Sunyi dan bening. Serentak, langit merenyai. Beberapa biji motosikal lalu-lalang di jalanan jadi hilang. Lebat hujan menjadi penghambat.
Sepanjang malam dia di dapur. Tubuh-tubuh kaku di ruang tamu. Ada yang masih telanjang dan kulai dalam pelukan pasangan. Azan kumandang. Tania, wanita dengan cinta menyala, tertahankah ruang peribadinya?
DUA
Tania di dalam biliknya. Ketika Cat sedang terbungkang di tilam spring tebal empat inci, dia buka pintu biliknya, melalui pintu rumah dan secermat mungkin kuak pagar besar rumah. Dengan beg besar di tangan kanan, Tania tidak menoleh lagi ke belakang seperti Lut meninggalkan bumi kaumnya yang ingkar Tuhan.
Dia terasa Adam menunggunya di kepala jalan hujung sana. Jalan depan tidak ada keraguan. Sejak datang di rumah nombor sembilan ini, dia memang lahir kembali sudah. Belajar makna hidup yang perit, cinta yang membara dan berjaya akhirnya bangkit derita yang menekan. Kalau daulah Renaissance, Tania pun.
Dia menjadi pelayan setia untuk salon ini. Belajar menjadi diri sendiri tanpa ada gangguan entiti kuasa atau swasta. Mendengar setiap bisik dan bicara intelek. Keseluruhan jiwanya bangkit. Kalau daulah Enlightment, Tania pun.
Dan sekarang dia keluar dengan tiba-tiba dan mendadak. Tanpa tangis dan esak. Dan kalau daulah Revolusi, Tania lebih berhak lagi atas nama itu.
Bumi teduh dengan awan siang ini. Tania rasa selesa dengan baju kurung potongan longgar, dengan corak motif bunga-bunga kecil. Lebih merah jambu warnanya. Kerudung hitam tak lupa di kepala. Di luar pagar rumah nombor sembilan, ini dunia yang terlalu luas.
Demi cinta yang menyala, seekor lang melayang di kepalanya.
Demi Tuhan!
TIGA
Sejambak ros merah merah 20 kuntum dengan sekeping kad di depan pintu bilik. Setiap Dhuha hujung minggu, Tania menunggunya.
Bawa saya pergi macam burung layang-layang. Saya penat jadi helang.
Jujur,
Syed Adam
Berkali-kali dia tersenyum sepanjang dini. Tetapi bilakah lelaki kasar, Syed Adam Syed Daniel dapat dibawa? Menuju ruang baru yang nyata dan normal.
Dedaun masa gugur berminggu-minggu. Malam ini parti tergempar, tanpa kehadiran Syed Adam. Biarkan dia nyenyak di mana-mana sel pun. Memeluk tikus. Gerombolan bertamu lagi di salon. Manusia-manusia dari ruang persendirian ramai-ramai membentuk ruang awam yang bebas dari campur tangan entiti kuasa dan swasta.
Malam ini berbeza, salon ini kubur yang diam.
"Celaka, siapa jadi 'hantu'?" gemersik tapi tegas, tanya Catalina. Mudahnya, panggil saja Cat.
Tania tidak upaya memandang wanita itu. Majikannya sendiri yang menyuap mulutnya. Dia teringat bagaimana figure gadis ini dirangkul Adam setiap hujung minggu di depannya. Dia pemilik cinta. Perempuan itu pemilik tubuh.
"Kami tidak tahu, business kami juga ditekan," seorang lelaki menyampuk. Pria macho dengan tie hitam.
"Bullshit, jangan bawa suara kapitalis dalam rumah aku! Ini ruang peribadi aku yang terkumpul di dalamnya suara-suara kecil yang membentuk ruang bersama yang independen sepenuhnya."
"Mereka dah control the games, bola tak lagi di kaki kita."
"Argh, akhirnya kamu tunduk juga kepada kapitalis. Ha, ha, ha!" Tania mengekek kecil
"Kalau begitu, jangan pula rosakkan the whole games!" balas Cat kepada laki-laki tali leher hitam.
"Kita buat candlelight vigil dekat balai. Ya, kita buat candlelight vigil."
"Atau kita mati?"
Ketawa-ketawa yang berbeza cara dan stail bikin malam ini meriah. Sekejap saja untuk Tania. Dia menangis dengan surat di riba.
Kehadapan kekasihku,
Apa khabar kekasihku? Aku di sini celaka mengundang, malam memanjang. Entah apalah nasib daku. Tetapi Nia pula usahlah patah hari dan lemah semangat. Sesungguhnya tidak ada apa dengan penahanan aku. Di sini selesa sahaja. Tak seperti kita sangkaan kita dulunya..yang selalu mampir dalam mimpi-mimpi yang ngeri.
Angin di sana dan di luar sana sama saja. Angin Tuhan juga. Aku selesa di sini, siangnya bercucuk tanam. Bendi aku sudah genap sebulan Selasa lalu. Cabai burung sudah menjadi dan sesungguhnya seni bina di 'istana' ini indah sekali.
Aku sudah ada teman baru, jangan marah! Sewaktu aku sakit gigi, aku melihat bagaimana dia mengeluarkan sesuatu dari lubangnya. Aku tarik ekor dia dan selongkar lubang itu. Aku jumpa ubat gigi. Walaupun lama, not bad kiranya. Dia sudah mulai senang dengan aku. Timat namanya. Ha, ha, ha! Nama itu aku ambil sempena nama Tikus Rahmat, novel yang popular sikit masa dulu.
Malam-malam aku peluk dia dan bayangkan muka Nia. Suatu hari akan aku buat juga. Sudahlah, aku ingin kamu, tidak wajah yang lain. Cukuplah, aku sedang belajar untuk tidak jadi kasar lagi. Ada seorang agamawan satu sel dengan aku. Sekarang aku tak nak jadi helang lagi. Lang revolusi kononnya. Falsafah tak ada lain: terbang tinggi, gah di langit; rupanya nak sambar ayam di tanah. Ha, ha, ha! Jadi tikus pun tak apa.
Jumpa lagi. Sejujurnya aku mengaku, sejahat mana pun lelaki itu, dia tetap inginkan isteri yang mithali juga.
Ikhlas,
Syed Adam
Dalam tangis, barangkali air matanya semangkuk.
"Nia, apa kau baca?"
Tania terkejut besar. Tiba-tiba surat di tangan disambar sang helang Catalina.
"Argh, Cik Catalina. Itu surat peribadi banget!"
"Hoi, kau nak jadi jembalang dalam sivil madani?"
Ruang dalam rumah, sekali lagi, dengan keriuhan Dhaka. Cat kembali ke ruang tamu. Jambakan ros merah 20 kuntum dipijaknya. Tania menangis. Dikutipnya pelan-pelan. Beberapa batang telah patah. Hatinya menggelembung. Terlalu rusuh dalam rusuk.
"Bersiaplah. Esok pergi ikut Abang Adam kau!"
"Ampun Cik, ampun!"
Jambangan bunga yang carik-carik itu dirangkul ke dadanya. Dia peluk rapat-rapat. Dan cium lama-lama. Wanginya semacam jadi terapi.
Cat hilangan dalam rumah. Di bilik tidur, hisap tar dan nikotina banyak-banyak atau teguk alkohol dari MTV barangkali.
Rupanya ada lagi manusia yang mulia dalam dunia ini. Seorang lelaki menghampiri. Sosok ini rapat benar dengan Syed Adam.
"Nah, ambil!" Dia hulur sebuah buku sederhana tebal. Kulit keras. Kertasnya sudah kuning. Ada jaket plastik baluti luar.
Tania pandang hairan.
"Ini buku Adam. Dia selalu baca. Untuk kamu Aragon:The Poet of This Resistance. Dalam ni ada satu puisi macam ni dan hadiahkan pada kamu."
Tania pandang lagi. Lidahnya kelu. Air mata tidak dikesat.
"Buka muka 21"
Dia berlalu. Membuka pintu. Berhenti sekejap. Katanya, "Usah bimbang atau siaga. Dalam dunia ini, kata Adam, hanya ada dua golongan saja yang kuat. Pertama birokrat, kedua agamawan. Mereka inilah yang digelarkan establishment." Dia berhenti. Menyambung lagi, matanya tajam dengan fokus, "Kamu dan Catalina sama saja. Keduanya pun establish dalam rumah ini"
"Kami saja yang tak kuat-kuat. Lain kali jangan pernah ada cita-cita nak jadi cendekia. Intelegensia kadang-kadang boleh establish, kadang-kadang tidak. Dan selalunya tidak. Ha, ha, ha! Ketawalah. Saya buat lawak ni."
Dia selak pintu dan meluncur dalam Alfa Romeo dondon hitamnya.
Tengah malam, menjengah Subuh, matahari sepenggalah, dhuha, dan zuhur. Tania terganggu tidurnya. Buku usang di tangan. Keluaran Duel, Sloan and Pearce, Inc. Tahun 1945. Cetakan pertama di New York.
Dua perenggan terakhir mempesonakannya.
And this autumnal gift
These ormulu riches are
My love's terrestrial dress?
What does she tell me, wind
What does she tell me? Stay
Stay as you did before
The battles in the east.
No mail, the sergeant says.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan