Sabtu, Disember 26, 2009

Perihal Maksum dan Situasi Menang-Menang

Gua terfikir sesuatu. Ramai individu sering bermuhasabah diri. Ini suatu perkara yang amat digalakkan. Mereka juga sering mengatakan jika kita ingin menegur seseorang itu, jenguk-jenguklah diri terlebih dahulu di depan cermin. Hukum politik juga meletakkan definisi politik itu sebagai persepsi.

Gua pernah juga buat perkara bodoh ni. Dan ternyata, memang bodoh.

Bodohnya kerana apa? Kerana ia hanya akan membantutkan proses untuk gua bertindak dan perkara yang sama juga dihadapi oleh ahli-ahli politik.

Gua rasa macam ni. Adalah wajar bagi kita, manusia, mempunyai fitrah melakukan kesilapan dalam mencari kebenaran. Tidak sesekali merasakan diri kita adalah sempurna semasa menegur kesilapan orang lain adalah muhasabah diri yang terbaik. Bersedia ditegur untuk mempertingkatkan keindahan peribadi juga termasuk dalam proses muhasabah diri.

Untuk membetulkan situasi masyarakat yang semakin mengharukan, terutamanya di kalangan mereka yang sebaya dengan gua, berfikirlah setiap detik. Positif lah setiap detik. Jangan sesekali melihat sesuatu teguran itu sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kita Anggaplah kefahaman kita tentang sesuatu perkara terlalu sedikit berbanding teguran yang diterima dari seluruh alam semesta ini.

Gua faham nilai ini amat subjektif. Berbeza bagi setiap individu itu untuk mentakrifkan kesopanan dan kesusilaan individu lain dalam melaksanakan teguran. Ketepikan dahulu cara teguran mereka. Tokoh Islam itu sendiri melahirkan pelbagai individu. Dari sekeras-keras Umar al-Khattab, hingga sesopan-sopan Rasulullah S.A.W.

Ada segelintir mereka, mengambil masa terlalu lama untuk bermuhasabah. Sekaligus melahirkan perasaan takut, atau kebiasaan membiarkan sesuatu yang silap itu, terus silap. Mereka fikir, mereka akan sempurna suatu hari nanti. Mereka tidak pernah terfikir bahawa sehingga ke liang lahad mereka wajib menuntut ilmu. Mereka gagal melihat teguran itu sebagai satu proses mencari ilmu.

Situasi yang boleh menerangkan apa yang gua katakan ini, boleh dilihat pada dialog dibawah:

Gua : Awak, pakailah tudung. Kan aurat tu.

Bakal Awek Gua : Awak nak tegur saya? Awak keluar sampai pukul 3 pagi? Baik sangat ke?

Nilai teguran untuk sesuatu perkara itu boleh diperdebatkan. Ini namanya proses meningkatkan kefahaman. Dalam dialog diatas, bakal awek gua tak boleh terima teguran gua tentang tudung. Sebaliknya, membuat counter-attack dengan memainkan isu balik lewat di malam hari.

Wajib,Sunat,Harus,Makruh,Haram.

Letakkan lah sesuatu pada tempatnya. Jika isu itu berada pada laras yang sama, berhujahlah dengan bijaksana. Bergurulah pada yang lebih berilmu.

Gua mesti betulkan kesilapan gua. Dan bakal awek gua pun kena lakukan perkara yang sama.

Bezanya disini, TAK PERLULAH MENUNGGU KESEMPURNAAN ITU HADIR. Jika kita ada ilmu dan tidak melakukan kesilapan yang sama dengan orang yang ditegur, bertindaklah. Jika kita melakukan kesilapan dan daif tentang sesuatu perkara, bersedialah untuk menerima teguran.

Dan proses itu berterusan sampai kita mati.

Senyum sahajalah bila orang menegur peribadi kita yang sememangya tidak akan sempurna sampai bila-bila. Berusahalah untuk memperbaiki diri dengan menerima teguran orang lain. Jika mereka masih berdegil, fotostatkan entri ini untuk mereka. Ha Ha Ha.

Dan jangan dilupa. Doa itu adalah senjata utama bagi setiap Mukmin.

Hakikatnya, gua belum terfikir untuk ada awek.

Jumaat, Disember 25, 2009

Anak Keturah

Woi!

Melayu!

Bangun melayu!

Jangan jadi bodoh!

Seperti mereka di atas sana!

Sudah dibodohkan lagi mahu membodohkan!

Dulu haprak?

Dulu dipijak?

Sekarang lagi haprak!

Sekarang lagi dipijak!

Cuma engkau tak nampak!

Iqra'

Iqra'

Iqra'

Keluar!

Keluar!

Keselesaan merosakkanmu!

Gali Susur Keturunanmu!

Kau akan menyesal kerana meninggalkan Agamamu!

Sabtu, Disember 19, 2009

Pesona Panca Indera

Hari ini dalam sejarah
ku ditimpa bencana
yang tak akan mungkin ku lupakan

Dalam sekelip mata
ku kembali menyelamatkan dunia

Dipanah petir buatan sendiri
Sakit jiwa pancasona

Hari ini dalam sejarah
ku ditimpa bencana
yang tak dapat nak digambarkan dihuraikan

Dalam sekelip mata
ku kembali menyelamatkan dunia

Dipanah petir buatan sendiri
sakit jiwa pancasona

Jangan sesekali bertanyakan teka-teki
yang tak mungkin selama ada jawapannya


Khamis, Disember 17, 2009

Mengenal Sejarah

Sejarah itu apa? Ada pelbagai tafsiran untuk mendefinisikan sejarah.

Gua mulakan dengan apa yang dikatakan oleh Fostal Decoland sekitar satu setengah abad yang lalu.

"Sejarah ialah suatu ilmu yang tidak berkhayal tetapi melihat, setara dengan setiap ilmu, memerhati peristiwa-peristiwa, menganalisa, membanding dan mentahkik hubungan antara satu sama lain. Ahli sejarah menyelidiki sesuatu peristiwa dan menanggapinya melalui kajian teks-teks secara halus dan teliti sama seperti cara yang diikuti di dalam setiap ilmu yang berasas kepada pengamatan yang halus"

Pendapat ini kemudiannya dikritik dengan menyatakan "tiada ilmu kritik dan tahkik dalam sejarah." Hearnshaw berpendapat sebegini kerana merasakan wujudnya nilai dan kepentingan dari setiap peristiwa-peristiwa besar dunia. Hearnshaw, seorang ahli astronomi pada abad yang sama, seakan-akan mengkritik nilai-nilai dan kepentingan yang ada dalam sejarah. Apa yang dikatakan Decoland itu, tidak dihayati sepenuhnya sebelum dia mengkritik. "Sejarah itu melihat, bukan berkhayal." Apa yang dikritik dan ditahkik itu adalah kebenaran sesuatu peristiwa. Bukan nilai atau kepentingannya.

Pada gua, jika pendapat Hearnshaw ini dijadikan sandaran, maka kebenaran itu diletakkan secara relatif bagi setiap pengkaji sejarah. Sedangkan hanya satu peristiwa sahaja yang boleh mewakili setiap nanoruang dan nanomasa.

Ada beberapa elemen yang menggerakkan sesuatu peristiwa. Ini adalah sebahagian dari persepsi-persepsi manusia.

Bagi golongan materialis, fahaman Marxis yang hidup dalam kemisikinan itu memandang faktor ekonomi sebagai penggerak utama dalam sejarah. Contoh yang dikemukakan termasuklah Peperangan Troy antara Parsi dan Greek, juga peperangan antara Parsi dengan Rom, Perang Dunia Pertama, dan Perang Dunia Kedua adalah bermotifkan ekonomi dan survival penduduk dunia.

Sesetengah golongan pula mentafsirkan kelahiran sejarah adalah daripada pergolakan jiwa. Setelah mendapat kesenangan berbentuk material atau maknawi, seseorang itu cenderung mencetuskan penindasan, pertarungan dalam masyarakat dan berpuashati dengan penyelewengan yang dilakukan mereka. Dalam sejarah Islam, ar-Rabi bin Yunus dan anaknya al-Fadhl mengapi-apikan persengketaan dengan mewujudkan pakatan-pakatan jahat dan peperangan yang kejam.

Ada antara mereka melihat sejarah sebagai satu tuntutan kerohanian dan fikiran. Pemberontakan Khawarij dalam sejarah Islam, pertarungan Ortodoks dengan Protestan, dan Perang Salib yang berakhir dengan "Muhammadism" adalah tuntutan keagamaan. Kesabaran Muslimin untuk menuju syahid adalah tuntutan kehidupan mereka. Uniknya, para Materialis bersetuju dengan tafsiran ini. Cuma pada mereka, ia tidak berfungsi apabila agama itu tidak dianut kemudiannya.

Hakikatnya, golongan-golongan ini ada yang bekerjasama dalam beberapa peristiwa besar dunia.

Jadi sejarah itu apa?

Proses menanggapi sejarah ini boleh dikaitrapatkan dengan proses pencatitan. Sejarah itu berlaku sebelum proses penulisan sejarah dilakukan dan jika diteliti secara halus, ianya merupakan satu gubahan sastera dari para pencatit setiap zaman. Menurut Prof. Dr Ahmad Shalaby, proses ini dinamakan pensejarahan.

Apa yang diperkatakan oleh Alex Haley (1921-1992) agak menarik. Sesiapa yang berjaya memenangi sesuatu wacana penulisan, adalah pencipta sejarah. "History is written by the winner".

Dalam proses penulisan sejarah barat, ianya harus ditulis dengan penuh meyakinkan dan menyebabkan data-data mereka dipilih secara selektif. Fakta atau keterangan yang tidak sesuai akan ditolak. Ini angkara meletakkan kebenaran itu adalah relatif ciptaan Plato serta keangkuhan Cogito Ergo Sum jajaan Rene Descartes. Mereka enggan melihat sejarah itu sebagai suatu proses mencari kebenaran.

Dalam Islam, sejarah itu bergerak seiring dengan realiti. Terdapat Allah S.W.T yang menciptakan dunia ini, dan adanya manusia dalam mentadbir dan menguruskannya. Kewujudan Tuhan yang transendence itu mengatur dunia ini tanpa menjadi sebahagian daripadanya kerana manusia itu dibekalkan akal fikiran, dan juga petunjuk dalam mencipta sejarah dunia. Sewajarnya, sejarah Islam itu haruslah ditulis dengan menekankan aspek kemanusiaan dan juga nilai-nilai di sebalik setiap peristiwa itu tanpa ada dualisme antara makhluk dan penciptanya.

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (Ibrahim : 24-25).

Wallahualam.

Sabtu, Disember 12, 2009

Kamar Dibuka

Terkejut dengan dakwaan seorang teman. Mengatakan kapitalis itu tidak bersalah. Katanya sudah siap dengan hujah-hujah.

Kita tunggu dan lihat.

Mudah-mudahan ada manfaatnya nanti.

Kebencian gua kepada kapitalis? Akan dipersembahkan nanti.

Jumaat, Disember 11, 2009

Nahum

Pasukan-pasukan istimewa dikerahkan, mereka tersandung jatuh pada waktu berjalan maju. Mereka lari terburu-buru ke arah tembok kota, sedang alat pemukul sudah ditegakkan.

Pintu-pintu di sungai-sungai dibuka dan istana menjadi gempar. Permaisuri dibawa keluar dan ditelanjang dan dayang-dayangnya mengerang, mengaduh seperti suara merpati sambil memukul-mukul dada. Niveneh (baca : Putrajaya) sendiri seperti kolam air yang airnya mengalir keluar.

"Berhenti! Berhenti!," teriak orang, tetapi tidak ada yang berpaling.

Jajahlah perak, jajahlah emas! Sebab tidak berkesudahan persediaan harta benda, kelimpahan segala barang yang indah-indah!

Ketandusan, penandusan dan penindasan! Hati menjadi tawar dan lutut goyah! Segenap pinggang gementar, dan muka sekalian orang menjadi pucat pasi.

Khamis, Disember 10, 2009

Ajal

Mohd Tahir tu pakngah gua.

Malam tadi. Gua kehilangan seorang sepupu. Si mati bernama Halim B. Mohd Tahir. Asal usulnya seorang graduan Politeknik dan pernah berkhidmat sebagai jurutera PLUS. Sejak peristiwa menyayat hati 2003 yang lalu, dia kurang bercakap.

Gua mulakan dengan peristiwa 6 tahun yang lampau. Waktu gua hanyut dengan cinta monyet sesudah gua tamat SPM dahulu. Duduk-duduk di Kampung Jorak, Muar, semata-mata kerana dekat dengan bekas kekasih yang bersempadan dengan Sungai Mati. Tak pasal-pasal makcik gua kena bayar bil telefon lebih. Dangkal betul pemikiran gua ketika itu. Maklumlah, kelas Sejarah gua ponteng. Kelas Matematik pun gua ponteng. Kelas Bahasa Malaysia gua tidur. Kelas Fizik gua berangan. Kelas Kimia gua suka. Itu pun pasal cikgu Kimia kenal bapak gua.

Ringkasannya, gua hanya mampu masuk ke UiTM.

Sedang gua enak-enak baring atas toto rumah makcik gua, satu panggilan diterima dari arah kampung halaman atau lebih dikenali sebagai rumah gua. Sepupu gua meninggal dunia. Ikram namanya. Bekerja sebagai pemotong bunga-bungaan di pinggir Lebuhraya PLUS cawangan Selatan. Berderai air mata makcik gua.

Ikram meninggalkan kami sekeluarga dalam satu kemalangan yang benar-benar mengsahihkan ajaran Kitab Suci bahawasanya ajal maut itu di tangan Tuhan. Subuh yang hening itu, diceritakan oleh Makngah gua, ibu si mati, arwah Ikram mengambil masa cukup lama untuk sembahyang Subuh. Lebih lama dari kebiasaan arwah. Sedangkan tim pekerja arwah sudah lama menanti di luar rumah.

Sekitar 1 jam berlegar-legar antara Plaza Tol Simpang Renggam hingga Sedenak, jentera yang membawa tim pekerja termasuk arwah Ikram itu berhenti di pinggir lebuh raya di belakang sebuah lori paip yang besar sekaligus mereka mahu mula melaksanakan tugas. Dalam beberapa detik, sebuah lori kosong yang gua tak tau berapa muatannya merempuh jentera mereka itu dan menyebabkan ia terhimpit diantaranya dengan lori paip. Minta maaf para pembaca. Gua tak kenal saiz lori.

Bergegas seorang jurutera PLUS di panggil.

Seperti kebiasaannya, sang jurutera ini bergegas ke tempat kejadian.

Dan Ikram menemui alam barunya di pangkuan abang tersayang.

Arwah Ikram sangat ramah. Bijak bergurau, dan mampu membuatkan sesiapa sahaja tersenyum dengan perbualannya. Sungguh gua rindukan dia walaupun gua tidak banyak bercakap bila bersembang dengan dia.

Malam kejadian itu, gua masih ingat lagi. Selesai sahaja tahlil dilaksanakan, gua tolong-tolong la kemas pinggan makan tetamu. Makngah turut serta. Dan kemudiannya menjerit memanggil nama arwah supaya dapat tolong sama-sama kemas pinggan. Gua tepuk peha Makngah, lalu dia terduduk. Lepas tu, gua kasi selesai angkat pinggan semua.

Sayu.

Itu enam tahun lepas. Tarikh pemergian 8 Disember 2003.

Semalam, 8 Disember 2009. Entri ini ditulis pada larut malam.

* * *

Jenazah arwah Halim, selamat sampai ke kampung gua sekitar 1.00 tengahari tadi. Selesai urusan post mortem oleh Hospital Jasin, jenazah selamat dikebumikan selepas waktu Zuhur.

Kemalangan pada malamnya dikatakan membabitkan 3 buah kereta. Kereta panduan arwah remuk dihentam dan menghentam. Berlaku di Jasin, Melaka. Alhamdulillah, isteri dan anaknya selamat.

Pakngah duduk membisu. Makngah tunduk lesu. Allahuakbar.

Genap 6 tahun jarak masa, dengan kisah kemalangan yang sama. Ajal menjemput mereka.

* * *

Akan datang hari
Mulut dikunci
Kata tak ada lzgi

Akan tiba masa
Tak ada suara
Dari mulut kita

Berkata tangan kita
Tentang apa yang dilakukannya
Berkata kaki kita
Kemana saja dia melangkahnya
Tidak tahu kita
Bila harinya
Tanggung jawab, tiba...

Rabbana
Tangan kami
Kaki kami
Mulut kami
Mata hati kami
Luruskanlah
Kukuhkanlah
Di jalan cahaya
Sempurna

Mohon karunia
Kepada kami
HambaMu
Yang hina

* * *

Innalillaahiwainnailaihirojiun.

Selasa, Disember 08, 2009

Pencuri Menuduh Pencuri?

Antara doktrin kejam orientalis dan evangelis dalam mempromosikan sejarah palsu mereka adalah dengan menuduh bahawasanya Al-Quran itu mempunyai unsur-unsur plagiat daripada kitab-kitab suci mereka seperti Talmud, dan sumber sejarah terkenal mereka karya Flavius Josephus.

Kisah yang mencuri perhatian sekaligus mencuri kesesatan dalam kelalaian umat islam termasuklah kisah pengembaraan Zulqarnain atau Alexander The Great. Gua di sini tidak ingin membuang masa untuk memperdebatkan isu itu melainkan terus sahaja ingin menegakkan kebenaran dari Al-Furqan.

Surah Al-Kahfi (83-99)

83. Zulqarnain. Katakanlah "Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya"

84. Sesungguhnya Kami berikan kepadanya kuasa di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi mencapai tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

85. Lalu ia menurut jalan yang menyampaikan maksudnya.

86. Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahati terbenam di sebuah mata air hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum. Kami berkata, "Wahai Zulqarnain! Kamu boleh menyeksa mereka atau kamu bertindak secara baik terhadap mereka."

87. Ia berkata, "Adapun orang yang melakukan kezaliman, kami akan menyeksanya, kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu di azabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya."

88. Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya alasan baik, dan kami akan perintahkan kepadanya perintah kami yang mudah.

89. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

90. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang Kami tidak menjadikan bagi mereka perlindungan darinya.

91. Demikianlah halnya. Dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi segala yang ada padanya.

92. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

93. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

94. Mereka berkata, "Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Maka setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

95. Ia menjawab, "Kekuasaan yang Tuhanku jadikan daku menguasainya lebih baik. Oleh itu bantulah daku dengan tenaga kamu beramai-ramai, aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh"

96. "Bawalah kepadaku ketul-ketul besi." Sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ia berkata "tiuplah dengan alat-alatmu." Sehingga apabila ia menjadi api berkatalah ia, "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya."

97. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

98. Berkatalah ia, "Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku." Maka apabila datang janji Tuhanku, Ia akan menjadikannya hancur, dan janji Tuhanku itu benar."

99. Kami biarkan mereka pada hari itu bercampur akuk antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka itu semuanya.

Terdapat beberapa kunci yang ingin gua tekankan disini. Yakjuj Makjuj, Zulqarnain, dan Dinding Besi antara gunung.

Berdasarkan hasil-hasil penulisan sejarawan terkenal Yahudi, Flavius Josephus iaitu Jews Wars, dan Against Apion, tidak diistilahkankan sama sekali tentang Yakjuj dan Makjuj dan juga Zulqarnain. Istilah Dinding Besi atau Iron Gates hanya terdapat dalam buku Jews Wars. Hanya Al-Quran sahaja yang menggabungkan kisah Zulqarnain dengan Yakjuj Makjuj.

Mengenai dinding besi pula, Josephus menceritakan tentang bangsa Scythia yang keluar mengganas melalui celah sebelah timur Pergunungan Kaukasus dan juga Laut Kaspian dalam karyanya "Antiquities of the Jews". Sementelah, Al-Quranul Karim menyatakan dinding besi itu dibina antara dua buah gunung.

Al-Quran diturunkan selengkapnya pada abad ke 6 Masehi di mana pada ketika itu kaum Yahudi Arab mengalami suatu proses yang dinamakan helenisasi. Helenisasi bermaksud kemasukan budaya dan cara hidup Yunani untuk tujuan ekonomi. Walaupun begitu, keadaan orang arab yang ketika itu jahil dan buta huruf tidak memungkinkan Nabi Muhammad S.A.W yang juga Ummi dapat membaca karya-karya Josephus yang ditulis dalam bahasa Yunani.

Tambahan, buku-buku atau inskripsi Josephus ini hanya boleh diakses pada sekitar abad ke 9 Masehi, dimana Islam berjaya menyebarkan agama Allah ke seluruh Timur Tengah dan sistem penulisan bertitik dalam Bahasa Arab membolehkan orang Yahudi Helenis kembali mengakses karya-karya Bahasa Yunani.

Dan terjemahan karya-karya Josephus itu kedalam bahasa Inggeris dan Germany dikatakan bermula pada abad ke 17 atau 18 dimana pada ketika itu munculnya gerakan membenci "Mohammedism" akibat dendam kekalahan Perang Salib yang masih bergelora. Istilah Iron Gates mendapat tempat dalam hati busuk sarjana barat dimana mereka terus-menerus ingin mendakwa Muhammad S.A.W mencuri demi menutup kebenaran.

Merekalah yang mencuri.

Wallahualam.

p/s : Jujurlah menghayati sejarah. Kedengaran seperti membuak-buak emosi gua di akhir artikel di atas.

"Aku tidak ingin kalian mengikuti hawa nafsuku, pada kalian terdapat Kitab Allah yang berbicara dengan kebenaran. Demi Allah, andainya aku inginkan sesuatu maka ia adalah hanya kerana aku menginginkan kebenaran" -Saidina 'Umar al-Khattab r.a-

Ahad, Disember 06, 2009

Gagasan Agung

Prof Wan Mohd Nor Wan Daud (ISTAC)

Setiap bangsa yang merangka gagasan agung
Berazam memahat nama dalam sejarah tamadun terulung
Akan membina universiti dan pusat pengajian tinggi
Dan menyebarkan fahamnya tentang kewujudan ini
Tentang makna kemanusiaan dan kebahagiaannya.
Tentang maksud kemajuan dan nilai-ukurnya:
Dengan segala hujjah yang tidak tersangkal
Oleh mereka yang berakal;
Dengan segala bukti
yang tidak tertolak para pengkaji;
Dengan segala berita
yang tidak terdusta.

Bangsa yang tidak bermimpi menjadi maju
Tapi sedar insaf matlamat kudus yang dituju
Akan melahir lapisan demi lapisan pemimpin
Dalam pelbagai bidang, sebanyak mungkin.

Gagasan tinggi dipacak kukuh di universiti
Dan institusi lain dalam negeri secara serasi, bertali
Agar matlamat suci menotai Perjanjian Azali
Tidak tinggal sebagai mimpi.

Mimpi menjadi maju sifat bangsa yang tidur lena
Enggan bangun dan menjulang martabatnya.

II
Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:-
Panda bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung

Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.
Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadab pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan
Yang paling cekap dan berkesan
Dalam sejarah makhluk Tuhan:-
Yang terbang lebih tinggi dari helang dan garuda
Menyelam lebih pantas dan dalam dari paus dan barakuda
Meracun lebih bisa dari kala jengking dan ular
Insan-haiwani latihan IPT mengatasi segala yang liar.


III
Di negara-negara mencengkam dunia berabad lama
Universiti puncak pemikiran tamadun mereka
Yang menyuluh pelbagai kefahaman zaman lalu
Yang membenihkan pelbagai pengetahuan zaman baru.

Pemimpin besar bangsa perkasa melihat jauh di ufuk sejarah
Mengukuhkan universiti tinggi, melahir pemikir penentu arah
Yang bebas menyampai kata, diiktiraf pelbagai anugerah
Lalu dunia memeluk mereka, jadi ukuran meningkat maruah.

Naib canselor dan dekan dipilih dari bangsa helang ilmi
Bukan dari bangsa pengurus, mulut terkunci depan menteri
Oxford, Leiden, Tokyo, Harvard, Sorbonne menjadi taman adabi
Walau mengkaji angkasa raya, sejarah sendiri diteliti ke akar umbi.

Walau kita berabad merdeka
Kepakaran agama dan sejarah kita digenggami mereka
Lampu dari Kaherah dan Madinah telah kehabisan zaitunnya
Pelita di Kuala Lumpur, menangin aku mengenang nasibnya.
Universiti umat di mana saja, kini dipenuhi semut mencari gula
Gedung ilmu menjadi tebu; gula, manisan merata.


IV
Gong dan gendang dipalu rentak ”ilmu harus diislamkan”
Bolehkan si buta mengajar melihat, si tempang lurus berjalan?
Mereka anggap ilmu seperti gula: menarik semut dan kerengga
Dan berfikir Islam seperti siyasah dan kegiatan iktisad
Lalu isi dan amal agama menjejaki dunia korporat.

Ilmu sebenar anugerah Tuhan pada diri ikhlas-berani
Ikhlas mengakui kejahilan diri, berani berguru kepada ahli
Ahli bukan yang mudah menuruti kehendak muridnya
Atau yang tunduk pada juhala memanas kerusi penguasa.

Sepanjang sejarah anbiya dan hukama semua bangsa
Guru murshid tegap berdiri, berani berkata, sederhana.

Murshid memimpin murid dan institusinya, seperti helang
Bukan memaksa terbang di paras rendah seperti puyuh, belalang.

Seorang Ibrahim disebut Allah sebagai Umat
Murshid pewaris Nabi memang wajar jadi penyelamat.

Pemalu rentak Islamisasi ilmu seperti penjual jamu
Yang tidak tahu bahan-bahan dan asal usul yang diramu
Yang tidak mencuba dengan sempurna jamu jajaan
Minatnya memalu gong dan menjaja jamu di pasaran
Di rumah, jamu diatur merata sebagai perhiasan
Anak-isteri terkeliru antara jamu dan jamu-jamuan!

Seorang pentadbir, salah seorang penjual jamu
Menganggap dir begitu pandai dan berilmu
Mengarahkan semua pensyarah membatal kuliah
Demi mera’i sang menteri yang memberinya anugerah
Mengarah menebang meranti berpuluh tahun umur
Konon cintakan kebersihan, tidak suka daunnya gugur!
Membelanjakan jutaan ringgit membeli bunga-bunga palsu
Yang mudah dipindahkan ke sana ke mari bersama pasu.
Bangga mananam pokok-pokok besi harga berjuta
Agar tidak dihinggapi burung, tupai dan serangga.

Sayang, jamu ramuan Alim Mukhlis dicuri ilmuwan tiruan
Diingat gula, bangsa semut datang berjuta mencari habuan
Pengislaman ilmu bertunjang pada mengenali sifat Tuhan
Berakar pada peningkatan akali-roh-akhlak bertiga segi
Kerana manisnya bukan seperti gula
Untungnya bukan pada peningkatan harta
Mulianya bukan pada pengiktirafan penguasa,
dan puji-pujian golongan massa.

Justeru itu jamu asli pengislaman ilmu, alam dan insan
Kini dianggap racun yang bakal memundurkan
Lalu dijauhkan mereka yang bergelar cendekiawan
Dan yang mengaku beriman
Disokong boneka di puncak kekuasaaan.

V
Universiti menyebar ilmu pancaran agama dan tamadun
Mengukuh hikmat leluhur agung turun temurun
Bukan menginsankan insan tujuan sebenarnya
Itu sekadar pencapaian sekelumit paling sederhana
Tapi mengakhlakkan insan dengan akhlak Tuhannya
Itulah matlamat tertinggi, makam terpuji bagi manusia.

Wahai ketua universiti dan semua warga di dalamnya:
Bangun dan hilangkanlah arang di wajah bangsa.
Semua anak helang di sangkarmu, lepaslah terbang
Yang cerah mata dan terang hatinya, pasti pulang
Bersenjatakan hikmah pemikir terbilang
Dan keberanian dan kepintaran para hulubalang

Sabtu, Disember 05, 2009

Ini Memang Blog Meluahkan Perasaan Agaknya

Gua terkenangkan sesuatu. Sejak dari kecil, sampai gua sebesar ini, gua belajar pelbagai perkara. Tetapi ada sesuatu yang tak kena. Bagaimana hendak diceritakan, gua cuba huraikan satu persatu dalam entri yang ini.

Pada suatu ketika, ada seorang perempuan melahirkan cinta dan sayangnya yang tak terhingga pada gua. Harapannya yang gua pasti ketika itu, hanyalah mahukan gua cemerlang dalam peperiksaan dan mendapat pengiktirafan pihak-pihak tertentu. Jauh dari dalam daerah dirinya, gua tak dapat nak ciptakan sesuatu disebabkan umur gua yang terlalu muda.

Beberapa tahun kemudian, gua terumbang-ambing dalam rencah kehidupan. Bukan kecewa, cuma permasalahan yang sama masih lagi menghinggapi pemikiran gua. Maklumlah, baru nak kenal dunia. Tidak pernah kenal apa itu perjuangan, apa itu tujuan hidup. Begitulah gua dididik. Maka, ianya menjadi tak tentu hala. Menuntut ilmu atas dasar apa, gua tergaru-garu kepala. Khatam Quran atas sebab apa, gua masih tak dapat nak menangkapnya. Gua gila barangkali.

Ada satu petang Khamis, ketika gua baring-baring tak pakai baju. Ada satu suara menyeru. Suara dari tangan, suara dari kaki, suara dari kepala, suara dari pinggang, suara dari bahu, suara dari peha, suara dari segala-segala. Dia mengajar sesuatu dalam hidup gua. Belajar mengenal takdir, belajar mengenal cinta. Belajar mengenal kasih, belajar mengenal dunia. Kemudian, arah tujuan itu menjadi semakin sempit dan kecil. Semakin tertumpu pada sesuatu.

Dan hari ini, ketika entri ini ditulis, lembaran pelajaran seakan luas kembali. Dugaannya semakin hebat dari hari ke hari. Impuls yang mengalir dari setiap deria perlu dikawal sepenuhnya. Andai tersilap langkah, macam ni lah jadinya. Bermuram durja, dan mengambil masa untuk kembali seperti sediakala.

Dan gua harap, suara-suara itu terus kekal tanpa meninggalkan gua terumbang-ambing sekali lagi.

Terima kasih dunia.

Khamis, Disember 03, 2009

Khabar-Khabar Gembira

Betapa disenangi tempat kediamanMu wahai Tuhan semesta alam!

Jiwaku hancur kerana merindukan pelantar-pelantar Tuhan.

Hatiku dan dagingku bersorak-sorai kepada Allah yang hidup.

Bahkan burung pipit mendapat sebuah rumah,
dan burung layang-layang sebuah sarang tempat menaruh anak-anaknya,
pada mazbah-mazbahMu,
ya Tuhan semesta alam
ya Rajaku dan Allahku.

Berbahagialah orang yang mendiami di rumahMu,
yang terus-menerus memuji-mujiMu.

Berbahagialah manusia yang kekuatannya di dalam Engkau yang berhasrat mengadakan ziarah!

Apabila melintasi lembah Makkah,
mereka membuatnya menjadi tempat yang bermata air,
bahkan hujan pada awal musim
menyelubunginya dengan berkat.

Mereka berjalan makin lama makin kuat,
hendak menghadap Allah di Zion.

Ya Tuhan Allah semesta alam,
dengarkanlah doaku,
pasanglah telinga, wahai Nabi Allah Yaakub.

Lihatlah perisai kami ya Allah,
pandanglah wajah orang yang Kau urapi!
Sebab lebih baik satu hari di pelataranMu dari seribu hari di tempat lain.
Lebih baik berdiri di ambang pintu rumah Allahku dari diam di khemah-khemah orang fasik.

Sebab Tuhan Allah adalah matahari dan perisai
kasih dan kemuliaan Ia berikan.

Ia tidak menahan kebaikan dari orang yang hidup tidak bercela.
Ya Tuhan semesta alam,
Berbahagialah manusia yang percaya kepadaMu.

(Mazmur 84 : 1-12)

Tetapi mereka masih enggan menerimamu wahai Kekasih Allah junjungan kami.
Aku menyaksikan kekerasan hati mereka hingga kini
Dan benarlah janji Tuhanku.

Subhanallah

1+1 = 1

Gua ingin membicarakan tentang epistemologi. Canggih sangat pula rasanya diri ni. Untuk pemahaman yang lebih mudah, gua tajukkan dia sebagai "ilmu". Sudah lama juga perbahasan ini diwar-warkan, gua saja yang hanyut dengan samsara yang entah kemana-mana suatu ketika dahulu. Cukup-cukup la. Ye dak?

Kenapa gua suka meluahkan perasaan? Masalah.

Al-Ghazali mendefinisikan ilmu itu kepada dua bahagian. Al-Hushuli dan Al-Hudhuri. Dalam bahasa kita, gua ertikan sebagai Pengalaman Fizikal dan Pengalaman Kerohanian.

Pancaindera dan penilaian akal adalah sumber bagi Al-Hushuli. Manakala yang keduanya disertai dengan kehadiran Allah S.W.T untuk individu yang dipilihNya. Agak sukar untuk menerangkan kepada mereka yang secara langsung atau secara tak langsung menganut ajaran Darwinisme itu. Tanpa mengambil kira keabadian itu bermula setiap detik, mereka merancang masa depan bagai nak gila. Tak salah merancang orang kata, tapi tiada kesedaran jika yang dirancang itu tidak menjadi, tak berguna juga.

Untuk Al-Hushuli, sains semakin lama semakin berjaya membuktikan secara empirik. Empirik le bagaimana sekalipun, tiada yang mampu menjejaki rasa panas dari dalam otak kita. Juga tiada yang mampu menunjukkan deria yang merasai segala-galanya dari akal fikiran kita. Belahlah dada, operatelah hati kata Aziz Sattar.

Al-Hudhuri. Ilham itu boleh disuburkan dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Dan bertambah subur dengan cara hidup Islam secara total itu diamalkan. Lahirnya peneroka segala ilmu yang dicuri semasa Renaissance itu gua yakin disebabkan faktor ini. Ketajaman akal, gua belum kaji pula. Semua manusia ada peluang yang sama. Mereka baik dan akrab dengan Sumber, sebab itu ilham terdetik dalam penulisan dan kira-kira mereka. Agung bukan? Bahasa susah nak menceritakan ini semua.

Subhanallah.

Bukan masalah untuk para nabi sahaja ilmu itu diturunkan, kita sahaja yang tidak mahu menelaah hingga ke dasarnya. Tambah pula dengan KBSR, KBSM dan KBKK yang menggila. Bila masa nak mengaji lebih-lebih? Gua pun terjebak sama. Kerajaan buat gua lupa Sumber Utama. Tapi mereka beri gua banyak kemudahan untuk menggali semula. Resam dunia, setiap keburukan itu pasti ada hikmahnya.

Dan selepas mengetahui epistemologi Al-Ghazali ini, gua rasa Abraham Maslow tersilap dalam piramid ciptaannya. Ah. Piramid. Terlintas pula kisah kejuruteraan tenaga bangunan. Segala bidang ilmu perlu berdasarkan kecerdasan spiritual terlebih dahulu. Atau dipendekkan cerita, ubat hati itu zikir, dan ubat nafsu itu puasa. Tapi, jangan sampai menjadi Siddharta pula. Kita perlu belajar Fekah sama-sama.

Sungguh. Gua tak mampu menceritakan keindahan yang sekelumit ada, dan kadang-kadang terbang hilang dibawa bisikan Toghut. Astagfirullah.

Rabu, Disember 02, 2009

Kabus Ribut

Begini pula jadinya. Gua kurang pasti apa sebenarnya yang melanda diri yang tak seberapa ini. Semakin dekat, semakin jauh secara tiba-tiba. Gua masih lagi dalam proses penyiasatan untuk memadamkan kabus yang mengaburi sinar itu.

Argh...Benarlah kata sang pendita itu. Menulis adalah baik. Berfikir adalah lebih baik. Kesabaran adalah yang terbaik.

Ambil masa untuk diam seketika. Ada yang kata itu peluang untuk merasai kehadiranNya. Subhanallah

Selasa, Disember 01, 2009

Kebijaksituan

Gua begitu banyak terpesona. Memanjakan perut, memanjakan deria, seharusnya tidak berlebihan. Ia mesti seiring tanpa tidak melupakan sumber segala ilham itu disalurkan. Allah S.W.T. Ada segelintir mereka tidak faham apa itu kebijaksanaan.

Tak usah mereka ajar gua apa itu kebijaksanaan. Ianya berlaku setiap detik. Itupun sekadar kebijaksanaan untuk mengingati, dan menepis bisikian-bisikan jahat. Tiada sumber lain dalam mencari kebijaksanaan itu melainkan keakraban dengan sumbernya.

Patutkah gua menceritakan masalah dunia di blog ini? Gua konfius.