Khamis, Disember 17, 2009

Mengenal Sejarah

Sejarah itu apa? Ada pelbagai tafsiran untuk mendefinisikan sejarah.

Gua mulakan dengan apa yang dikatakan oleh Fostal Decoland sekitar satu setengah abad yang lalu.

"Sejarah ialah suatu ilmu yang tidak berkhayal tetapi melihat, setara dengan setiap ilmu, memerhati peristiwa-peristiwa, menganalisa, membanding dan mentahkik hubungan antara satu sama lain. Ahli sejarah menyelidiki sesuatu peristiwa dan menanggapinya melalui kajian teks-teks secara halus dan teliti sama seperti cara yang diikuti di dalam setiap ilmu yang berasas kepada pengamatan yang halus"

Pendapat ini kemudiannya dikritik dengan menyatakan "tiada ilmu kritik dan tahkik dalam sejarah." Hearnshaw berpendapat sebegini kerana merasakan wujudnya nilai dan kepentingan dari setiap peristiwa-peristiwa besar dunia. Hearnshaw, seorang ahli astronomi pada abad yang sama, seakan-akan mengkritik nilai-nilai dan kepentingan yang ada dalam sejarah. Apa yang dikatakan Decoland itu, tidak dihayati sepenuhnya sebelum dia mengkritik. "Sejarah itu melihat, bukan berkhayal." Apa yang dikritik dan ditahkik itu adalah kebenaran sesuatu peristiwa. Bukan nilai atau kepentingannya.

Pada gua, jika pendapat Hearnshaw ini dijadikan sandaran, maka kebenaran itu diletakkan secara relatif bagi setiap pengkaji sejarah. Sedangkan hanya satu peristiwa sahaja yang boleh mewakili setiap nanoruang dan nanomasa.

Ada beberapa elemen yang menggerakkan sesuatu peristiwa. Ini adalah sebahagian dari persepsi-persepsi manusia.

Bagi golongan materialis, fahaman Marxis yang hidup dalam kemisikinan itu memandang faktor ekonomi sebagai penggerak utama dalam sejarah. Contoh yang dikemukakan termasuklah Peperangan Troy antara Parsi dan Greek, juga peperangan antara Parsi dengan Rom, Perang Dunia Pertama, dan Perang Dunia Kedua adalah bermotifkan ekonomi dan survival penduduk dunia.

Sesetengah golongan pula mentafsirkan kelahiran sejarah adalah daripada pergolakan jiwa. Setelah mendapat kesenangan berbentuk material atau maknawi, seseorang itu cenderung mencetuskan penindasan, pertarungan dalam masyarakat dan berpuashati dengan penyelewengan yang dilakukan mereka. Dalam sejarah Islam, ar-Rabi bin Yunus dan anaknya al-Fadhl mengapi-apikan persengketaan dengan mewujudkan pakatan-pakatan jahat dan peperangan yang kejam.

Ada antara mereka melihat sejarah sebagai satu tuntutan kerohanian dan fikiran. Pemberontakan Khawarij dalam sejarah Islam, pertarungan Ortodoks dengan Protestan, dan Perang Salib yang berakhir dengan "Muhammadism" adalah tuntutan keagamaan. Kesabaran Muslimin untuk menuju syahid adalah tuntutan kehidupan mereka. Uniknya, para Materialis bersetuju dengan tafsiran ini. Cuma pada mereka, ia tidak berfungsi apabila agama itu tidak dianut kemudiannya.

Hakikatnya, golongan-golongan ini ada yang bekerjasama dalam beberapa peristiwa besar dunia.

Jadi sejarah itu apa?

Proses menanggapi sejarah ini boleh dikaitrapatkan dengan proses pencatitan. Sejarah itu berlaku sebelum proses penulisan sejarah dilakukan dan jika diteliti secara halus, ianya merupakan satu gubahan sastera dari para pencatit setiap zaman. Menurut Prof. Dr Ahmad Shalaby, proses ini dinamakan pensejarahan.

Apa yang diperkatakan oleh Alex Haley (1921-1992) agak menarik. Sesiapa yang berjaya memenangi sesuatu wacana penulisan, adalah pencipta sejarah. "History is written by the winner".

Dalam proses penulisan sejarah barat, ianya harus ditulis dengan penuh meyakinkan dan menyebabkan data-data mereka dipilih secara selektif. Fakta atau keterangan yang tidak sesuai akan ditolak. Ini angkara meletakkan kebenaran itu adalah relatif ciptaan Plato serta keangkuhan Cogito Ergo Sum jajaan Rene Descartes. Mereka enggan melihat sejarah itu sebagai suatu proses mencari kebenaran.

Dalam Islam, sejarah itu bergerak seiring dengan realiti. Terdapat Allah S.W.T yang menciptakan dunia ini, dan adanya manusia dalam mentadbir dan menguruskannya. Kewujudan Tuhan yang transendence itu mengatur dunia ini tanpa menjadi sebahagian daripadanya kerana manusia itu dibekalkan akal fikiran, dan juga petunjuk dalam mencipta sejarah dunia. Sewajarnya, sejarah Islam itu haruslah ditulis dengan menekankan aspek kemanusiaan dan juga nilai-nilai di sebalik setiap peristiwa itu tanpa ada dualisme antara makhluk dan penciptanya.

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (Ibrahim : 24-25).

Wallahualam.

Tiada ulasan: