Khamis, Mei 27, 2010

Anak Kecil Main Api

Gua baru sampai rumah. Tadi keluar kejap, ingat nak beli rokok saja, tapi gua nampak terang-benderang pekan Renggam dekat belah-belah padang pejabat Majlis Daerah Kluang Selatan yang lama. Sekarang, mereka dah pindah pejabat. Kalau rajin baca suratkhabar, tentu tahu apa terjadi sekitar pertengahan tahun lepas melibatkan S/U Majlis Daerah bahagian sini. Sudahnya, kena pindah pejabat sahaja. Kalau tak mahu ambil tahu, duduk diam-diam tak perlu kacau orang lain lawan rasuah.

Pinggir padang, belakang tiang gol pasukan tuan rumah @ kampung gua, sambil hisap rokok asap kepul-kepul, masing-masing meriah mengutuk pasukan musuh. Sudahnya, kena 3 biji gol bodoh. Gua ejek dalam hati saja, takut nanti kena belasah pula sebab tak mahu sokong pasukan kampung halaman. Ada juga 3,4 kerat sependapat. Tak kurang pula yang kata semuanya takdir. Kalau sudah usaha pun tidak seberapa, tonggang terbalik adab dan perilakunya, tawakkalnya entah bagaimana pula? Fikir sendiri.

Jadi, gua pulang sebelum perlawanan tamat. Teman juga sama. Singgah sebentar di warung burger seorang teman yang lain, penat telinga mendengar kisah itu dan ini. Itunya motor, ininya kereta, begitunya lelaki, begininya perempuan. Sampai terikut-ikut segala macam dialog jajaan Ahmad Idham pun ada juga daripada segelintir mereka.

Sedih.

Pulang. Bawa hati yang rawan. Tentang anak bangsa yang entah ke mana jatidirinya, gua tak pasti. Siap-siap parking C70 abah gua yang banyak berjasa hantar gua pergi sekolah masa kecil-kecil dulu, sebatang lagi Gudang Garam hinggap di bibir. Bulan terang malam ini. Angin tiada. Itu juga yang gua mahukan untuk diri gua sendiri dan teman-teman di sini. Jelas lagi teguh bagi diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Tapi kalau hanya 2 buku setahun, bagaimana?

Bila memikirkan patologi Dr. Syed Hussein dari sudut pandang mendasar pada ke-16 hingga kini di Malaysia, Filipina dan Indonesia, justifikasi telah diberikan untuk meruntuhkan tembok prasangka kolonial Barat yang sedikit sebanyak mempengaruhi gua dalam melihat peribumi dengan orang Melayu menjadi majoritinya diperihalkan dalam konstruksi citra bangsa pemalas.

Kenyataan sebenarnya tuduhan kemalasan orang Melayu bukanlah disebabkan oleh faktor baka keturunan dan rutin harian mereka sebaliknya penolakan mereka untuk bekerja sebagai buruh di ladang dan ketidakadilan layanan yang diterima dalam kegiatan ekonomi kapitalis yang dikuasai penjajah melalui pecah dan perintah.

Bukan hendak bergaya sangat orang Melayu dulu-dulu.

Kerajinan dan kemahiran bangsa Melayu adalah nilai estetika yang hadir bersama minat yang mendalam terhadap apa yang dikerjakan. Mereka hanya malas menjadi alat kaum kapitalis yang melayani mereka sebagai hamba abdi di negara sendiri. Oleh itu generalisasi orang Melayu sebagai bangsa pemalas adalah terlalu semberono dan suatu mitos klasik.

Menjawab hujah Dr. Mahathir yang rendah diri dalam buku pertamanya "The Malay Dilemma" sekitar 1970, juga "Revolusi Mental" terbitan Pergerakan Pemuda UMNO , hal ini disifatkan Dr Syed Hussein seperti menyokong idea jenaka Charles Darwin dalam teori evolusi biologisnya di mana percampuran baka yang mereka cadangkan itu dilihat oleh mereka sebagai agen perubahan positif.

Semacam ada yang tak kena, tapi gua belum kenalpasti lagi. Harap-harap ada penyelesaiannya nanti.

Lebih jauh berfikir, risau pula gua kalau esok gua keluar rumah dengan tanjak di kepala, bersisip keris di celah pelikat yang dijadikan kain samping. Atau itu hanya pakaian mereka yang terperangkap dalam jerat kapitalis suatu ketika dahulu?

Agarophobia kata penjajah. Kau ingat aku kisah?

Singgah sebentar di warung burger seorang teman yang lain, penat telinga mendengar kisah itu dan ini. Itunya motor, ininya kereta, begitunya lelaki, begininya perempuan. Sampai terikut-ikut segala macam dialog jajaan Ahmad Idham pun ada juga daripada segelintir mereka.

Ekonominya begitu, budayanya begini.

Sedih lagi........

Selasa, Mei 25, 2010

Sebelum dan Selepas

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Rabi' Bin Sulaiman, katanya, Imam Syafi'i pernah ditanya tentang takdir, jawapan beliau:


Apa yang Engkau kehendaki terjadi
Meskipun aku tidak menghendaki
Apa yang aku kehendaki tidak terjadi
Apabila Engkau tidak menghendaki

Engkau ciptakan hamba-hamba
Sesuai apa yang Engkau ketahui
Maka dalam ilmu-Mu
Pemuda dan orang tua berjalan

Yang ini Engkau kurniai
Sementara yang itu Engkau rendahkan
Yang ini Engkau beri pertolongan
Yang itu tidak Engkau tolong

Manusia ada yang celaka
Manusia juga ada yang beruntung

Manusia ada yang buruk rupa
Manusia juga ada yang bagus rupawan


(Manaqih asy-Syafi'i : Syarh Ushul I'tiqad Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah)

Hati, di mana manusia dapat berfikir dan memahami sesuatu, merupakan pemimpin badan manusia. Tidak ada gerak anggota badan kecuali berdasarkan pendapat dan perintah hati. Begitu pula dua biji mata di mana manusia melihat, dua daun telinga di mana manusia mendengar, kedua tangan yang dipakai untuk memukul, kedua kaki yang dipakai untuk memenuhi keinginan hatinya, lisan yang dipakai untuk berbicara, dan di kepala di mana terdapat wajahnya.

Sabtu, Mei 22, 2010

Bincang-Bincang

Klik SINI

* * *

"Sememangnya telah banyak yang kita bincangkan tetapi cukup banyakkah sehingga ilmu itu bisa sahaja berhenti kerana sesungguhnya ilmu itu sendiri bersifat infiniti yakni tiada batasan?"

Jadi, ketuk dan masuklah pintu ilmu yang tanpa batasan itu sahabat. Kalau hipotesis dan pemerhatian pancaindera lebih diperlukan dalam ilmu sains, tetapi tidak dalam ilmu kemasyarakatan. Kita sebagai orang islam punya lebih dari itu. Kalbu atau hati bukan penamat atau permulaan setiap aliran data maklumat yang diperoleh oleh pancaindera. Ia bertindak sebagai terminal di mana sumber-sumber data itu perlu dipastikan bersih dari segala kekotoran untuk memulakan perjalanan (spt. tidak melihat perlakuan maksiat, atau mendengar perkara yang sia-sia) Ia juga bertindak sebagai pengawal yang menjadi bodyguard sepanjang perjalanan hidup.

* * *

"Begitu yang diajar dalam agama kita, seorang itu menggunakan pancaindera untuk memahami hadis, mengkaji al-Quran, mendengar ilmu dan hujah, lalu disintesiskan oleh akal sebelum dihantar ke qalbu."

Adapun mengenai adab lahir dalam membaca Al-Quran, selain didapati dalam kitab Ihya' Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali, juga banyak terdapat di dalam kitab-kitab lain misalnya Al-Itqan oleh Imam Jalaluddin As Suyuthi yang memperincikannya kepada beberapa bahagian. Salah satunya adalah :

"Dalam membaca Al-Quran itu, hendaklah benar-benar diresapkan erti dan maksudnya, lebih-lebih lagi apabila sampai pada ayat-ayat yang menggambarkan nasib orang-orang yang berdosa, dan bagaimana hebatnya seksaan yang disediakan bagi mereka. Sehubungan dengan itu, menurut riwayat, para sahabat banyak yang mencucurkan air matanya di kala membaca dan mendengar ayat-ayat suci Al-Quran yang menggambarkan betapa nasib yang akan dideritai oleh orang-orang yang berdosa."

* * *

Katakanlah, "Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing." Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya. (Al-Isra, ayat 84)

Sememangnya tiap-tiap orang itu berbuat menurut keadaannya masing-masing, dan perkara ini sudah pun berlaku sebelum turunnya Nabi Muhammad S.A.W

"Maka sampaikanlah kabar gembira itu kepada hamba-hambaKu yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal" (Az-Zumar:17-18)

Dalam epistemologi islam, kebenaran itu sifatnya muktamad. Bermakna agama islam itu adalah jalan hidup setiap manusia dimuka bumi yang bergelar muslim.

Perlu diingatkan akan komponen islam itu adalah iman, ilmu dan amal.

Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih islam jalannya.

* * *

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Al-Isra', ayat 85)

Ayat ini diturunkan apabila Nabi Muhammad S.A.W memperjelaskan tentang hakikat roh. Atau dalam erti kata lain adalah memperjelaskan perihal roh itu sehingga mereka yang bertanya mampu untuk melihat, mendengar dan mengakses kewujudan roh itu. Alam roh, itu, seperti yang kita tahu berada sebelum alam rahim. Jadi, ilmu tentang mempersembahkan keberadaan alam roh agar dapat diakses oleh pancaindera itulah yang dikatakan terbatas. Bukan persoalan hukum-hakam, dosa atau pahala. Rujukan bagi hal ini saya dapati dari buku yang pernah saya tunjukkan kepada anda ketika anda hadir ke rumah saya dahulu.

Jadi, dalam bahasa modennya, bolehlah digunakan ayat ini untuk menyangkal teori gila Charles Darwin yang menafikan penciptaan segala sesuatu. Harap anda tidak terkeliru dengan ini. Darwin adalah kesinambungan kesesatan umat-umat terdahulu.

* * *

Saya lebih cenderung berhujah untuk kita sama-sama menyelami erti Tauhid dan qada' dan qadar kerana anda berhujah begini:

"Kerana tahu batasan dan limitasi ilmu manusia yang terbatas, aku cuma mahukan kebenaran yang terbukti, bukan sekadar dakwaan. Bagaimana jika dakwaan itu sekadar dakwaan? Maka sesiapa yang mengikuti jalan yang sesat kerana mengikut sesuatu yang menyesatkan, hanya Allah SWT yang mengetahui kebenaran tentang sesuatu"

Jika anda sudah menyatakan bahawa hanya Allah S.W.T yang mengetahui kebenaran tentang sesuatu itu, jadi apa gunanya bukti yang hanya mampu dilihat, didengar (pancaindera) walhal, Allah S.W.T itu tidak melihat, mendengar dan berkata-kata seperti manusia melihat,mendengar atau berkata-kata?

Mungkin ilmu tafsir seperti balaghah, ma'ani dan sebagainya warisan alim ulama' kita mampu utk menghuraikan kekeliruan persepsi yang dialami. Saya tidak berapa arif mengenai hal ini.

Dan fikirkan tentang kehebatan ilmu-ilmu lain itu pula wahai sahabat. Penguasaan tentang ilmu, dihiasi dengan iman dan amal yang tiada putusnya amat diperlukan agar ilmu yaqin akan menjurus kepada ainul yaqin, seterusnya kepada haqqul yaqin.

* * *

Dalam disiplin ilmu islam, 3 ilmu utama setiap penuntutnya perlu bersandarkan kepada tiga asas utama iaitu tauhid, syariah dan juga tasawwuf. Jadi bagaimana mahu anda lihat masyarakat mahupun ahli politik sendiri yang terperangkap dengan persepsi politik kini untuk berakhlak sebaik-baiknya jika islam yang syumul tidak dilaksanakan?

Dan cuba fikirkan tentang bagaimana persepsi yang pelbagai ini boleh wujud di kalangan ahli masyarakat sehingga mengakibatkan pecah belah? Kemudian, katakanlah yang saya ini pembenci kemajuan dan teknologi.

Ya, sememangnya sukar untuk menidakkan kebaikan dan keburukan segala kemajuan dan teknologi. Maka, suka untuk saya tenangkan hati dengan ayat ini :

"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar" (Surah An-Nuur:ayat 11)

Lebih baik kita melihat setiap keputusan yang dibuat oleh ahli politik itu, agar negara islam dapat ditubuhkan terlebih dahulu. Maka, dan hal ini, ilmu syariah amat-amat dititikberatkan dalam menilai tindak-tanduk mereka.

Sama-sama kita mempelajarinya ok?

* * *

"Katakanlah : Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak pula aku mengetahui yang ghaib dan tidak pula aku mengatakan kepadamu bahawa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?" Maka apakah kamu tidak memikirkannya?" (Al-An'am; ayat 50)

Wallahualam..

Selasa, Mei 18, 2010

Kuala Lumpur

Para penumpang yang akan tinggalkan hotel, terpaksa tangguhkan perjalanan! Kabut. Guruh-petir. Ancaman hujan. Itulah semua menggerunkan. Banjaran Titiwangsa dan Lembah Kelang jadi kawasan petir akibat tiga faktor alam. Pertama, pertembungan suhu dari Laut Cina Selatan. Kedua, banjaran gunung. Ketiga, pengaruh unsur magnet daripada logam bawah tanah.

Penumpang iseng yang datang berjudi dan sengaja mahu mendapat bilik sewa murah pada awal minggu, ramai antara mereka itu pemakan gaji, bercampur broker saham. Mereka gelisah kerana tertahan di gunung. Kerja mereka menanti di dalam dan di sekitar Lembah Kelang! Maka penuhlah orang pada tempat telefon umum, menanti giliran membuat panggilan. Pemakan gaji mengirim berita keuzurannya; dan broker saham mengirim khabar; kemungkinan buruk akan berlaku.

Seorang ahli parlimen yang datang secara iseng ke Genting Highlands, gelisah, sebab ada temu janjinya sebelum dia masuk ke Sidang Dewan Rakyat jam dua petang, untuk perbahasan belanjawan tahun hadapan. Kenikmatan lain daripada isterinya yang dia kecapi hampir satu malam, kini dia merasakan punah sama sekali. Kerana harapan dia akan dapat menumpang bas ekspres pulang ke Kuala Lumpur gagal. Dia datangi seorang drebar teksi, tetapi dapat jawapan tegas.

"Tidak akan ada kenderaan yang berani keluar dari kawasan ini sekarang."

"Kalau kabut sudah hilang, boleh bawa saya?"

"Saya dipajak orang!"

"Orang apa? Dari mana?"

"Cina, dari Singapura."

"Bila dia akan turun ke Kuala Lumpur?"

"Belum tahu!"

"Dia pajak kamu dan teksimu, dan belum tahu bila dia mahu pergi?"

Drebar itu mengangguk.

"Boleh kamu hubungi dia, katakan saya gunakan sebentar dan kau akan segera pulang ke mari?"

"Ke Kuala Lumpur?" Drebar itu sengih tawar hebeh.

"Tentulah!"

"Tidak mungkin!"

"Kenapa?"

"Pertama, saya dipajak orang. Kedua, memang sekarang tidak boleh jalan."

"Boleh bawa ke simpang saja? Di simpang highway itu, saya turun menunggu bas atau teksi yang menuju ke Kuala Lumpur."

"Kenapa Encik mahu sangat segera ke Kuala Lumpur?"

"Pagi ini urusanku sangat penting, sebelum masuk ke Sidang Dewan Rakyat!"

"Nyawa encik tidak penting?" Drebar itu mencebihkan bibir.

"Apa katamu?"

"Maksud saya Encik lebih utamakan utusan itu daripada nyawa Encik sendiri?"

"Hah?"

"Tidak baca surat khabar?" Drebar itu renung muka orang yang kelihatan pucat lesu, dan mengantuk itu.

"Tentu saya baca semua surat khabar Melayu dan Inggeris! Tapi pagi ini, surat khabar itu saya belum sempat baca."

"Ada dengar berita radio jam enam pagi ini?"

"Sudah lama tidak berminat!"

"Ada lihat berita tv jam tujuh tadi?"

"Kadang-kadang. Tapi selalu tiada masa. Padi ini saya bangun jam puluh."

"Hum! Encik hilang Subuh kalau begitu! Wah, luput sembahyang, tetapi mahu cepat pergi dalam keadaan begini!"

"Kenapa kau kata begitu?"

Drebar teksi itu tergelak. "Nyawa sangat mudah melayang di jalan raya, dalam keadaan sekarang. Terutama antara Karak-Batu Caves. Hal begitu seringkali berlaku, malah ada kalanya terjadi setiap hari."

"Bagaimana kau hidup bawa teksi jika selalu tertahan begini tak boleh jalan?"

"Disipilin dan etika jalan raya. Sebab itu saya masih hidup, kerana saya taati."

"Sayang! Kamu buang masa. Kamu tugi, kerana tak dapat sewa."

"Orang tamak juga tak akan sempat kata 'sayang' kalau sudah mati."

"Kamu orang Kuala Lumpur jati?" Dia kerling kesal tampang drebar teksi itu.

"Orang Kuala Lumpur asli, mana mahu bawa teksi, Encik! Kerja yang begini, itu salah satu dari pilihan terakhir, seperti saya ini-bekas askar yang tidak diperlukan lagi, bolehlah. Tiada peluang lain."

"Tinggal di Kuala Lumpur?"

"Memanglah! Siapa mahu berlapuk di kampung kalau tidak rela jadi juak-juak politik pilihan raya? Sudah lapan tahun."

"Di mana?"

"Jalan Ampang!"

"Hulu atau Hilir?" Dia renung dari samping pipi drebar teksi itu.

"Dekat Merlin!"

"Wah! Kamu orang kaya. Kenapa bawa teksi?"

"Kerana miskinlah-belum dapat saham hadiah, maka saya bawa teksi!"

"Kamu tinggal di Jalan Ampang, dekat Merlin. Itu kawasan orang kaya!"

"Encik yang kaya!" Drebar teksi itu tergelak dan menyucuh kretek ji-sam-su.

"Tidak juga! Tapi memadailah, Saya Yang Berhormat, ahli parlimen."

"Patutlah Encik tidak kenal dan tidak tahu tempat kami!"

"Apa katamu?" Ahli parlimen itu tersinggung, dianggap buta Kuala Lumpur.

"Orang ahli parlimen, dan orang ahli DUN, hanya datang ke kampung setinggan, apabila menghadapi pilihan raya, Encik. Tentu YB Encik ini begitu juga, sebab itulah tak ingat lagi orang setinggan. Tentu tak tahu bahawa di sebelah jalan dekat Merlin itu ada kampung setinggan bernama Kampung Cendana. Nama itu kedengaran mewah dan membawa makna wangi. Tetapi, kalau YB Encik datang ke sana, tahulah itu cuma wangi pada namanya saja. YB Encik tahu bagaimana busukunya air dan sampah lapuk di Sungai Ampang?" Drebar itu tertawa besar. "Kami pun ada jamban. Itu dibuat dari papan buruk atau zink berkarat ataupun kertas tebal bekas kotak. Tetapi najis kami tidak disalurkan bandar raya. Oleh sebab itu, kalau hujan lebat, kami bersyukur juga, sebab najis kami dihanyutkan banjir. Mala petakanya ialah, banjir itu sendiri jadi bencana pula bagi kami."

Ahli parlimen luka hati dan pergi! Drebar teksi bersiul girang, menghisap kretek import curi dan mahal harganya. Dia puas hati. Kerana berjalan, atau tidak, untuk tiga hari dan tiga malam teksinya sudah dipajak orang. Dia sudah ada wang makan-minum dan telah dibayarkan penginapannya pada suatu chalet. Kemiskinannya menyebabkan dia segera merasa bahagia apabila dapat rezeki begitu.

"Tunggu saja!" Kata orang Cina itu. "Mungkin satu hari ini! Mungkin esok, atau mungkin dua tiga hari akan datang. Dari sini nanti, bawa saya terus ke Subang!"

Dia ketawa kecil mendegar bualan orang, tentang orang kaya dari Singapura, sakit tenat di hotel. "Hingga ke hujung nyawanya pun, masih juga hendak menikmati keindahan di hotel ini."

Drebar teksi itu mengejek dalam hati.

(Arenawati ; Armageddon Mandala Jilid I)

Ahad, Mei 16, 2010

Suara Tujuh

Kata Shahnon, "Kami sama sekali tidak menafikan bahawa sajak-sajak kami ini cuma sajak-sajak personal, protes, propaganda atau drum beating.

Namun personal kami bukan ala ego menepuk dada sendiri. Tidak. Protes kami hanya jeritan untuk merombak segala isme-isme yang membelenggui bangsa kami. Dan propaganda kami bukan seperti dengan iklan Coca-Cola dalam TV"


"Sebuah perkataan yang paling ditakuti

Untuk bangsa kita yang pemalu.
Sekarang kata ini kuajarkan kepada anakku:

Kau harus jadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu"

(Kurang Ajar, Usman Awang, antologi Suara Tujuh)

Jumaat, Mei 14, 2010

Rehat dan Rawat

Cari perhentian di mana nak berhenti
Camar kesucian satu cinta abadi

Di mana dia
Sedang aku terlena

Aku yang terjatuh
tercicir entah di mana

Hilang dalam jasad sendiri

Aku yang mencuba
cari dan kutip kembali

Ku basuh dengan peganganku

Hari berganti masihkah aku di situ
memerhatikan segala dalam pandangan

Kekaburan

Melihat diri sendiri

Khamis, Mei 13, 2010

Piala Thomas 1

Hari ni gua rasa paling best. Dimulakan dengan bangun pagi sekitar 6.15 dan sesudah subuh terus kembali bersama bantal dan katil tersayang, sememangnya menyeronokkan di musim-musim cuti ini.

Kemudian, gua dengan tak mandi kena turun pergi ofis mak gua kerana gua kena ambil sarapan daripadanya. Sedap juga pekena lontong di pagi-pagi yang hening dan dingin begini. Lantas gua menyalakan nyalaan api di penghujung plug dan mencampurkan percikan-percikan itu bersama-sama angin dan sedikit minyak petrol, lalu terpacul lajulah gua dengan semangat ingin membawa pulang lontong ke dapur rumah gua.

Alang kepalang, gua sudah kembali ke dapur rumah. Berbekalkan suratkhabar Utusan yang gua beli sekali tadi sebab kat kampung gua di Johor ini sememangnya sukar untuk menemui jualan akhbar-akhbar alternatif. Bila orang melayu nak insaf, gua tak tahu pula.

Sesudah itu, perlahan-lahan gua duduk di bahagian ruang tamu sambil membaca akhbar hari ini. Tetapi, sememangnya gua tak pernah habis baca akhbar Utusan ni. Panjang sangat, gua tak larat nak terima ilmu banyak-banyak waktu-waktu cuti ni.

Dalam waktu tengahari sikit pula, gua duduk-duduk sahaja di hadapan laptop sambil menunggu waktu berlangsungnya Piala Thomas, di mana Malaysia sebagai tuan rumah untuk edisi kali ini. Sambil tunggu-tunggu tu, gua terbang.

Ya, gua terbang...

Ya, gua terbang beb...

Gua terbang beb.......................................

Lalu tiba-tiba gua sedar yang Chong Wei sudah pun mengalahkan Peter Hoeg Gade dari Denmark. Duduk sekejap, kemudian, gua rilek saja layan perut lapar depan TV.





Gua ngantuk siut....nanti gua sambung cerita ni....

Isnin, Mei 10, 2010

Buka mata Tutup mata

Sudah hampir 24 jam gua di sini. Kampung halaman mungkin semakin pudar keindahan dari ketika ke satu ketika yang lain.

Petang tadi, gua dengan mak gua pegi pasar. Gua tanya pasar apa? Dia jawap "Pasar Isnin". Gua senyum sorang-sorang sambil fikir, agaknya memang begitu orang dulu-dulu menamakan sesuatu. Cukup sekadar dikaitkan dengan kehidupan mereka sehari-hari. Kalau KFC dari Kentucky, apahal pula "Pasar Isnin" perlu nampak macam kolot pula?

Jadi, gua hanya lepak-lepak dalam kereta sambil layan CD Double Trouble yang gua rembat dari dalam kereta abang gua. Waktu tengah perit-perit tekak menarik lagu Gemuruh, ada satu awek lintas depan kereta yang gua dah parking cantik-cantik depan longgokan kayu-kayan reput yang gua syak kepunyaan kontraktor-kontraktor kaki bodek. Apa gila longgok kayu reput kat depan rumah orang merangkap pesisiran gelanggang sepak takraw?

Berbalik pada cerita yang mula-mula gua nak cerita tadi, mengenai pudarnya keindahan kampung gua pada suatu hari nanti barangkali.

Tak usahlah kamu, para kontraktor dan jurutera-jurutera ciptaan Mahathir ini semakin buas dengan makhluk-makhluk lain. Memang benar mereka itu diciptakan untuk kita manusia. Tapi bagaimana? Kamu katakan hutan ini milik kita. Sumber-sumber ini perlu untuk kita usahakan. Jangan dek terlalu Islamnya kamu, sehingga kamu tidak mahu untuk membangun setanding negara-negara lain! Itu yang kamu ajar pada aku dahulu.

Jadi air tempat curahan sisa-sisa toksik kilang kamu itu untuk siapa? Udara yang kamu tepukan dengan segala macam bahan kimia itu juga untuk siapa? Untuk kamu yang sering membuang sisa-sisa makanan yang tidak habis dimakan atau untuk orang-orang miskin yang perlukan udara segar untuk memberi kamu makan?

Orang lain pun cari makan juga brader.

Apabila muncul banyak permasalahan, penyelesaian semakin banyak. Maka, ilmu juga turut melahirkan pelapis-pelapis dalam bidang pekerjaan yang juga semakin bertambah. Kemudian muncul pula kelas itu dan kelas ini. Ada pakai BMW, ada pakai BMX.

Tambah uniknya di Malaysia ini, undang-undang juga begitu.

Manusia semakin berpisah antara mereka. Terus-terusan masih memikirkan perut sendiri dari perut orang lain. Bertambah sedihnya, bukan perut sahaja, bahkan segala macam aksesori perlu ada di atas tubuh masing-masing. Kalau aksesori tidak ada, sekurang-kurangnya tali pinggang mesti daripada kulit buaya.

Ya! Buaya yang kamu ancam dalam sesi pembunuhan karakter kamu bersenjatakan Toksid dan juga Asid. Apabila sang bedal yang kamu inginkan kulitnya itu menghidu haruman beracun dihadiahi kamu, lalu dia rebah dan kamu ratah kulit mereka bersama-sama.

Mungkin ini hanya suatu bentuk ekologi. Meminjam kata sahabat saya En. Lumut, dia menyatakan bahawa ketidaksempurnaan itu adalah kesempurnaan. Rasanya, kurang wajar untuk saya menolak usul dia dalam keadaan saya beranggapan bahawa segala-galanya berlaku atas keupayaan teknologi tanpa batasan.

Adakah ini semua berkaitan antara satu dengan yang lain? Antara entri yang ini dan yang sebelum-sebelum ini?

Persoalan ini masih berlegar-legar mencari jalan Lurus untuk menikmati keindahan yang dijanjikanNya.