Mendung.
Pertama kali aku disini. Tak dapat dipastikan arah mana matahari akan terbit sebentar lagi.
Atas, kanan, menolak akan angin yang bergerombol itu mengarah awan menuju arah yang satu lagi tanpa batasan. Mungkin ketemu lagi setelah tamat engkau mengorbit bumi ini. Semakin lama semakin biru yang dapat aku lihat.
Bawah, kiri, tertahan-tahan riak air cuba menembusi tebingnya setelah penat ia berjalan beriringan bersama awan. Hendak berpatah balik, yang di belakang sudah berpusu-pusu mahu ketebing yang sama juga.
Kemas. Dua kutub yang selari, atas dan bawah. Langit dan bumi.
Tapi, tidak pada pucuk pohon-pohon itu. Tak menentu hembusan arahnya. Sekejap-sekejap ke kanan. Sekejap-sekejap ke kiri.
Bagaimana agaknya jika kamu semua berada di sini? Dengan aku. Melihat manusia terkedek-kedek berlari seawal pagi, konon mahu menguruskan badan. Dengan harapan menjadi hebat di atas ranjang bersama perempuan-perempuan?
Jangan jadi bodoh kalau engkau bilang engkau tak tahu kemana engkau setelah kehidupan.
Bertambah bodoh jika engkau membenarkan kebodohan insan lain yang mahu terjun dalam api itu.
Cuma sedikit sekali, sukar untuk membandingkannya. Tetapi walaupun dia sedikit, itulah dan di situlah terletak hidup. Lahir ke dunia di antara dua zaman yang lama, dahulu yang tidak dapat didaki kerana sangat jauhnya, dan kemudian yang berlarut.
Bagaimana agaknya jika kamu semua berada di sini? Dengan aku. Melihat kepada perilaku sendiri dengan sandi dan perlambangan yang bersimpang siur tanpa urusan? Dengan harapan menjadi manusia yang penuh ihsan dalam kebatilan yang jelas terpampang?
Dalam saat yang sedikit tidak terbanding itulah kesempatan memberi nilai kedatangan kita ke dunia ini.
Pragmatik? Bukan jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan